Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beralih ke tenaga lebih bersih perlu 'tukar ganti'; EMA cuba kurangkan kesan kos

 Tukar ganti tidak dapat dielakkan sedang Singapura beralih ke tenaga lebih bersih, namun Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) akan berusaha untuk menguruskannya dan mengurangkan kesan kos jika ia boleh dilaksanakan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Beralih ke tenaga lebih bersih perlu 'tukar ganti'; EMA cuba kurangkan kesan kos
Diterbitkan : 16 Aug 2021 08:43AM Dikemas Kini : 16 Aug 2021 08:44AM

SINGAPURA: Tukar ganti tidak dapat dielakkan sedang Singapura beralih ke tenaga lebih bersih, namun Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) akan berusaha untuk menguruskannya dan mengurangkan kesan kos jika ia boleh dilaksanakan. Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) penguasa itu, Ngiam Shih Chun, kepada Mediacorp.

Encik Ngiam berkata "empat sumber bekalan" - gas asli, tenaga suria, grid tenaga serantau dan alternatif rendah karbon yang baru muncul - akan membantu Singapura dengan peralihan seumpama itu. Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa ini boleh mengakibatkan kos tenaga yang lebih tinggi.

"Meskipun empat sumber ini membantu kita beralih ke tenaga lebih bersih, peralihan ini akan melibatkan tukar ganti yang tidak dapat dielakkan. Misalnya, apabila kita memanfaatkan grid tenaga serantau dan teknologi rendah karbon lain, kos tenaga mungkin meningkat," jelasnya dalam satu wawancara melalui emel.

Encik Ngiam berkata harga elektrik yang rendah tidak "berdaya maju secara komersil" untuk syarikat penjanaan tenaga elektrik pada jangka panjang.

"Walaupun pengguna meraih manfaat daripada harga elektrik lebih rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana bekalan melebihi permintaan, harga elektrik yang meleset kemungkinan akan naik dan kembali pulih apabila loji tenaga berhenti beroperasi menjelang beberapa tahun mendatang, ditambah dengan permintaan kuasa elektrik yang meningkat," terang beliau.

"Pengguna akan memilih harga elektrik rendah tetapi ia tidak berdaya maju secara komersil untuk syarikat penjanaan tenaga pada jangka panjang. Ia juga akan tidak akan mendorong pelaburan dalam kapasiti penjanaan baru untuk memperbaharui prasarana tenaga kita. Secara keseluruhannya, EMA berusaha untuk menguruskan peralihan itu dengan baik dan mengurangkan beban kos jika ia boleh dilaksanakan."

Oleh kerana Singapura bergantung kepada import untuk keperluan tenaganya, ia tertakluk kepada naik turun harga sejagat, kata Encik Ngiam. "Maka itu, kami meletakkan harga kuasa elektrik untuk mencerminkan kos penuh bagi menggalak penggunaan berhemat dalam kalangan pengguna," ujarnya.

Encik Ngiam menarik perhatian Singapura sudah "terus mengubah" sektor tenaga untuk memastikan keselamatan tenaga, kebolehmampuan dan kelestarian alam sekitar.

"Satu cabaran utama yang dihadapi EMA adalah keselamatan tenaga. Pada awal tahun 2000-an, Singapura hanya bergantung kepada tiga saluran paip dari Malaysia dan Indonesia untuk semua gas aslinya. Sebarang masalah dengan prasarana paip saluran itu boleh mengganggu bekalan gas dan tenaga kita," jelasnya.

"Lantaran itu, kami membuat satu keputusan strategik pada 2006 untuk membina sebuah terminal gas asli cecair (LNG) yang mempunyai kapasiti mencukupi untuk membekalkan semua keperluan gas asli Singapura, jika perlu. Prasarana penting ini membolehkan kita untuk mengimport gas asli dari seluruh dunia dan memperkukuhkan keselamatan tenaga melalui kepelbagaian."

Pada masa yang sama, terdapat juga keperluan bagi pasaran tenaga untuk menjadi berdaya saing bagi kecekapan lebih tinggi dan untuk memberi manfaat kepada pengguna, tambah beliau.

Beberapa inisiatif dilancarkan untuk memastikan perkara itu termasuk mengubah firma-firma penjanaan tenaga dan bekalan gas kepada syarikat komersil pada tahun 2000-an serta melonggarkan pasaran elektrik runcit secara bertahap-tahap yang memuncak ke Pasaran Terbuka Untuk Bekalan Elektrik (OEM) pada 2018.

"Akibat pelonggaran itu, pengguna boleh menikmati lebih banyak pilihan bagi pembelian bekalan elektrik mereka. Mereka yang berdaftar dengan peruncit juga menikmati penjimatan sekitar 20 hingga 30 peratus daripada bil elektrik mereka," ujar Encik Ngiam.

PERANAN PENTING SEKTOR TENAGA

Bagi menangani ancaman perubahan iklim, Singapura perlu mengubah cara ia menjana dan menggunakan tenaga, kata Encik Ngiam.

Menarik perhatian bahawa sektor bekalan kuasa menyumbang sekitar 40 peratus pelepasan Singapura, beliau menambah ia memainkan "peranan penting" dalam usaha ke arah mencapai Strategi Pelepasan Rendah Jangka Panjang (LEDS) Singapura. Matlamatnya termasuk mengurangkan sehingga separuh pelepasan dari puncaknya kepada 33 juta tan menjelang 2050 dan mencapai pelepasan sifar bersih sebaik ia boleh dilaksanakan pada separuh kedua abad ini.

"Ini dikecapi melalui empat sumber bekalan sambil mempromosikan kecekapan tenaga untuk mengurangkan permintaan," kata Encik Ngiam.

Memandangkan gas asli adalah bahan bakar paling bersih serta sumber tenaga mampan dan selamat, Singapura mungkin akan terus "bergantung kepada sumber itu dengan ketara" untuk menyediakan bekalan elektrik yang "diyakini dan berdaya saing dari segi kos" sepanjang dua dekad seterusnya, jelas beliau. Ini sedang negara meningkatkan penggunaan sumber-sumber tenaga lebih bersih.

Menarik perhatian bahawa Singapura adalah antara bandar paling padat dengan tenaga suria di seluruh dunia, Encik Ngiam juga berkata kapasiti panel tenaga suria yang dipasang di Singapura kini sekitar 444 megawatt puncak setakat suku pertama tahun ini, meningkat lebih tujuh kali sejak 2015. Sasarannya adalah untuk menggunakan sekurang-kurangnya 2 gigawatt puncak menjelang 2030.

Satu lagi sumber ialah grid bekalan tenaga serantau yang membolehkan Singapura untuk mengakses sumber bekalan tenaga bersih dari rantau ini, kata beliau.

"EMA sedang mengusahakan percubaan untuk mengimport 100 megawatt (MW) bekalan elektrik dari Malaysia. Percubaan ini akan membolehkan kita untuk membina pengetahuan bagi meningkatkan import dari bahagian lain di rantau ini," tambahnya.

"Sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk mengembangkan Grid Tenaga ASEAN, kita bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk memudahkan perdagangan tenaga rentas sempadan. Sebagai langkah pertama, kami berencana untuk mengimport sehingga 100MW melalui Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP)." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan