Bengkel ajar keselamatan jalan raya yang lebih inklusif buat pekerja penghantaran makanan
(Gambar: Deliveroo)
SINGAPURA: Bagi menggalak sikap inklusif dalam memastikan keselamatan jalan raya, sebuah bengkel dianjurkan syarikat Deliveroo bagi pekerja penghantaran makanan pada Rabu (9 Oct).
Bengkel yang dikendalikan Persatuan Cacat Anggota (SPD) itu juga berkongsi antara amalan terbaik bagi mereka yang menggunakan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).
Antara yang dikongsi termasuk cara mengendalikan alat atau kenderaan mereka di selekoh jalan dan undurkannya dalam ruang yang sempit.
Menurut Deliveroo, usaha tersebut sejajar dengan Pelan Induk Pemerkasaan Singapura 2030, iaitu usaha negara untuk membina Singapura yang lebih inklusif buat mereka yang kurang upaya.
Ia juga diadakan bagi melengkapkan para penunggang dengan kemahiran berdasarkan peraturan baharu yang bakal dikuatkuasakan mulai tahun depan.
Mulai 1 Julai 2025, penggunaan PMA seperti basikal dan alat mobiliti peribadi (PMD) tidak bermotor dilarang di laluan pejalan kaki bersebelahan dengan laluan basikal.
"Keselamatan adalah nadi kepada apa yang kami lakukan di Deliveroo dan kami sudah melancarkan pelbagai inisiatif pada tahun-tahun lepas. Kerjasama dengan SPD ini menggariskan lagi komitmen kami untuk membina persekitaran yang lebih inklusif buat semua penunggang.
"Melalui inisiatif sebegini, kami bukan sahaja memperkasa keselamatan para pekerja kami tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang cabaran unik yang dihadapi pengguna alat PMA. Tujuan utama kami adalah untuk memastikan semua orang boleh menggunakan jalan raya dengan selamat dan yakin," kata Pengurus Besar Deliveroo Singapura, Jason Parke.
SPD juga melihat pentingnya untuk meningkatkan kesedaran tersebut dalam kalangan pengguna jalan raya.
"Kami percaya bahawa untuk memupuk sifat inklusif, ia bermula dengan meningkatkan kesedaran dan pemahaman buat mereka yang kurang upaya. Dengan peluang bagi mereka untuk berdikari dari segi kewangan dalam ekonomi semasa terus berkembang, kerjasama dengan Deliveroo Singapura adalah langkah yang dialu-alukan.
"Dengan berkongsi penggunaan selamat PMA dalam menyediakan khidmat penghantaran dan melengkapkan penunggang dengan pengetahuan untuk mengharungi cabaran yang dihadapi mereka yang orang kurang upaya, kami memupuk masyarakat di mana setiap individu rasa disokong dan selamat," kata CEO SPD, Abhimanyau Pal.
PESERTA ALU-ALUKAN BENGKEL KESELAMATAN JALAN RAYA
Seramai 50 peserta menyertai acara itu yang berlangsung di AIBI Maxwell.
Antara mereka yang meraih manfaat daripada bengkel adalah pekerja penghantaran makanan, Noel Ong Lee.
"Keselamatan selalu dalam minda saya tetapi bengkel ini membuat saya sedar akan cabaran khusus yang dihadapi oleh orang kurang upaya di jalan raya. Ia adalah peringatan yang baik bahawa kami semua bertanggungjawab untuk memastikan jalan raya selamat untuk semua.
"Ia bukan sekadar melengkapkan diri kita dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menunggang dengan selamat tetapi juga tentang memastikan kita menjaga keselamatan satu sama lain," kata pekerja berusia 46 tahun itu.
Sebelum ini, Deliveroo Singapura turut bekerjasama dengan Persekutuan Basikal Singapura, Polis Trafik Singapura, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Palang Merah Singapura (SRC) bagi tujuan serupa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.