Belia perlu lebih kritis nilai maklumat, elak terpengaruh ikut emosi hadapi ekstremisme: Edwin Tong
SINGAPURA: Undang-undang untuk mencegah atau menghapuskan maklumat palsu tidak akan dapat menjamin perlindungan sepenuhnya.
Menteri Undang-undang Edwin Tong sebaliknya berkata bahawa
golongan muda perlu belajar menilai dan meneliti maklumat dengan lebih kritikal, serta tidak mudah terpengaruh oleh perasaan.
Encik Tong berkata demikian di acara sembang santai Olive TREE anjuran Humanity Matters pada Sabtu (7 Feb).
SEMBANG SANTAI OLIVE TREE KUPAS ISU EKSTREMISME, GOLONGAN BELIA
Sesi sembang santai Olive Tree itu memberi penekanan terhadap golongan belia dan ekstremisme.
Selain itu, Encik Tong yang juga Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri turut menyentuh tentang keagamaan.
Beliau menekankan peri pentingnya peranan pemimpin agama dalam memperbetulkan salah tafsiran ajaran agama.
Encik Tong berkata: "Peranan para pemimpin agama menjadi lebih penting lagi, untuk memisahkan yang nyata daripada rekaan, menjelaskan ajaran yang sebenar serta menegur ajaran yang salah — sama ada yang disengajakan atau tidak — yang salah mentafsir ajaran agama."
"Saya rasa perkara ini perlu kita beri perhatian serius, dan sebab itulah amat penting bagi pemimpin agama daripada pelbagai kumpulan untuk menjalankan peranan masing-masing dengan penuh rasa hormat.
Encik Tong juga menggalak generasi muda untuk mendakap budaya lain, kerana pengalaman peribadi mereka akan dapat mencabar naratif yang memecahbelahkan.
Bagi warga baharu pula, Encik Tong berkata adalah penting untuk menunjukkan sikap keterbukaan serta bersedia menerima golongan berlainan sedang bilangan warga asing yang datang ke Singapura terus meningkat.
Namun, beliau menambah bahawa proses integrasi merupakan usaha dua hala.
Encik Tong berkata: "Individu tersebut perlu ingin terlibat, dan perlu terbuka dan bermurah hati untuk menerima — seperti yang saya katakan — mendakap perbezaan daripada diri kita, serta berusaha membimbing, dan berinteraksi sambil menyampaikan pemahaman makna menjadi seorang rakyat Singapura."
Encik Tong turut menambah bahawa pemerintah akan terus memperkukuh dasar dan institusi bagi menggalak pergaulan dan interaksi yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat.
PROGRAM ON MIDDLE GROUNDS (OMG) BINA DAYA TAHAN MASYARAKAT
Di sesi sembang santai Olive TREE juga, Encik Tong merasmikan pelancaran program On Middle Grounds (OMG).
Program tersebut merupakan inisiatif Humanity Matters bagi memperkukuh daya tahan masyarakat dan semangat silang budaya di Singapura.
Program OMG, yang dilaksanakan sebagai projek perintis, bertujuan melibatkan ibu bapa, keluarga, pertubuhan keagamaan, pemimpin masyarakat, belia dan pelajar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dalam usaha memupuk kewujudan bersama yang harmoni dan berdaya tahan dalam masyarakat majmuk.
Humanity Matters menyatakan bahawa pendekatan sosial yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat, dengan memberi tumpuan kepada faktor-faktor yang mempengaruhi kestabilan sosial, keharmonian masyarakat dan keyakinan awam dapat sekali gus menyumbang kepada daya tahan negara.
Program OMG itu akan mendekati golongan tersebut menerusi kaedah-kaedah seperti pameran bergerak dan perbincangan berpandu serta menerusi perkongsian pemimpin agama mengenai nilai sejagat dan aspirasi bersama sebagai sebuah negara.
"Saya rasa ini merupakan satu cabaran kepada dasar, kepada masyarakat kita sendiri dan masa depan, kerana jika kita tidak menangani perbezaan-perbezaan yang jelas ini yang boleh dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk mewujudkan perpecahan yang lebih besar dan lebih mendalam dalam masyarakat kita.
"Maka saya bimbang suatu hari nanti, kita akan sampai ke satu tahap di mana kita tidak lagi mempunyai masa untuk menjelaskan atau cuba mendamaikan segala perbezaan dan ciri-ciri yang wujud dalam kalangan kita," kata Encik Ong Keng Yong, Pengerusi Humanity Matters.
Dalam ucapannya, Encik Tong menyifatkan pelancaran program itu sebagai tepat pada masanya.
"Ia merupakan satu langkah dalam membina daya tahan masyarakat dengan menghimpunkan golongan belia, rakan masyarakat serta para pemimpin — termasuk pemimpin pelbagai agama dan organisasi keagamaan — dalam ruang selamat untuk berdialog. Program ini mengiktiraf bahawa keharmonian sosial tidak boleh dipaksakan, tetapi perlu dan boleh dipupuk serta dibina secara organik. Malah, inilah pendekatan yang telah menjadi ciri gaya Singapura," ujar Encik Tong.
Beliau menambah: "Oleh itu, kita tidak pernah mengelak daripada membincangkan isu-isu sukar. Namun, pendekatan kita sentiasa memastikan perbincangan tersebut berlangsung di platform yang tepat. Saya percaya program OMG menyediakan platform sedemikian. Ia bermula dengan perbualan yang bermakna, di mana kita mendengar, bertanya, memahami dan membuat renungan tanpa prasangka.”
Lebih 100 individu termasuk para pemimpin agama menghadiri sesi sembang santai Olive TREE yang diadakan sempena Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.