Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bentuk Kolej Islam Singapura 'masih difikirkan' - Masagos

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bentuk Kolej Islam Singapura (SIC) yang ingin dibangunkan "masih difikirkan" dan sekarang ini "belum waktunya" untuk memutuskan apa bentuk kolej itu nanti.

Antara lain ia mungkin berbentuk sebuah think tank (pusat penyelidikan) ataupun sebuah institusi possiswazah.

Demikian kemas kini terbaru daripada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berhubung status Kolej Islam Singapura itu dalam satu wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp.

Idea penubuhan Kolej Islam Singapura (SIC) pertama kali diumumkan pada tahun 2016 oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketika itu, Dr Yaacob Ibrahim. SIC akan dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Gagasan penubuhan institusi pengajian tinggi Islam tempatan itu - yang mengeluarkan ijazahnya sendiri - asalnya diharap dapat mengambil kohort pertamanya pada tahun 2020.

(Gambar fail, 2016)

Kini enam tahun sudah berlalu.

Diminta mengulas perkembangan terkini dan garis masa penubuhan kolej itu, Encik Masagos menjawab bahawa belum ada sebarang garis masa tentang bila kolej itu akan dibangunkan.

"Jadi bentuk SIC itu masih difikirkan. Institusi-institusi pengajian tinggi, boleh berbagai bentuk. Antara lain, mungkin sebagai think tank ataupun sebagai pusat kajian. Melahirkan pemikiran-pemikiran yang mencabar, umpamanya pemikiran-pemikiran yang lama dan sebagainya. Ataupun menggunakan data untuk melahirkan pemikiran-pemikiran yang baru.

"Ataupun sebagai institusi untuk melahirkan 'postgraduate' (possiswazah), ataupun seperti apa yang kita pernah mengatakan, untuk menjadi institusi seperti di universiti yang terulung seperti di Al-Azhar dan sebagainya," kata Encik Masagos.

Pilihan-pilihan yang disebutkan itu, terang beliau, perlu diteliti dan keputusan hanya boleh dibuat selepas menilai model mana yang akan "lebih tepat untuk Singapura".

"Jadi sekarang ini belum waktunya untuk kita memikirkan (atau memutuskan) inilah bentuk-bentuk yang kita akan lakukan," tambahnya lagi.

PCICS LANGKAH PENTING KE ARAH SIC

Yang sudah pasti ialah pembinaan sebuah kampus lima tingkat untuk latihan asatizah tempatan di bawah Program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).

Kampus itu terletak di Kompleks Wakaf Bencoolen, iaitu bersebelahan dengan Masjid Bencoolen dan dijangka siap hujung tahun ini.

Menjawab pertanyaan kami baru-baru ini, MUIS menyatakan, PCICS akan menjadi "langkah penting ke arah pelan jangka panjang penubuhan Kolej Islam Singapura".

Encik Masagos pula menjelaskan, PCICS merupakan salah satu strategi dan usaha membina apa yang disebutnya sebagai "gedung-gedung ilmu".

(Gambar: MUIS)

"Kami sedang mempersiapkan mereka yang ahli untuk membina gedung-gedung ilmu yang penting untuk masyarakat Islam di Singapura. Ini dilakukan sekarang ini melalui PCICS.

"Tapi dengan melahirkan lagi lebih ramai ulama kita yang tersohor, yang mendalami ilmu-ilmu yang disebut fiqh al-aqalliyat dan juga memahami konteks Singapura, saya yakin satu hari nanti, kalau kita lahirkan SIC, ia akan menjadi satu institusi yang boleh dikatakan terulung dalam melahirkan solusi-solusi untuk masyarakat seperti kita," ulas Encik Masagos lebih lanjut.

MASYARAKAT PERLU MAIN PERANAN BIAYA SEKTOR AGAMA

Dalam pada itu, Encik Masagos turut menyentuh tentang pentingnya menyemak tangga gaji para asatizah dalam sektor agama formal.

Beliau menegaskan semakan itu perlu dilakukan demi memastikan bakat-bakat asatizah yang baik digajikan "secara terbaik" supaya mereka tidak meninggalkan sektor agama dan "lari" ke sektor lain.



Menurut Encik Masagos di Parlimen pada Khamis (10 Mac), MUIS sedang menyemak garis panduan gaji bagi sektor agama - khususnya mereka yang bekerja dalam institusi agama formal seperti masjid dan madrasah.

Usaha ini bagaimanapun, tegasnya, akan tetap memerlukan masyarakat memainkan peranan - seperti menyumbang kepada Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) apabila ia ditubuhkan kelak.

Model pendanaan baru yang diusulkan Encik Masagos itu antara lain bertujuan membiayai keperluan jangka panjang sektor keagamaan.

"Ini adalah agama kita. Kitalah yang bertanggungjawab untuk mendanakannya. Bukan dari luar negeri, bukan dari Pemerintah," tekan Encik Masagos.

"Jadi kita juga harus memikirkan juga sistem-sistem yang kita harus lakarkan supaya kita dapat menggajikan yang terbaik, yang menarik dan juga yang disebut, yang berpanjangan. Bukan hanya untuk lima tahun, bukan hanya untuk 10 tahun, untuk selama-lamanya."

Inilah sebabnya Encik Masagos mengusulkan supaya WMS nanti menjadi dana korpus yang akan menjana pendapatan untuk sektor agama.

"Supaya kita menarik bakat yang terbaik (dan) kepimpinan yang terunggul untuk sektor kita," tambah beliau lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan