Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Berapa lama perlu anda tunggu selepas anak dapatkan dos penggalak COVID-19 untuk pergi bercuti?

Dengan pemansuhan sekatan dan larangan perjalanan di kebanyakan negara, ramai rakyat Singapura mula membuat perancangan untuk makan angin ke luar negara selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian gara-gara pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan pemansuhan sekatan dan larangan perjalanan di kebanyakan negara, ramai rakyat Singapura mula membuat perancangan untuk makan angin ke luar negara selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian gara-gara pandemik COVID-19.

Tiket penerbangan, tempahan tempat penginapan dan pasport antara perkara yang wajib disiapkan sebelum pergi melancong.

Selain itu, ada yang mungkin mempertimbangkan untuk mengambil suntikan dos penggalak COVID-19 sebagai perlindungan ketika di luar negara.

Bagi yang mempunyai anak kecil yang baru sahaja mengambil suntikan dos penggalak dan merancang untuk pergi bercuti, mungkin anda kurang pasti jika ia terlalu awal untuk membawa mereka ke luar negara.

Usah khuatir, berikut adalah beberapa jawapan pakar kepada soalan-soalan yang mungkin berlegar di fikiran anda.

SEAWAL BILA BOLEH KAMI PERGI MELANCONG SELEPAS ANAK SAYA DAPATKAN DOS PENGGALAK COVID-19?

Anak anda seharusnya sudah boleh pergi bercuti dalam tempoh tiga hingga tujuh hari selepas mendapatkan dos penggalak, kata Profesor Madya Lim Poh Lian, Ketua Klinik Kesihatan & Vaksinasi Pelawat di Hospital Tan Tock Seng.

"Dos penggalak menawarkan perlindungan dengan cepat kerana sistem imun anak anda sudah pun didedahkan kepada dua dos yang pertama," katanya.

"Kesan sampingan daripada vaksin yang mungkin berlaku seperti demam, keletihan atau rasa sengal pada tangan lazimnya akan mula reda dalam masa dua hingga tiga hari selepas mendapatkan dos penggalak."

Namun, jika anak masih kecil dan baru sahaja mendapatkan dua dos pertama vaksin COVID-19, anda mungkin disyorkan untuk menangguhkan dahulu pelan perjalanan itu selama beberapa minggu, nasihat Profesor Madya Lim.

"Dia mungkin tidak mempunyai perlindungan optimum sehingga sekurang-kurang satu atau dua minggu selepas mendapatkan dos kedua."

PERLUKAH SAYA DAPATKAN VAKSINASI LAIN SEBELUM PERGI BERCUTI?

Salah satu vaksinasi yang baik untuk didapatkan adalah vaksin demam selesema, terutama sekali jika anda merancang untuk makan angin ke negara yang mempunyai cuaca sejuk, kata Dr Wong Chin Khoon, seorang doktor pakar kanak-kanak di SBCC Baby & Child Clinic (Tiong Bahru).

"Ia juga satu amalan baik untuk periksa jika terdapat sebarang penularan berjangkit yang sedang berlaku di destinasi yang ingin anda tuju," katanya.

"Misalnya, wabak campak baru-baru ini di India. Dalam kes sedemikian, ia dinasihatkan agar anda berbincang dengan doktor jika ada keperluan untuk mendapatkan perlindungan tambahan bagi anak anda."

Tentu sekali, jika anda pergi bercuti ke negara-negara yang sudah pun memerlukan vaksinasi tertentu (seperti vaksin demam kuning di sesetengah bahagian Afrika dan Amerika Selatan serta vaksin 
meningokokus di Timur Tengah), pastikan kesemua ahli keluarga anda dilindungi sebelum mula pergi bercuti, nasihat Dr Wong.

"Bergantung kepada jenis vaksin yang diambil oleh anak anda, suntikan itu mungkin diberikan pada masa yang sama atau pada jarak sekitar dua hingga empat minggu. Justeru, adalah penting untuk membuat perancangan awal bagi membolehkan masa yang mencukupi untuk mendapatkan vaksin-vaksin yang diperlukan," kata Dr Wong.

UBAT-UBATAN APA YANG PERLU SAYA BAWA?

"Jika keadaan anak anda tidak terlalu serius, anda boleh berikannya ubat paracetamol untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami dan mendapatkan bantuan perubatan ketika berada di destinasi pelancongan itu atau sebaik sahaja anda kembali ke tanah air," kata Dr Chan Poh Chong, Ketua dan Konsultan Kanan di Jabatan Pediatrik Ambulatori Am dan Perubatan Remaja, Jabatan Paediatrik, Institut Perubatan Khoo Teck Puat - Universiti Nasional, Hospital Universiti Nasional (NUH).

Mengenai ubat-ubatan yang boleh dibawa ketika melancong, Dr Wong menyarankan senarai berikut:

1) Untuk sakit demam: Paracetamol, ibuprofen
2) Batuk, selesema atau alahan: Antihistamine
3) Muntah-muntah: Ubat probiotik
4) Cirit-birit: Garam rehidrasi
5) Luka - Krim dan/atau tisu basah antiseptik, plaster

BILAKAH SAYA PERLU KE HOSPITAL APABILA BERADA DI LUAR NEGARA?

Jika terdapat sebarang keraguan atau anak anda kelihatan kurang sihat, ia disarankan untuk mendapatkan bantuan perubatan di klinik-klinik perubatan yang bertauliah ketika di luar negara, kata Dr Chan.

Pantau anak anda bagi sebarang tanda-tanda serius seperti sesak nafas, kata Profesor Madya Lim.

Dalam kes-kes sedemikian, anak anda perlukan seorang doktor.

"Sedia maklum juga bahawa penyakit yang dihidapi anak anda mungkin bukan COVID-19, jadi jika anda kurang pasti dan keadaan anak anda bertambah buruk, jangan tunggu sehingga anda pulang ke Singapura untuk berjumpa doktor."

Oleh kerana ia mungkin menelan belanja yang tinggi, ia juga penting untuk membeli insurans perjalanan sebelum pergi bercuti, kata Dr Wong.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan