Skip to main content

Singapura

Belia perlu rebut peluang kuasai AI, robotik demi kekal berdaya saing: Masagos Zulkifli

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jul 2026 08:52PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 06:40PM
  • Masagos Zulkifli menekankan pentingnya peluang pembelajaran teknologi seperti AI dan robotik untuk semua lapisan masyarakat di Singapura.
  • Pertandingan Robot Wars, dianjurkan bersama MENDAKI, M³ dan SUTD, menarik lebih 100 pelajar berusia 10 hingga 15 tahun untuk memupuk minat dalam STEM.
  • Acara ini termasuk bengkel robotik dan disokong oleh pelbagai pertubuhan, dengan harapan membina kemahiran relevan bagi ekonomi masa depan.
  • Sejak Jun, lebih 100 aktiviti Raikan Ilmu@Heartlands telah dijalankan di seluruh negara untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pelajar, keluarga dan pekerja.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli menekankan kepentingan membina sebuah masyarakat yang menyediakan peluang untuk semua.

Menurut beliau, setiap individu mempunyai bakat dan potensi tersendiri, namun ia hanya dapat digilap apabila diberi akses kepada ilmu dan peluang yang sesuai.

Encik Masagos memberi contoh salah satu peluang yang disediakan adalah menerusi pertandingan Robot Wars yang mendedahkan belia kepada asas robotik, pengekodan dan Kecerdasan Buatan (AI).

Dalam era di mana AI memainkan peranan penting, ibu bapa dan anak-anak digesa supaya memanfaatkan AI untuk kekal berdaya saing.

"Hari ini kita mempelajari robotik, saya harap anda akan mula membaca tentangnya kerana robotik merupakan hala tuju masa depan di banyak negara yang sedang bersaing antara satu sama lain," kata Encik Masagos.

Encik Masagos menambah bahawa beliau amat optimis bahawa AI akan membuat kehidupan lebih baik.

Dengan pelbagai peluang yang disediakan untuk mempelajari AI, beliau yakin negara ini mampu menjadi lebih maju daripada banyak negara lain.

"Jika anda terus berusaha dan tidak berputus asa, melalui MENDAKI dan pelbagai pertubuhan di Singapura ingin memberi anda peluang untuk berjaya dalam kehidupan serta merealisasikan potensi dan bakat yang anda miliki," jelasnya.
Related article image
(Gambar: MENDAKI)
ROBOT WARS PUPUK MINAT GOLONGAN MUDA TERHADAP TEKNOLOGI

Lebih 100 peserta berusia antara 10 hingga 15 tahun mengambil bahagian dalam edisi kedua Robot Wars sempena Raikan Ilmu.

Ini termasuk para pelajar sekolah rendah dan menengah, serta madrasah.

Pertandingan yang dianjurkan bersama tiga bandar M³ dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), dengan sokongan Yayasan MENDAKI itu, bertujuan memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan golongan muda.

Ia juga merangkumi bengkel robotik, di mana peserta mempelajari cara untuk mengendalikan robot.

Di antara peserta yang tertarik dengan bidang robotik adalah Nur Aaliyah Mohd Hendra Rosa, 12 tahun.

Kumpulannya, The Hackers, dinobat Naib Juara.

"Saya ingin menyertai SUTD untuk belajar tentang robotik dan pengekodan, itu yang menarik perhatian saya," kata Aaliyah.

"Satu hari nanti saya ingin cuba untuk memajukan kemahiran teknologi kita supaya Singapura boleh lebih maju dalam bidang tersebut," kata Hui Wan Xuan, yang menjuarai Robot Wars bersama kumpulannya, Pixidemon.
Related article image
(Gambar: MENDAKI)
Turut hadir dalam acara tersebut ialah Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Changi, Sharael Taha.

"Saya harap lebih ramai daripada pelajar-pelajar kita tidak kira latar belakang, dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti seperti Robot Wars ini supaya kita dapat memupuk minat dan juga meningkatkan kemahiran anak-anak kita kepada ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk ekonomi baharu ini," kata Encik Sharael.

Sejak Jun tahun ini, MENDAKI telah bekerjasama dengan M³@Bandar, pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan pihak berkepentingan untuk menganjurkan 11 Raikan Ilmu@Heartlands di seluruh negara.

Lebih 100 aktiviti dianjurkan di kawasan kejiranan bagi memberi lebih ramai pelajar, keluarga dan golongan pekerja peluang mempelajari kemahiran baharu serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita