Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Benarkah gula penyebab utama penyakit kencing manis?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kuih muih tradisional Melayu sering dihidangkan untuk sarapan pagi, minum petang dan juga di majlis-majlis keramaian.

Kebanyakannya jenis yang lemak, lagi manis.

Jadi apabila Cik Nadirah Hassan memulakan perniagaan menjual kuih-muih Melayu berdasarkan resipi ibunya perkara pertama yang dilakukannya adalah untuk mengurangkan kandungan gula.

"Mungkin generasi yang lebih tua minat kuih-kuih yang manis. Jadi saya kadang kadang-tertanya kenapa kandungan gula ni terlalu banyak dalam sesuatu jenis kuih. Tapi ibu saya kata sudahlah jangan rosakkan resipi," kata pemilik syarikat Santan by Auntie Bedah.

Namun Cik Nadirah merasakan tahap kemanisan kuih-muih Melayu mungkin dapat dikurangkan 30 peratus hingga 50 peratus.

Beliau mengambil masa lebih setahun untuk mengubah resipi-resipi ibunya.

Antara perubahan yang dibuat adalah dengan menggantikan gula pasir dan gula halus dengan gula perang dan gula Melaka.

Dan beliau memastikan keaslian dan mutu kuih muih yang dihasilkannya tetap dijaga.

"Generasi muda mereka suka benda-benda yang kurang manis. Mungkin mereka lebih menjaga kesihatan dan lebih suka makanan yang kurang manis," kata beliau.

Tetapi beliau akur tidak dapat memenuhi selera semua.

"Ada seorang pemilik dewan acara. Isterinya memang minat kuih saya tapi apabila beliau cuba untuk sebuah majlis di situ, beliau memberitahu saya kuih saya tiada rasa. Tidak ada rasa manis pun," kongsi Cik Nadirah.

Kencing manis sering dikaitkan dengan pengambilan gula yang berlebihan, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NHPS) pada 2020 menunjukkan, kadar penyakit kencing manis dalam kalangan orang Melayu adalah 14.4 peratus berbanding orang India sebanyak 14.2 peratus dan 8.2 peratus bagi kaum Cina.

Dan peratusan pesakit kencing manis adalah tertinggi sekitar 15 peratus dalam kalangan lelaki India dan wanita Melayu.

Tetapi adakah gula punca utama penyakit kencing manis?

"Adakah gula dan nasi punca penyebab penyakit kencing manis ialah separuh benar. Seperti karbohidrat yang telah diproses adalah salah satu sebab yang menyebabkan seseorang itu menyebabkan penyakit kencing manis.

"Seperti nasi putih, roti putih ataupun makanan makanan yang telah diproses, yang tidak ada kandungan fibre dalam kandungan karbohidrat tersebut. Ini yang boleh menyebabkan seseorang itu kurang kawalan untuk memakan makanan tersebut," jelas Pakar pemakanan dan pembimbing Kesihatan Chi Tree Health Cik Amirah Rahmat.

Penyakit kencing manis Jenis 2 paling kerap berlaku di Singapura.

Ia juga dikaitkan dengan masalah kegemukan.

Penyakit kronik lain yang dikaitkan dengan kegemukan ialah tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol tinggi.

"Apabila kita lihat kadar obesiti dalam tiga kumpulan etnik di Singapura, obesiti adalah kira-kira seganda ganda dalam masyarakat India dan kira-kira tiga kali dalam masyarakat Melayu berbanding masyarakat Cina.," kata Konsultan Bersekutu di Jabatan Endokrinologi, Hospital Besar Singapura, Dr Suresh Rama Chandran,

Beliau menambah bahawa mereka yang baru didiagnos boleh berhenti mengambil ubat atau mengurangkan ubat yang perlu diambil jika berat badan mereka dapat dikurangkan 10 peratus hingga 15 peratus

Menurut CIk Amirah, penting untuk mengawal pemakanan.

"Kita tak oleh salahkan makanan sahaja, kerana kalau kita dapat kawal jumlah yang kita makan, ia tidak menjadi masalah. Tapi kalau kita berlebihan dengan gula, sebagai contoh makan nasi berlebihan atau makan pencuci mulut, ataupun memakan makanan yang terlalu diproses.

"Ini semua mengandungi gula atau gula yang tersembunyi. Ini yang lebih merbahaya kerana kita tidak rasa manisnya tapi ia akan ada kesan dalam badan kita," jelas beliau.

Kencing manis Jenis 2 adalah pembunuh senyap kata Dr Suresh.

"Kencing manis adalah pembunuh sangat senyap. Ada yang tidak merasa perlu untuk makan ubat atau mengubah gaya hidup mereka kerana walaupun gula mereka tinggi, mereka baik. Mereka bekerja, Penyakit ini menyebabkan kerosakan senyap kepada hampir semua organ dalam badan anda."

Dr Suresh memberi amaran, sekiranya tidak dikawal ia boleh menyebabkan komplikasi lanjutan pada jantung dan buah pinggang yang tidak boleh diubah meskipun pesakit cuba mengurangkan berat badan atau mengamalkan gaya hidup sihat.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan