Skip to main content

Singapura

Bencana Alam Nepal-Tibet: 19 pegawai polis, forensik SG ke Nepal bagi usaha bantuan bencana

Anggaran Waktu Membaca:
Bencana Alam Nepal-Tibet: 19 pegawai polis, forensik SG ke Nepal bagi usaha bantuan bencana

Penolong Pesuruhjaya Polis Patrick Tan yang mengetuai kontinjen yang terdiri daripada 33 anggota, memberi taklimat kepada pasukannya di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 11:11PM Dikemas Kini : 03 Sep 2026 09:23AM
SINGAPURA: 19 pegawai polis dan forensik Singapura berlepas ke Nepal bagi menyokong usaha bantuan bencana menyusuli banjir kilat di sempadan Nepal-China.

Pasukan itu terdiri daripada 17 pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) dan dua pegawai Bahagian Perubatan Forensik, Penguasa Sains Kesihatan (HSA), yang berangkat dari Singapura pada 1 dan 2 September.

14 lagi pegawai dijangka menyertai mereka dalam beberapa hari akan datang, menjadikan jumlah anggota kontinjen itu kepada 33 orang.

Diketuai Penolong Pesuruhjaya Polis Patrick Tan, kontinjen itu merangkumi para pegawai yang pakar dalam mengenal pasti mangsa bencana dan pengawasan udara.
Related article image
Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Sim Ann menghantar pasukan terdahulu pada Selasa, 1 September 2026, di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: SPF)
Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Sim Ann berada di Lapangan Terbang Changi pada 1 September untuk menghantar pasukan terdahulu.

Singapura telah mengumumkan pada minggu sebelumnya bahawa ia akan menghantar pegawai yang pakar dalam mengenal pasti mangsa bencana, sejajar dengan permintaan Nepal.

Pasukan penyelamat Nepal masih mencari para mangsa yang terselamat seminggu selepas bencana itu, termasuk dengan menggali lumpur padat yang menimbus beberapa terowong loji hidroelektrik.

Setakat ini, pasukan penyelamat hanya menemukan mayat dari terowong, namun pasukan penyelamat masih menggali, menggerudi dan menggunakan bahan letupan untuk menembusi timbunan runtuhan.

Lebih 1,100 mayat sudah ditemukan, manakala hampir 4,500 orang masih hilang.
Related article image
Setiausaha Tetap Ehwal Dalam Negeri Tan Chye Hee, bersama kontinjen Pasukan Polis Singapura (SPF) di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: SPF)
Singapura juga akan menghantar bekalan kemanusiaan dan pegawai untuk menyokong usaha bantuan berterusan di Nepal, termasuk bekalan daripada sumber-sumber awam dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Bantuan terbaharu itu menyusuli sumbangan pemerintah sebelum ini sebanyak AS$100,000 (S$126,990) kepada kutipan dana awam Palang Merah Singapura (SRC) bagi menyokong usaha bantuan di Nepal.

SRC telah mengumpulkan sekitar S$1 juta setakat ini, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin.

MFA turut menghantar pasukan respons ke Nepal bagi menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang terjejas akibat bencana itu.
 
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita