Skip to main content

Singapura

Bengkel Quran braille anjuran Masjid Yusof Ishak sejajar dengan visi wujudkan masyarakat inklusif

Kelas-kelas dan bengkel-bengkel seperti bengkel Quran braille tersebut yang dikhususkan untuk golongan kurang upaya juga akan diperluaskan pada tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah bengkel Quran braille diadakan buat julung-julung kalinya oleh Masjid Yusof Ishak siang tadi (16 Dis).

Selain bertujuan untuk mendampingi masyarakat kurang daya penglihatan, bengkel yang diadakan itu juga seiring dengan nilai-nilai yang dipegang teguh oleh presiden pertama Singapura.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham Yusof Ishak amat menitikberatkan nilai-nilai inklusif dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Singapura.

Bengkel yang diadakan itu bermatlamat memperkenalkan Quran braille dan juga bacaan asas kepada para peserta.

SESIAPA SAJA BOLEH BACA QURAN BRAILLE

Related article image

Selama lebih dua jam, hampir 10 peserta bengkel Quran braille itu didedahkan kepada huruf-huruf dan juga kod pembacaan braille.

Meskipun sukar pada mulanya, bacaan mereka semakin lancar selepas ditunjuk ajar oleh Ustaz Mohaimin Tokyan, seorang asatizah yang mahir membaca Quran braille sejak usia remaja lagi.

Menurut Ustaz Mohaimin, sesiapa saja sebenarnya boleh membaca Quran braille selagi mereka mempunyai kemahuan, kesabaran dan memang berminat untuk meraih manfaat jangka panjang kerana amalan berkenaan sangat digalakkan dalam Islam.

"Dengan adanya bengkel ini, masyarakat lebih memahami dan lebih menerima tentang kewujudan Al-Quran braille ini. Mudah-mudahan banyak lagi tempat yang memberi peluang untuk kelas-kelas seperti ini diadakan. Mungkin lebih ramai lagi guru Al-Quran yang tahu tentang Al-Quran braille dan turut sama menyumbang untuk mengajarkannya," ujarnya.

Masjid Yusof Ishak mendedahkan kepada BERITAMediacorp bahawa ia berbesar hati terdapat para peserta celik dan juga guru Al-Quran bertauliah yang turut sama menyertai bengkel itu bersama dengan mereka yang kurang daya penglihatan.

MASJID YUSOF ISHAK INGIN DAMPINGI PELBAGAI LAPISAN MASYARAKAT

Related article image

Ustaz Mohaimin menunjukkan cara menaip huruf braille.

"Cik memang dari dulu minat sebab cik ajar Al-Quran kan. Jadi cik ingatkan kalau cik boleh ajar orang-orang yang cacat penglihatannya lebih manfaat," kata Cik Supina Suadi.

Seorang lagi peserta Encik Ali Rahman Mohd Jali berkata: "Pada awalnya saya menganggap tulisan braille ini susah tetapi setelah saya mempelajarinya, saya dapatlah kira-kira pengetahuan sedikit sebanyak apakah bahasa braille ini."

"Belajar dari buku yang ustaz bagi. Saya harus belajar sampai saya tahu baru saya ingat semua," kata seorang yang kurang daya penglihatan, Sufian Abdullah.

Anggota Lembaga Pentadbir Masjid Yusof Ishak Encik Ardi Ramli berkongsi: "Jadi untuk masyarakat-masyarakat di mana saja, bukan saja di Woodlands, kita harap mereka boleh mengambil platform sebegini untuk mendalami pelajaran agama mereka."

Pada tahun depan pula, Masjid Yusof Ishak akan menyediakan tenaga asatizah yang sudah menjalani latihan asas untuk mendidik para murid yang mengalami gangguan pembelajaran seperti autisme di kelas-kelas aLIVE.

Kelas-kelas dan bengkel-bengkel seperti bengkel Quran braille tersebut yang dikhususkan untuk golongan kurang upaya juga akan diperluaskan pada tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita