Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia S'pura seru pemimpin negara 'berani percepatkan' tindakan iklim

Kumpulan iklim and alam sekitar yang diterajui golongan belia di Singapura menggesa Pemerintah agar "berani mempercepatkan" tindakan iklim. Menurut mereka meskipun pihak berkuasa sudah mengumumkan pelbagai insiatif, tindakan negara "belum sampai ke tahap yang sepatutnya".

Anggaran Waktu Membaca:
Belia S'pura seru pemimpin negara 'berani percepatkan' tindakan iklim

Para peserta di Perhimpunan Iklim Singapura di Taman Hong Lim pada 21 Sep 2019. (Gambar: SG Climate Rally)

Diterbitkan : 05 Nov 2021 11:39AM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 11:41AM

SINGAPURA: Kumpulan iklim and alam sekitar yang diterajui golongan belia di Singapura menggesa Pemerintah agar "berani mempercepatkan" tindakan iklim. Menurut mereka meskipun pihak berkuasa sudah mengumumkan pelbagai insiatif, tindakan negara "belum sampai ke tahap yang sepatutnya".

Golongan belia itu berkata demikian dalam satu kenyataan bersama berjudul "Seruan mendesak belia Singapura mengenai krisis alam sekitar". Kenyataan itu dikeluarkan sedang sidang perubahan iklim, COP26, di Glasgow meraikan Hari Belia dan Generasi Masa Depan pada Jumaat (5 Nov).

“Sudah dua tahun sejak Perdana Menteri Lee Hsien Loong pertama kali akur bahawa perubahan iklim adalah masalah antara 'hidup dengan mati'. Dalam tempoh dua tahun itu, bagaimanapun, krisis iklim dan kehilangan biodiversiti semakin memburuk," menurut kenyataan tersebut.

“Kita hanya tinggal sembilan tahun lagi untuk mencegah kesan perubahan iklim yang tidak boleh diputar balik. Dalam kenyataan ini, kami mahu memberi Singapura peluang masa depan yang sesuai untuk didiami."

Setakat Khamis (4 Nov), kenyataan tersebut mendapat sokongan 93 individu serta 75 pertubuhan iklim dan alam sekitar, termasuk SG Climate Rally, Blue Plan dan Orang Laut SG.

TANGANI PELEPASAN GAS

Kenyataan itu menggariskan enam bidang tumpuan yang memerlukan tindakan lebih besar - pelepasan gas rumah hijau, alam semula jadi dan kepelbagaian hidup-hidupannya, daya tenaga, tanggungjawab korporat dan kewangan, memperkasa masyarakat serta ekonomi dan rakyat.

Antara saranan yang mereka kemukakan termasuk sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan sasaran tiada pertambahan menjelang tahun 2050, dengan sektor awam menerajui usaha tersebut.

Tambahnya, Singapura harus mendedahkan pelepasan tidak langsung gas rumah hijau yang berlaku dalam rantaian nilai syarikat - atau pelepasan Skop 3 - terutama bagi sektor yang banyak melepaskan gas seperti perkapalan, penerbangan dan petrokimia.

Ini termasuk melaporkan pelepasan gas hijau yang dijana melalui pembelian barangan dan perkhidmatan, perjalanan perniagaan serta pembuangan sisa.

Jumlahnya harus dikurangkan sejajar dengan sifar bersih menjelang 2050, tambahnya.

Pada masa yang sama, kumpulan itu mencadangkan agar Singapura meningkatkan penyertaan dan pelaburan dalam langkah mengurangkan pelepasan gas hijau di peringkat serantau.

APA ITU PELEPASAN SKOP 3?

Pelepasan gas rumah hijau terbahagi kepada tiga kumpulan atau "Skop" di bawah Protokol Gas Rumah Hijau (GHG), iaitu suatu piawai global untuk mengukur, mengelola dan membuat laporan mengenai pelepasan gas rumah hijau.

Skop 1 meliputi pelepasan secara langsung dari sumber dimiliki atau terkawal manakala Skop 2 merangkumi pelepasan tidak langsung dari penjanaan bekalan elektrik yang dibeli, wap, pemanasan dan penyejukan yang digunakan oleh syarikat pelapor. Skop 3 pula termasuk pelepasan tidak langsung lain yang berlaku dalam rantaian nilai syarikat.

Banyak syarikat besar di dunia kini menyumbang dan melaporkan pelepasan Skop 1 serta 2. Lebih banyak perhatian juga diberi kepada syarikat supaya mendedahkan pelepasan Skop 3 masing-masing.

Walaupun Skop 3 lebih sukar untuk diukur, ia menyumbang kepada jejak karbon sesebuah syarikat. Menurut laporan yang diterbitkan awal tahun ini oleh firma CDP yang mengukur karbon, pelepasan gas rumah hijau dari rantaian bekalan sesebuah syarikat secara puratanya 11.4 kali lebih tinggi berbanding pelepasan hasil operasinya.

Pada Ogos, Bursa Singapura (SGX) menyarankan sebagai sebahagian daripada peta hala tujunya, pendedahan risiko iklim akan diperkenalkan cara bertahap-tahap sepanjang tiga tahun akan datang.

Di bawah inisiatif itu, syarikat tersenarai yang berdagang di bursa tersebut akan dikehendaki untuk mendedahkan risiko iklimnya mengikut garis panduan disarankan di peringkat antarabangsa, bermula seawal tahun fiskal 2022.

Ia menyarankan agar syarikat-syarikat dikehendaki mendedahkan pelepasan GHG Skop 1 serta 2 dan sekiranya dianggap perlu, pelepasan bagi Skop 3 juga.

Selain itu, badan-badan belia itu turut menggesa agar Singapura mengeluarkan larangan terhadap pembiayaan baru bagi bahan bakar api dan yang berkaitan pemusnahan habitat.

LINDUNGI ALAM SEKITAR & BIODIVERSITI

Kumpulan belia itu juga menggesa agar lebih banyak tindakan diambil untuk melindungi alam sekitar dan kepelbagai hidup-hidupan di sini.

Bagi tujuan itu, mereka mencadangkan melindungi kawasan hutan yang masih ada termasuk habitat yang sudah tumbuh semula dari semasa ke semasa seperti Hutan Clementi dan membolehkan penubuhan semula biodiversiti tempatan.

Bidang-bidang lain yang memerlukan lebih banyak tindakan, menurut kumpulan belia itu, termasuk memperkasa masyarakat tentang isu-isu iklim dan berkaitan alam sekitar, melindungi pekerja dalam industri seperti industri petrokimia serta berlabur dalam "pekerjaan mesra alam" yang baik.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan