Benarkah S'pura bandar paling tidak 'menyeronokkan'?
Singapura adalah antara 32 bandar di dunia, yang menduduki tangga corot dari segi bandar yang menyeronokkan.

Pertunjukan bunga api di Marina Bay pada 1 Jan 2017. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Singapura adalah antara 32 bandar di dunia, yang menduduki tangga corot dari segi bandar yang menyeronokkan.
Singapura menduduki tangga ke-31 dalam satu tinjauan rambang ke atas 15,000 penduduk dari 32 bandar. Ia mengambil kira kriteria seperti budaya, makanan, minuman, tahap muhibah, keselesaan, kemampuan dan kebahagiaan.
Laman Time Out mengumumkan, selain Dubai, Singapura adalah "bandar dengan rating paling teruk" dari segi budaya dan paling teruk dari segi kegiatan minum arak.
Sekalipun begitu, markah muktamad Singapura sebanyak 98.7 mata dirangsang oleh rating yang baik dari segi keselamatan dan pengangkutan awam dan "suasana restoran yang lebih bertenaga" berbanding bandar-bandar lain yang turut menduduki tangga paling bawah.
Singapura mendahului Istanbul, yang menduduki tangga terakhir dengan markah 87.1 mata.
Indeks tersebut melaporkan bahawa para penduduk Istanbul menganggap bandar mereka sebagai "terlalu mahal" (rip-off) dan tidak selamat, sambil menambah bahawa mereka juga tidak "berasa bangga atau bahagia menetap di sana".
Yang diiktiraf sebagai "bandar paling hebat di dunia" adalah Chicago, dengan penduduknya memuji landskap kelab malam di sana, persembahan muzik secara langsung dan juga budaya.
Bandar itu, yang meraih markah 138.2 mata juga dilihat sebagai "salah satu bandar paling menggembirakan dan membanggakan" di dunia.
Di tempat kedua, adalah Porto, yang disifatkan sebagai "bandar terbaik di dunia untuk berkenalan, jatuh cinta dan bebas menjadi diri sendiri".
Bandar Portugal itu juga dianggap sebagai paling dimampui untuk keluar berhibur pada waktu malam.
Tempat ketiga diduduki oleh New York, yang meraih markah baik dari segi budaya, kegiatan sebelah malam dan makan di luar meskipun ia adalah "salah sebuah bandar di mana penduduknya paling tertekan".
Mereka yang menetap di New York atau juga dikenali sebagai Big Apple berkata mereka "bebas menjadi diri sendiri" dan akan terus menetap di sana sekiranya wang tidak menjadi halangan.
Bandar-bandar lain yang menduduki tangga 10 teratas adalah Melbourne, London, Madrid, Manchester, Lisbon, Philadelphia dan Barcelona.
Berikut adalah indeks Kehidupan Bandar 2018 oleh Time Out:
1) Chicago (138.2 mata)
2) Porto (137.9 mata)
3) New York (134.6 mata)
4) Melbourne (132.3 mata)
5) London (131.4 mata)
6) Madrid (131.1 mata)
7) Manchester (130.9 mata)
8) Lisbon (130.2 mata)
9) Philadelphia (129.2 mata)
10) Barcelona (128.4 mata)
11) Edinburgh (128.2 mata)
12) Tel Aviv (125.8 mata)
13) Austin (125.3 mata)
14) Paris (124.9 mata)
15) Mexico City (121.2 mata)
16) Shanghai (119.5 mata)
17) San Francisco (119.4 mata)
18) Berlin (119.2 mata)
19) Tokyo (117.7 mata)
20) Los Angeles (116.8 mata)
21) Zurich (115.3 mata)
22) Beijing (113.0 mata)
23) Washington, DC (111.3 mata)
24) Bangkok (111.0 mata)
25) Moscow (110.2 mata)
26) Hong Kong (109.6 mata)
27) Miami (107.9 mata)
28) Sydney (106.1 mata)
29) Dubai (105.3 mata)
30) Boston (103.7 mata)
31) Singapura (98.7 mata)
32) Istanbul (87.1 mata)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.