Benih perpaduan disemai antara si cilik menerusi pertandingan futsal
Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash (kanan), dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (kiri) bersama peserta Piala Unity 2026 di gelanggang futsal Kick Off! di Kovan. (Gambar: MENDAKI)
This audio is generated by an AI tool.
Bertemakan 'Meraikan Perpaduan', acara itu dianjurkan bersama oleh Yayasan MENDAKI, Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (SINDA), Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC) dan Persatuan Serani (EA).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber berkata: "
Apa yang istimewa tentang Piala Unity ialah kita melihat kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang berkumpul, berlatih dan bermain bersama sebagai satu pasukan."
"Sukan bukan sahaja memberikan golongan muda peluang untuk bersenam, tetapi juga peluang untuk berinteraksi dengan mereka daripada latar belakang yang berbeza. Menerusi sukan, kita dapat membentuk nilai seperti kerjasama, hormat-menghormati dan semangat kebersamaan," tambah beliau lagi.
NILAI PERPADUAN JADI KEMENANGAN SEBENAR
Sorakan bergema di gelanggang futsal Kick Off! di Kovan apabila sepasukan kanak-kanak meraikan jaringan gol.
Meski datang daripada sekolah, latar belakang dan bangsa yang berbeza, para peserta bersorak dan berpelukan sebagai satu pasukan.
Peserta seperti Omar Khairudin, bahkan mengalami semangat bersatu padu itu apabila dia menjaringkan tiga gol buat pasukannya dalam pertandingan tersebut.
"Apabila menjaringkan gol, saya dapat meraikannya bersama rakan sepasukan," katanya kepada BERITA Mediacorp.
Pengalaman tersebut bukan sahaja menyeronokkan, malah membuka peluang kepada pelajar Darjah 4 dari Sekolah Rendah Waterway itu untuk memperluaskan lingkungan pergaulannya.
"Saya dapat berkawan dengan kawan-kawan baharu daripada bangsa lain dan sekolah lain," ujarnya lagi.
Lebih bermakna, Omar turut mempelajari nilai kerjasama sepanjang pertandingan tersebut.
"Jika saya bekerjasama dengan pasukan saya, kami boleh menang bersama," tambahnya.
Omar antara peserta berusia antara enam dan 13 tahun yang menyertai edisi kelima pertandingan tersebut yang diadakan sepanjang dua hari (22 dan 23 Jun).
WADAH UNTUK JALIN HUBUNGAN, PERKUKUH PERSEFAHAMAN
Bagi ibu Omar, Rosliani Roselan, penyertaan anak bongsunya itu bukan sekadar untuk mengisi masa cuti sekolah.
Mengambil kira minat Omar terhadap bola sepak, ibu kepada dua orang anak itu melihat pertandingan itu sebagai peluang untuk bergaul dan bercampur dengan kanak-kanak lain.
"Saya rasa ia bagus untuk bergaul dengan bangsa-bangsa lain, tidak terhad kepada orang Melayu sahaja. Ia dapat meluaskan lingkungan persahabatan mereka," kata Cik Rosliani, 43 tahun.
Menurut beliau, pertandingan tersebut menawarkan ruang kepada kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi, membina persahabatan serta menghayati nilai-nilai seperti kerja berpasukan, daya tahan dan sikap saling menghormati menerusi sukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.