Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Berapa wajar Medishield Hayat diguna untuk rawatan berkaitan isu bunuh diri?

Bermula Mac depan, insurans MediShield Hayat boleh digunakan untuk rawatan berkaitan percubaan bunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Dec 2020 08:15PM Dikemas Kini : 25 Dec 2020 11:19PM

SINGAPURA: Bermula Mac depan, insurans MediShield Hayat boleh digunakan untuk rawatan berkaitan percubaan bunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

Usulan itu diluluskan pada Isnin (21 Dis) dan dianggap sebagai satu kemajuan dalam perlindungan kesihatan mental.

Namun, ada yang mempersoalkan jika langkah itu wajar dari segi kewangan, manakala sebahagian pihak menarik perhatian tentang perlunya lebih banyak usaha pencegahan.

"Ann", bukan nama sebenar, pertama kali cuba bunuh diri ketika berusia 17 tahun dan kemudian mencuba lagi beberapa kali.

Ann didiagnos mengalami kemurungan dan menunjukkan gejala-gejala "borderline personality disorder" atau kecelaruan personaliti pinggiran (BPD).

Pada usia 24 tahun sekarang, ada kalanya Ann masih sukar mengawal emosinya tetapi keadaannya lebih baik setelah menjalani terapi.

Bagaimanapun kos rawatannya tidak murah - sekitar $650 sebulan. Jika dia dimasukkan ke hospital pula, kosnya sehingga $100 untuk satu malam.

"Saya berdepan kesukaran kerana bil-bil perubatan. Saya ingin membayar sendiri bil-bil perubatan itu tetapi disebabkan keadaan saya, ramai majikan tidak menerima saya (bekerja)," luah Ann kepada Mediacorp.

Mujur, beberapa bulan dari sekarang, Ann boleh meraih manfaat daripada MediShield Hayat. Rawatan berkaitan percubaan bunuh diri dan mencederakan diri sendiri akan dimasukkan ke dalam pelan insurans nasional itu.

SOAL KOS PENGHALANG BAGI RAWATAN

Dalam Tinjauan YouGov 2019, hampir separuh daripada mereka yang mengalami isu-isu kesihatan mental, akur bahawa soal kos adalah sebab utama mereka tidak mendapatkan rawatan.

Maka itu perlindungan MediShield bagi rawatan kesihatan mental, mungkin satu jalan keluar.

Namun seorang pakar berpendapat, cara lebih praktikal adalah untuk menaikkan subsidi dan bukan memperluaskan skop perlindungan MediShield sehingga premiumnya menjadi tinggi.

"Dengan risiko dan insiden yang sukar diramalkan seperti (percubaan) bunuh diri, anda tidak tahu siapa yang akan melakukannya dan apa kosnya," kongsi Dr Phua Kai Hong, zamil kanan di Institut Kajian Dasar (IPS).

Sementara itu, ada pula yang berpandangan bahawa pencegahan adalah lebih mujarab daripada rawatan.

Cik Jenny Teo, seorang ibu yang menubuhkan gerakan mencegah bunuh diri setelah anak lelakinya membunuh diri, pula menekankan lebih banyak usaha diperlukan untuk menangani akar masalah itu.

"Negara-negara seperti Australia, mereka mempunyai Suruhanjaya E-Keselamatan untuk memantau rangkaian online dan melindungi pengguna," kata Cik Teo.

"Jadi saya rasa lebih banyak perlu dilakukan dari sudut ini untuk melindungi golongan muda dari forum-forum bunuh diri dan kandungan mencederakan diri yang banyak didapati di ruang siber."

Di Singapura, sekolah-sekolah akan memperkenalkan sukatan pelajaran baru bagi subjek perwatakan dan kewarganegaraan tahun depan yang menekankan kemaslahatan siber dan pendidik kesihatan mental. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/AQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan