Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Benarkan jururawat bertudung: Menteri Melayu sambut baik, ucap terima kasih kepada PM Lee

Para pemimpin politik Melayu/Islam menyambut baik langkah pemerintah membenarkan jururawat Muslim memakai tudung mulai November ini, namun menekankan bahawa ini bukan perkara "mudah".

Anggaran Waktu Membaca:
Benarkan jururawat bertudung: Menteri Melayu sambut baik, ucap terima kasih kepada PM Lee

Encik Masagos dan Dr Maliki mengulas tentang pengumuman rasmi PM Lee. (Gambar fail: Facebook)

SINGAPURA: Para pemimpin politik Melayu/Islam menyambut baik langkah pemerintah membenarkan jururawat Muslim memakai tudung mulai November ini, namun menekankan bahawa ini bukan perkara "mudah".

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong kerana menyahut permintaan masyarakat Melayu/Islam untuk membenarkan jururawat Muslim memakai tudung di tempat kerja.

Bercakap kepada media menerusi satu wawancara secara maya pada Ahad (29 Ogos), Encik Masagos berkata, keputusan yang dibuat itu "bukan sesuatu yang mudah untuk diberikan sebagai satu permintaan" kerana ia berkait rapat dengan aspek keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Dalam ucapan rapat umum Hari Kebangsaan 2021 malam tadi (29 Ogos) PM Lee mengumumkan bahawa pemerintah sudah membuat keputusan untuk membenarkan jururawat Muslim di sektor kesihatan awam memakai tudung bersama pakaian seragam mereka, jika mereka mahu.

Dasar baru itu akan berkuat kuasa 1 November ini.

Namun dengan kelonggaran itu, Encik Masagos menekankan bahawa masyarakat Melayu/Islam harus memastikan bahawa semua orang, Muslim atau tidak, memahami dan menerima keadaan baru itu. Mentelah lagi, masyarakat secara amnya akan sering bertemu dengan para jururawat Muslim di hospital serta institusi kesihatan lain.

Pada dasarnya, Encik Masagos berharap agar pengumuman tersebut tidak merenggangkan masyarakat Singapura malah mempererat hubungan sesama masyarakat.

"Kita juga harus memastikan bahawa peraturan-peraturan, apa sahaja yang dilakukan yang boleh menjejas keharmonian antara bangsa dan juga antara agama harus akhirnya mendekatkan lagi antara kita dan tidak meningkatkan lagi jurang antara masyarakat," jelas Encik Masagos.

Dalam tulisan beliau menerusi Facebook, Encik Masagos berkata bahawa "keputusan ini dicapai berkat begitu banyak sesi perbincangan dan maklum balas yang berlangsung bertahun-tahun lamanya antara Pemerintah dan pelbagai pihak termasuk masyarakat bukan Islam".

"Saya bersyukur dengan sokongan rakyat Singapura daripada semua kaum dan agama. Langkah ini jelas menunjukkan kemajuan yang telah kita capai sebagai masyarakat yang berbilang kaum dan agama yang utuh dan erat di mana kita boleh berbincang dan menghargai perbezaan dan peka terhadap keperluan semasa kaum yang lain dengan tenang dan berhemah.

"Inilah cara Singapura."

DR MALIKI: HARAP MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DAPAT BERI 'KEYAKINAN'

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Maliki Osman turut menyambut baik pengumuman tentang pemakaian tudung dalam kalangan jururawat. Namun beliau berharap masyarakat Melayu dapat memberi suatu 'keyakinan' kepada kaum lain.

"Keyakinan kepada masyarakat lain bahawa ini tidak akan merubah perhubungan kaum di Singapura. Sama ada mereka (jururawat Muslim) memakai tudung semalam atau hari muka - mereka sama - (iaitu) seorang jururawat yang boleh memainkan peranan mereka, seorang jururawat baik yang menjaga kesihatan para pesakit mereka. Itu penting sekali," tekan Dr Maliki yang juga merupakan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar.

Mentelah lagi, tambah Dr Maliki, perhubungan kaum adalah sesuatu yang bersifat interaktif.

"Kita tidak boleh bertepuk sebelah tangan. Kita harus memastikan keyakinan (terhadap satu sama lain) terus ditingkatkan di kalangan semua kaum di Singapura," tegasnya.

Beliau ditanya apakah Pemerintah menjangkakan mungkin muncul senario di mana akan ada kaum lain memberikan reaksi negatif terhadap isu tudung. Menjawab, Dr Maliki mengingatkan bahawa keputusan ini hanya diumumkan setelah PM Lee berasa yakin ia dapat diterima masyarakat am.

"Beliau mengatakan... daripada tahun 2014, beliau sudahpun bertemu dengan pemimpin-pemimpin masyarakat. Dalam jangka masa enam atau tujuh tahun selepas itu, beliau melihat perhubungan kaum antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu sudah mula menunjukkan aspek-aspek di mana pemakaian tudung sudah boleh diterima," terang Dr Maliki.

"Dengan ini Perdana Menteri berasa yakin bahawa keputusan untuk membenarkan pemakaian tudung di kalangan jururawat kita boleh diterima dan berharap akan diterima."

AP NADIA SAMDIN: INI SUATU LANGKAH KE ARAH MEMBINA TENAGA KERJA INKLUSIF

Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio Nadia Ahmad Samdin juga mengalu-alukan keputusan pemerintah membenarkan jururawat Muslim mengenakan tudung di tempat kerja sebagai sesuatu yang positif.

Ditemui selepas Rapat Umum tersebut, Cik Nadia berkata sejak beberapa tahun ini beliau terlibat dalam sesi perbincangan mengenai isu tudung dan memahami ia "bukan senang untuk mendapatkan satu huraian terutama sekali ia melibatkan pelbagai pihak".

"Saya rasa ramai di sektor kesihatan gembira atas keputusan ini dan usaha ktia akan berterusan untuk membina satu tenaga kerja yang inklusif dan berbagai," kata Cik Nadia.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa