Skip to main content

Singapura

Benjamin Glynn dipenjara 6 minggu setelah didapati bersalah tidak pakai pelitup

Selepas perbicaraan mahkamah yang ringkas selama sehari, rakyat Britain Benjamin Glynn pada petang Rabu (18 Ogos), didapati bersalah atas semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya dan dihukum penjara enam minggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Benjamin Glynn dipenjara 6 minggu setelah didapati bersalah tidak pakai pelitup

Benjamin Glynn meinggalkan Mahkamah Negara pada 2 Jul 2021. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 08:21PM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 08:22PM

SINGAPURA: Selepas perbicaraan mahkamah yang ringkas selama sehari, rakyat Britain Benjamin Glynn pada petang Rabu (18 Ogos), didapati bersalah atas semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya dan dihukum penjara enam minggu.

Glynn yang mendakwa dirinya "individu berdaulat" yang mana undang-undang "tidak membawa kesan terhadapnya" didapati bersalah atas empat tuduhan tidak memakai pelitup, mengganggu ketenteraman awam dan menggunakan kata-kata ugutan terhadap seorang pegawai awam.

Hakim Daerah Eddy Tham berkata Glynn "salah anggap" dalam kepercayaannya bahawa dia tidak tertakluk kepada undang-undang pemakaian pelitup di Singapura dan sebaliknya tertakluk kepada "undang-undang lebih tinggi".

Beliau berkata undang-undang itu ditetapkan oleh Pemerintah dalam respons kepada pandemik COVID-19 dan Glynn sedar bahawa peraturan itu dikuatkuasakan.

Pihak pendakwa menggesa mahkamah memberi isyarat jelas bahawa perbuatan Glynn tidak boleh diterima dan berkata bahawa usaha Singapura dalam menangani pandemik akan "sia-sia sahaja" jika orang lain sepertinya juga melanggar undang-undang tanpa terima hukuman.

APA YANG BERLAKU DI MAHKAMAH?

Lelaki berusia 40 tahun itu mendapat sorotan berita pada Mei lalu setelah timbul rakaman video tular di mana dia tidak memakai pelitup semasa menaiki kereta api.

Dia mengulangi kesalahan itu di Mahkamah Negara pada Julai lalu apabila tidak memakai pelitup dengan betul apabila berada di luar dan di dalam bangunan tersebut.

Dua pegawai polis memberi keterangan pada Rabu bahawa apabila mereka pergi ke kondominium Glynn pada 9 Mei untuk menemubualnya berhubung kejadian di dalam kereta api itu. Lelaki itu kata mereka pada awalnya memberi kerjasama.

Namun, dia menjadi agresif apabila mereka meminta untuk memasuki apartmennya untuk mengambil bukti dan cuba menahannya.

Menurut pegawai berkenaan, Glynn kemudian berkata dia dengan "mudah" boleh lawan kedua-dua pegawai itu jika mereka cuba menggarinya.

Dalam rayuannya pada Rabu, Glynn menangis apabila mendakwa dirinya "menderita secara psikologi" sepanjang tiga bulan lalu.

"Tolong gugurkan kesemua tuduhan tidak sah ini, kembalikan pasport saya yang dicuri dan benarkan saya pulang ke England dan bersatu dengan kedua-dua anak saya," katanya sebelum menitiskan air mata.

Glynn berkata dia tidak menafikan bahawa dialah individu di dalam video tular itu - apabila dia dirakam mengatakan bahawa dia "tidak akan" memakai pelitup. Dia juga tidak menafikan tidak memakai pelitup dengan betul apabila berada di luar dan di dalam mahkamah.

Namun, dia menafikan bertindak agresif atau mengugut kedua-dua pegawai polis di kondominiumnya apabila dia mendapat tahu tiada rakaman kamera yang dipasang pada tubuh apabila kejadian itu berlaku.

Perbicaraan Glynn dipenuhi dengan drama yang berlaku di luar perbicaraan - pertama, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai peguam pada awalnya diusir keluar kerana tidak memakai pakaian yang sempurna.

Lelaki yang sama kemudian berkata dia tidak mempunyai lesen untuk menjalankan khidmat sebagai peguam namun dia adalah "duta kelana dan penyokong Kerajaan Flipina Hacienda".

Pada Rabu, seorang wanita dibawa keluar mahkamah setelah pelitupnya terlepas dan dia enggan memberi kerjasama dengan pengawal keselamatan.

Dia menjerit "mahkamah tidak sah" dan berkata dia tidak menghormati hakim. Mediacorp sudah menghubungi polis sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap wanita itu. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita