Bengkel kesihatan kerjaya bantu kakitangan hotel hadapi perubahan digital
Sebuah bengkel kesihatan kerjaya baharu diperkenalkan bagi membantu kakitangan hotel di Singapura menyesuaikan diri dengan peralihan yang berlaku, sedang sektor hospitaliti menjalani perubahan digital.
Inisiatif oleh Persatuan Hotel Singapura dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) itu membolehkan majikan untuk menilai keupayaan serta mengenal pasti peluang-peluang latihan untuk kakitangan.
Pada masa yang sama, pekerja pula boleh mendapatkan haluan lebih jelas berhubung tangga kerjaya mereka.
"Kadangkala tumpuan utamanya bukanlah tentang menggugurkan pekerjaan daripada fungsinya, namun bagaimana kami boleh menjadikan fungsi itu lebih berkesan dan lebih berdaya hasil?
"Dalam hal ini, (bagi) pasukan pengendali telefon kami, daripada memerlukan dua orang bagi setiap syif, kini kami hanya memerlukan satu orang.
Tentunya, tenaga kerja tambahan itu boleh melakukan lebih banyak tugas bagi menguruskan tempahan bilik," kata Pengurus Besar, M Hotel Singapore, Edeline Tiong.
Perubahan tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Digital Industri Hotel diperbaharui yang pertama kali dikemas kini sejak ia dilancarkan pada 2019.
Tujuannya adalah untuk memacu pendakapan lima teknologi utama iaitu bilik bijak, robotik, khidmat meja tamu digital, pendaftaran keluar masuk hotel secara digital dan sistem pengurusan aset.
Sektor tersebut sudah menepati sasarannya untuk mempunyai 60 peratus bilik hotel diperakui di bawah piawai kemampanan yang diiktiraf.
Selain itu, usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon juga akan diteruskan.
Para pemain industri menyatakan pembaharuan itu wajar dilakukan untuk kekal relevan dalam pasaran yang semakin sengit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.