Skip to main content

Singapura

Belia perlu kuasai pemikiran kritis hadapi era AI: Dr Syed Harun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jul 2026 07:50PM Dikemas Kini : 11 Aug 2026 03:41PM
SINGAPURA: Golongan belia perlu melengkapkan diri dengan kemahiran berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan jelas dan menghormati pandangan yang berbeza bagi menghadapi dunia yang semakin dipacu kecerdasan buatan (AI) serta lambakan maklumat.

Menyampaikan ucaptama di peringkat akhir pertandingan Debat Belia 2026 anjuran Angkatan Karyawan Islam (AMP) pada Ahad (26 Jul), Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Negara Dr Syed Harun Alhabsyi berkata golongan muda bukan lagi sekadar memerlukan akses kepada maklumat, malah perlu tahu mengemukakan soalan yang baik, menilai fakta dan membuat keputusan yang bijaksana, dan disinilah kemahiran berdebat memainkan peranan dalam membentuk keupayaan tersebut
Related article image
(Gambar: AMP)
"Debat bukan bertujuan mengajar seseorang memenangi sesuatu hujah. Sebaliknya, ia mengajar kita mencari kebenaran, berinteraksi secara hormat walaupun berbeza pandangan, serta menyampaikan idea dengan jelas berdasarkan bukti yang kukuh sambil berpegang teguh pada integriti fakta dan pandangan yang dikemukakan. Inilah antara nilai dan sifat yang akan terus kekal relevan, tidak kira betapa hebatnya dunia bergolak atau berubah di sekeliling kita," kata Dr Syed Harun.

Dr Syed Harun turut menggesa golongan muda agar mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Beliau menggalakkan mereka memanfaatkan pelbagai platform pembangunan belia yang disediakan pertubuhan masyarakat dan agensi negara bagi membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan semangat menyumbang kepada masyarakat.
Related article image
(Gambar: AMP)
PROGRAM DEBAT BELIA AMP PUPUK KEPIMPINAN DALAM KALANGAN BELIA

Program anjuran AMP itu menghimpunkan 40 belia daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE), kolej rendah, politeknik, universiti dan madrasah dalam program pembangunan kepimpinan selama dua bulan yang menggunakan debat sebagai wadah mengasah pemikiran kritis, kebolehan berhujah serta keupayaan membincangkan isu-isu semasa.

Menurut Pengarah eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid, platform sedemikian memberi peluang kepada individu berkongsi pendapat mereka tentang isu-isu yang dekat dengan hati mereka.

"Dengan peluang ini juga, mereka dapat memberikan pandangan tentang apakah di dalam benak fikiran mereka dengan yakin, secara khusus dan juga dapat mengasah lagi cara mereka berkomunikasi antara isu-isu yang diketengahkan," jelas Encik Mohksin.

Kemuncak pertandingan menyaksikan dua pasukan finalis, Aura Lads dan Palm Tree Justice, membahaskan usul "bahawa usaha nasional Singapura dalam penggunaan AI akan meluaskan jurang ketidaksamaan sosial."
Related article image
(Gambar: AMP)
Gelaran juara Debat Belia AMP 2026 menjadi milik pasukan Palm Tree Justice, yang dianggotai para penuntut jurusan undang-undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Kumpulan tersebut turut membawa pulang hadiah wang tunai S$3,500, serta trofi.

Bagi Iman Nur Hakim Kamaruddin, 23 tahun, pertandingan tersebut membantunya untuk berfikir secara spontan.

"Di sekolah undang-undang, kami juga ada persamaan dengan subjek perbicaraan, dan ia sebenarnya melatih kami untuk berfikir secara spontan," kongsi mahasiswi tahun kedua itu.

Bagi Iman, pertandingan itu bukan sekadar menguji keupayaan berhujah, malah melatih peserta berfikir secara kritis ketika berdepan hujah pihak lawan.

"Pertandingan ini menolong saya untuk berfikir secara spontan kerana kami berbicara secara langsung di depan hakim dan juga di depan tetamu. Jadi kami juga haruslah berfikir dengan kritis,"tambahnya.

Beliau berharap lebih ramai belia akan memanfaatkan platform sedemikian untuk membentuk pandangan sendiri terhadap isu-isu semasa dan menyuarakannya secara matang.

"Jika golongan muda diberikan ekosistem yang mampu membuat mereka berfikir tentang isu-isu semasa, ia akan menolong mereka menjadi seorang yang lebih kritis, berfikiran kritikal dan pada masa yang sama, menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara," kata Iman.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita