Bengkel CeRITA BERITA Mediacorp galak pelajar kuasai bahasa Melayu, pelajari penulisan & penyampaian berita
SINGAPURA: Mengumpul maklumat, mendapatkan berita dari sumber yang sahih, menyiapkan laporan yang berkesan dan menyampaikan BERITA.
Itulah pengalaman yang dilalui 25 pelajar Sekolah Menengah Pasir Ris Crest dalam bengkel CeRITA anjuran BERITA Mediacorp pada Khamis (20 Jun).

Program perintis itu juga mahu menggalak pemahaman tentang perkembangan berita dan ehwal semasa, selain menggalak penguasaan bahasa Melayu yang baik.
"Kami dapat peluang untuk menjadi penyampai berita dan wartawan. Kami mendapat peluang untuk menyampaikan (berita) di depan kamera dengan kawan-kawan kami," kongsi salah Nadiah Farhanah Abdullah, 13 tahun kepada BERITA Mediacorp.

"Saya pelajari untuk menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan dan saya dapat berlatih untuk membaiki bahasa Melayu saya apabila saya bertutur," tambahnya.
LEBIH YAKIN GUNAKAN BAHASA MELAYU

Seorang lagi pelajar, Muaz Mohd Samad, 15 tahun, pula berpendapat bahawa sesi itu dapat membuatnya lebih yakin untuk menggunakan bahasa Melayu.
"Saya pelajari bahasa tubuh badan yang sesuai semasa di depan kamera apabila membaca berita dan saya rasa sesi ini membuat saya lebih biasa dan yakin untuk menggunakan bahasa baku semasa berkomunikasi dengan Cikgu," kata Muaz.

Selama lima jam, para pelajar itu mendapat bimbingan daripada Editor Kanan Izwan Ohtman dan Penerbit Kanan Nursha Ismail tentang selok belok menerbitkan laporan berita.
Ini termasuk bagaimana untuk mengumpulkan maklumat, mendapatkan berita dari sumber-sumber yang boleh dipercayai dan menulis laporan yang berkesan.
Turut hadir berkongsi ilmu ialah Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp Encik Sujadi Siswo.
GALAK PEMAHAMAN TENTANG PERKEMBANGAN BERITA DAN EHWAL SEMASA
BERITA Mediacorp juga mahu menggalak pemahaman tentang perkembangan berita dan ehwal semasa.
Semua itu diharap akan mendorong mereka untuk menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik.

"Bengkel ini amat berguna sebagai satu pendedahan kepada para pelajar saya untuk menggunakan bahasa Melayu dalam konteks dan dunia sebenar seperti membaca berita. Menerusi bengkel ini, para pelajar saya dapat mempelajari laras bahasa yang sesuai untuk bertutur dalam bahasa Melayu baku sewaktu membaca berita," kongsi Guru Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Pasir Ris Crest, Cik Natasa Liyana Lockman.
"Harapannya, mereka dapat menggunakan bahasa sebutan baku dengan sesuai, dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan sangat yakin di hadapan guru dan memberikan jawapan-jawapan yang baik untuk ujian lisan mereka," tambah beliau.
PENDEDAHAN AWAL KEPADA PERKEMBANGAN BERITA DAN EHWAL SEMASA

Encik Sujadi Siswo berkata bahawa BERITA Mediacorp secara aktif mencari rakan-rakan untuk memulakan program pengenalan berita kepada murid-murid sekolah.
Sekolah Menengah Pasir Ris Crest dipilih kerana ia menawarkan Program Pembelajaran Terapan (ALP).
"Ada dua matlamat utama. Satu adalah memperkenalkan berita kepada murid-murid di peringkat usia awal lagi kerana bahaya berita palsu, berita buatan, fitnah dan sebagainya. Kita harus menerangkan kepada mereka bahaya tentang masalah ini di kalangan mereka.

"Dan kemudian memberi mereka semacam pendedahan bahawa penggunaan bahasa Melayu di sekolah bukan hanya di dalam bilik darjah dan hanya untuk ujian peperiksaan dan sebagainya, tetapi ada kegunaannya dan kegunaan bahasa laras berita ini adalah untuk digunakan dalam penggunaan mengolah dan menerbitkan berita seperti yang dilakukan oleh BERITA Mediacorp setiap hari dan setiap malam," kata Encik Sujadi.
Terdapat rancangan untuk meluaskan bengkel CeRITA kepada lebih banyak sekolah pada masa hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.