Benarkah kelunturan bahasa ibunda bermula di rumah?

Gambar: Mak Jia Kee/TODAY
SINGAPURA: Ibu kepada tiga orang anak, Nur Asyikin Naser, memanfaatkan masanya yang terhad semasa memandu anak-anaknya ke sekolah, dengan menyemai rasa cinta terhadap bahasa ibunda mereka dengan memainkan buku audio berbahasa Melayu ketika dalam perjalanan ke sekolah masing-masing.
Di rumah, guru Bahasa Melayu sekolah menengah berusia 35 tahun itu, yang ketiga-tiga anaknya berusia antara empat hingga sembilan tahun, menggalakkan anak-anaknya yang lebih tua untuk menyimpan sebuah jurnal dwibahasa.
Beliau juga baru-baru ini berhubung dengan hampir 100 ibu melalui kumpulan sembang WhatsApp, yang bermatlamat untuk menyediakan sahabat pena Bahasa Melayu bagi anak masing-masing.
"Di Facebook, 'mummy' ini merungut tentang keupayaan menulis anak perempuannya dalam Bahasa Melayu yang sangat teruk, jadi saya menyarankan untuk menubuhkan sebuah kumpulan kecil (bagi anak-anak kami) agar mereka saling surat-menyurat. Ia menjadi sesuatu yang agak besar, kerana terdapat banyak respons (yang diterima)," ujar Cik Asyikin.
Sungguhpun beliau berjaya memupuk rasa cinta terhadap bahasa ibunda pada anak-anaknya sendiri, ia masih merupakan satu usaha berterusan untuk "anak-anaknya" yang lain - iaitu para pelajar dalam kelas Bahasa Melayunya, yang kebanyakannya tidak mempunyai latihan yang mencukupi di luar bilik darjah.
Bagi pemasar digital berusia 35 tahun, Roystonn Loh pula, yang merupakan bapa kepada tiga orang anak, berusia dua hingga tujuh tahun, beliau mendapati anak-anaknya "cuba mengelak daripada bertentangan mata" dengannya apabila beliau cuba bertutur dengan mereka dalam Bahasa Mandarin. Ini kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama yang ditutur dalam kediaman keluarga Encik Loh.
Dengan Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah di sini sejak beberapa dekad yang lalu, anak-anak Encik Roystonn Loh adalah antara generasi muda Singapura yang berasa kurang selesa dengan bahasa ibunda mereka dan lebih selesa menggunakan Bahasa Inggeris.
Sedang Singapura meraikan Hari Kebangsaan pada Jumaat (9 Ogos), Mediacorp meninjau evolusi tanda aras jati diri dan budaya ini.
MENGAPA BAHASA IBUNDA PENTING
Bagi Encik Loh dan isterinya, keupayaan bertutur dalam Bahasa Mandarin tidak menjadi satu keprihatinan sehingga beliau menyedari terdapat jurang antara penguasaan bahasa ibunda anak perempuannya dengan syarat-syarat yang ditetapkan bagi bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah.
Kebimbangannya terhadap kefasihan anak-anaknya bertutur dalam Bahasa Mandarin "semata-mata (dari segi) akademik (sahaja)", memandangkan beliau selesa berkongsi mengenai budaya dan tradisi masyarakat Cina bersama anak-anaknya dalam Bahasa Inggeris.
Namun, ada juga yang merasakan bahawa terdapat lebih banyak lagi yang dipertaruhkan: Bagi mereka, bertutur dalam bahasa ibunda akan menghubungkan keluarga mereka dengan budaya serta warisan mereka.

Cik Asyikin, guru Bahasa Melayu, berpendapat ramai pelajar remajanya sudah terbiasa menggunakan kata ganti diri tidak rasmi seperti "aku" untuk merujuk kepada diri mereka sendiri dan bukannya "saya", yang lebih sopan ketika bercakap dengan guru-guru dan orang tua.
"Bagi saya, ia bukan sahaja mengenai bahasa, ia juga mengenai identiti diri. Apabila anda bertutur dalam bahasa ibunda, terdapat nilai-nilai tertentu, seperti rasa hormat dan kesopanan, yang anda pelajari, berbanding dengan Bahasa Inggeris," tambahnya.
Meskipun ada yang berpendapat bahawa budaya dan bahasa boleh dipisahkan, Dr Goh Hock Huan, seorang saintis penyelidikan pendidikan di Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Amali di Institut Pendidikan Nasional (NIE) menarik perhatian bahawa bahasa menyampaikan "persamaan budaya" melalui penggunaan dan tutur sebenar, yang bahasa lain "tidak dapat mencerminkan dan menyampaikannya dengan lengkap".
Meskipun amalan dan tradisi budaya mungkin tidak "terikat dengan bahasa", setiap bahasa membuka lebih banyak pandangan dunia, kata Profesor Madya Linguistik dan Pengajian Berbilang Bahasa Tan Ying Ying dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
GAMBARAN LUAS
Dengan skala dwibahasa lebih cenderung kepada Bahasa Inggeris sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa berusaha untuk mengimbangi hal tersebut dengan menjadikan pembelajaran bahasa ibunda lebih menarik dan mudah diakses.
KESIMPULANNYA
Jika rumah adalah persekitaran yang paling penting untuk memupuk hubungan rakyat Singapura dengan bahasa ibunda mereka, adakah trend yang lebih cenderung kepada keluarga yang hanya bertutur dalam Bahasa Inggeris akan memberi kesan kepada identiti negara yang menyambut ulang tahunnya yang ke-59 pada 9 Ogos?
Sebilangan yang ditemui Mediacorp mengatakan bahawa berbanding dengan bahasa ibunda yang ditetapkan dari segi etnik mereka, Bahasa Inggeris dianggap sebagai medium yang lebih inklusif dalam menyatukan rakyat Singapura yang berbilang kaum dan budaya.
Bagi pelajar berusia 15 tahun, Aldrin Ardiansyah Fakhrul-Arifin, fasih bertutur dalam Bahasa Melayu tidak menjadikannya lebih, atau kurang, sebagai rakyat Singapura.
Sebaliknya, beliau mendapati bahawa menyambut perayaan bersama keluarga semasa Hari Raya, dan bersama rakan-rakan semasa sambutan Tahun Baru Cina, lebih penting dalam membentuk identitinya.

Dr Tan dari NTU berpendapat bahawa tidak menghairankan jika belia hari ini lebih acuh tak acuh terhadap sebarang kelunturan budaya daripada kefasihan bertutur dalam bahasa ibunda, atau seandainya mereka mempunyai hubungan yang lebih kukuh dengan Bahasa Inggeris.
"Saya tidak menyalahkan kanak-kanak hari ini kerana berkata, 'Saya baik-baik sahaja dengan Bahasa Inggeris kerana saya mempunyai rakan daripada latar belakang etnik yang berbeza, dan kami semua bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana terdapat juga rasa membina identiti nasional (dalam hal itu)," kata Dr Tan.
Namun, pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa pemikiran seperti itu akan membawa Singapura kepada "satu bahasa sahaja (ekabahasa)" dan kepelbagaian bahasa akhirnya akan luntur.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.