Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia punyai peranan penting dalam usaha tentang eksklusivisme dan ekstremisme: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Usaha menentang amalan bersifat eksklusif dan fahaman pelampau bukan hanya tanggungjawab Pemerintah, dan kumpulan-kumpulan masyarakat.

Setiap orang, terutamanya golongan belia, sebagai masa depan Singapura, mempunyai peranan penting dalam usaha itu.

Menteri Negara merangkap Ehwal dalam Negeri dan Pembangunan Negara, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim menekankan demikian di acara tahunan Forum Belia 2022 anjuran Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) di SMU pagi tadi (19 Nov).

Forum bertajuk Belia(untuk)Keamanan – Menentang Eksklusivisme dan Ekstremisme itu disertai 200 belia.

Dalam ucapannya, Dr Faishal menarik perhatian bagaimana pandemik COVID-19 telah mengubah landskap keselamatan Singapura.

--

Menurutnya, dengan semakin ramai individu terutamanya golongan belia menghabiskan lebih banyak masa dalam talian, entiti pengganas menjadi lebih mahir menggunakan media sosial dan platform online untuk menyebarkan propaganda pelampau, merekrut anggota, dan merancang serangan.

Dr Faishal berkata bilangan belia yang menjadi radikal kian meningkat di peringkat global sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ramai yang menjadi mangsa retorik pelampau dalam talian dan ada di antara mereka di peringkat awal remaja.

Dr Faishal menekankan bahawa keamanan dan keharmonian dalam masyarakat tidak boleh diambil mudah.

"Kita semua perlu memainkan peranan untuk menolak dengan tegas sebarang bentuk ucapan kebencian, idea ekstremis atau eksklusif, yang mengancam struktur sosial kita," kata Dr Faishal.

CABARAN PERPADUAN AGAMA, BANGSA

Acara hari ini bukan sahaja menekankan peranan kritikal belia dalam usaha negara kita untuk memerangi eksklusivisme dan ekstremisme, tetapi juga menekankan keazaman Singapura untuk menyokong daya tahan sosial dalam menghadapi keganasan.

Beberapa peserta yang ditemui berkata sesi tersebut telah meningkat kesedaran mereka mengenai cabaran perpaduan agama dan bangsa.

--

"Melalui sesi tadi saya telah pelajari bahawa usaha membina daya tahan sosial sangat penting bagi menghambat ideologi radikalisme dan ekstremisme di Singapura. Masyarakat yang mempunyai daya tahan sosial yang tinggi akan bersatu-padu dalam menangani isu-isu tersebut.

"Maka mereka akan membimbing, menyokong dan mendorong orang di sekeliling mereka khususnya para belia supaya hidup dengan aman bersama berbagai agama dan bangsa lain supaya keharmonian agama serta bangsa terjamin di Singapura," kata Haninah Rehan, pelajar Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

Bagi Muhd Haqqan Bin Abdull Malek pula, sesi perkongsian itu memberikannya pendedahan terhadap saluran-saluran betul bagi mendapatkan bantuan.

"Kita boleh memberitahu seorang pakar yang tahu bagaimana untuk membantu seorang yang radikal. Dan ia penting melaporkan bahan-bahan radikal di online kerana ia boleh mempengaruhi belia-belia di Singapura," kata Muhd Haqqan, pelajar Politeknik Temasek.

Dalam pada itu, pengerusi AMP Singapura, Dr Md Badrun Nafis Saion menekankan mengenai pentingnya untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan yang betul apabila menghabiskan masa di ruang maya.

--

“Kami perlu menjadi pengguna yang pandai menilai dan membezakan bahan kandungan yang baik dan buruk. Kadang-kala ia tidak semudah itu. Sebagai kayu ukur, kami mesti menghindari daripada kandungan yang memecah-belah masyarakat kita,” kata Dr Md Badrun semasa ucapan pembukaannya.

Ditubuhkan pada tahun 2002, ACG adalah satu kerjasama antara AMP Singapura, Yayasan MENDAKI, Taman Bacaan dan Masjid Khadijah.

Selain menganjurkan forum-forum belia tahunan, ia juga menawarkan sokongan kepada ahli keluarga individu yang ditahan atas aktiviti berkaitan pengganasan.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan