Belum ada kes ajaran sesat dibawa ke muka pengadilan di S’pura sejak 1966
Sejauh ini belum ada kes ajaran sesat dibawa ke mahkamah sejak Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) digubal pada tahun 1966. Ini walaupun wujud akta mengenai ajaran sesat di bawah Seksyen 139, AMLA.

Peguam veteran dan rakan kongsi Emerald Law, Encik Ahmad Nizam Abbas. (Gambar: Petikan skrin SalamSG TV/YouTube)
SINGAPURA: Sejauh ini belum ada kes ajaran sesat dibawa ke mahkamah sejak Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) digubal pada tahun 1966. Ini walaupun wujud akta mengenai ajaran sesat di bawah Seksyen 139, AMLA.
Menurut Seksyen tersebut, sesiapa yang mengajar atau menerangkan sebarang fahaman atau menjalankan sebarang upacara atau perbuatan yang ada kaitan dengan agama Islam dalam apa-apa cara bertentangan dengan hukum Islam didapati melakukan kesalahan.
Demikian menurut peguam veteran dan rakan kongsi Emerald Law, Encik Ahmad Nizam Abbas.
Beliau berkongsi kenyataan tersebut dalam forum online Panduan Fatwa: Mengenali Ciri-ciri Ajaran Sesat yang dijalankan secara langsung menerusi Facebook dan Youtube SalamSG TV malam tadi (10 Dis).
Forum itu turut disertai Timbalan Mufti Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan dan Anggota Penuh Jawatankuasa Fatwa Ustaz Ali Haji Mohamed selaku anggota panel.

(Gambar: Petikan skrin SalamSG TV/YouTube)
"(Seksyen) 139 tak ada kes sebelum ini. Sejak AMLA tahun 1966 hingga ke hari ini, tak ada satu kes pun yang dibawa ke mahkamah, tak ada, tetapi ada banyak yang tak tahu ada Seksyen 139(2) pula," kata Encik Nizam.
"Seksyen 139(2) menyatakan di mana ada seseorang itu didakwa, dibawa ke mahkamah, bukti boleh diberi oleh presiden – di sini adalah Presiden MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura).
"Testimoni Presiden MUIS itu akan diterima oleh mahkamah sebagai posisi yang betul, iaitu kalau Presiden MUIS itu mengatakan itu ajaran atau kelakuan yang bercanggah dengan ajaran Islam yang betul, mahkamah akan mengikut testimoni presiden (tersebut).
Menurut Encik Ahmad Nizam, bukan Presiden MUIS sahaja yang ke mahkamah dan beri bukti, orang lain juga – termasuk Jawatankuasa Fatwa - boleh memberi bukti mengenai ajaran sesat.
HUKUMAN BAGI AJARAN SESAT
Hukuman maksimum bagi ajaran sesat ialah penjara tidak melebihi 12 bulan atau denda tidak melebihi $2,000. Undang-undang itu tidak berubah sejak tahun 1966.
Semasa ditanya sama ada hukuman tersebut dianggap ringan bagi kesalahan ajaran sesat, ini jawapan Encik Ahmad Nizam: "Saya rasa impak kepada pesalah lebih daripada hukuman penjara dan denda – malu dan implikasi kepada keluarga sendiri. Jadi banyak kesannya sebenarnya."
Malah Encik Nizam menjelaskan seseorang pengikut juga boleh dibawa ke mahkamah, iaitu di bawah Seksyen 140 - Persubahatan, di mana seseorang itu menolong orang lain untuk menyebarkan.
"Jadi sebagai contoh kalau mungkin pemimpin atau pembimbing beri ceramah di stadium tapi penolongnya yang tolong beri risalah, yang uar-uarkan, semua orang boleh terlibat. Itu bahayanya," kata Encik Ahmad Nizam.
BAWA KE MUKA PENGADILAN ADALAH "JALAN TERAKHIR"
Walaupun ada undang-undang di bawah AMLA, Encik Nizam berpendapat mekanisme itu adalah "jalan terakhir".
"Kita tidak harus memikir bahawa ada undang-undang Seksyen 139, itu pilihan kita yang pertama, bukan. Itu jangan jadi pilihan pertama. Itu pilihan terakhir. Fikirkan apa itu pilihan pertama iaitu pendidikan.
"Rujuk dengan MUIS, rujuk dengan Lembaga Agama Asatizah (ARB), semak mana yang kita patut ikut," kata Encik Ahmad Nizam.
Forum mengenai ajaran sesat ini diadakan sedang MUIS bulan lalu menyatakan ia sudah membuat laporan polis mengenai seorang individu yang dikatakan menyebarkan ajaran sesat. Ini setelah Jawatankuasa Fatwa selesai menjalankan siasatannya berhubung kes itu.
Ia merujuk kepada kes seorang lelaki berusia 50-an tahun yang dikatakan mengaku dirinya Nabi dan mengamalkan ‘nikah batin’ dengan lima orang wanita.
Dalam pada itu Timbalan Mufti Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan pula menjelaskan bahawa tanggungjawab Jawatankuasa Fatwa bukan untuk menjatuhkan hukuman, sebaliknya mengeluarkan Fatwa buat ajaran sesat.

(Gambar: Petikan skrin SalamSG TV/YouTube)
"Apa yang dilakukan Fatwa adalah Fatwa akan memanggil orang ini dan akan memberi kaunseling kepada mereka, mengingatkan mereka ini adalah salah dan kamu jangan buat sedemikian dan sebagainya. Tapi tidak ada dakwaan, itu pihak mahkamah.
"Kalau misalnya dalam situasi di mana ingin dibawa ke peringkat lebih tinggi atau kehakiman... bahawa Presiden (MUIS) dan Fatwa, setelah menilai bukti-bukti ini, akan mengemukakan bukti dan hujah-hujah ini kepada pihak pengadilan untuk menilai dan mengambil tindakan, tahap itu yang belum lagi".
Ini kerana Ustaz Hannan berkata "tidak mudah" untuk membuktikan istilah 'beyond reasonable doubt' atau 'tidak ada keraguan ia wujud', dari segi undang-undang.
"Mengambil jalan undang-undang adalah salah satu jalannya tapi ia tidak selalu jalan yang terbaik kerana kita akan terperangkap dalam masalah pembuktian dan itu bukan mudah untuk membuktikan ‘beyond reasonable doubt’ di depan hakim. Itu satu amanah.
"Jadi ini mungkin mengambil masa yang lama ataupun susah. Akhirnya juga bila perkara-perkara ini dibawa ke kehakiman, kadang-kadang yang terdedah bukan masalah itu sahaja. Benda lain semua terikut dan terkait kerana setiap seorang ingin mempertahankan dirinya sendiri. Itu antara implikasi membawa kepada kehakiman," kongsi Ustaz Hannan.
Minggu ini MUIS mengeluarkan satu panduan berhubung empat ciri ajaran sesat.
Jawatankuasa Fatwa juga menekankan peri pentingnya masyarakat Melayu/Islam mempelajari ilmu agama dengan para asatizah bertauliah di bawah ARS.
Masyarakat juga digalak belajar daripada pelbagai asatizah bertauliah yang ada dan bukan hanya menjadikan satu saja sebagai sumber rujukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.