Belia, pemimpin masyarakat sertai dialog bincangkan konflik Israel-Hamas dan peranan belia galak keamanan di SG
SINGAPURA: Satu sesi dialog dianjurkan Roses of Peace (ROP) dengan kerjasama REACH bagi para belia dan pemimpin masyarakat membincangkan tentang konflik Israel-Hamas pada Sabtu (11 Nov).
Mereka juga bertukar-tukar pendapat tentang peranan belia dalam menggalak keamanan di Singapura.
Diadakan di Raffles Town Club, sesi dialog itu disertai sekitar 70 Pejuang Harmoni serta para pemimpin belia dan masyarakat.
Antara topik yang dibincangkan termasuk memahami pendekatan Singapura berhubung isu berkenaan, cara tangani ancaman maklumat tidak tepat di wadah digital serta bagaimana menelusuri kerencaman pendapat untuk bina kepercayaan dan memelihara perpaduan sosial.
Para anggota panel terdiri daripada Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara merangkap Perhubungan dan Penerangan, Tan Kiat How, Pengarah Eksekutif SJK Geostrategic Advisory, Dr Shashi Jayakumar dan Ketua Paderi Taoist, Chung Kwang Tong (Wei Yi).
Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Nadia Ahmad Samdin serta Pengasas dan Presiden ROP, Mohamed Irshad menjadi moderator bagi sesi itu.
"Kami perlu terus menyediakan ruang untuk satu sama lain sedang kami mengemudi perbualan-perbualan yang sukar ini. Mari kita berdiri untuk keamanan untuk merapatkan perbalahan dan keyakinan untuk memupuknya," kata Cik Nadia.
Para peserta juga mengalu-alukan peluang sedemikian untuk berbincang mengenai isu sensitif itu.
"Dialog hari ini menyediakan ruang yang selamat untuk mereka dengan pandangan yang berbeza bertukar pandangan dan kebimbangan kami dalam cara yang hormat dan penyayang," kongsi seorang Pejuang Harmoni dari Institut Teknologi Singapura (SIT), Daryll Ng.
70 BELIA IHL DIRAIKAN SELEPAS SELESAI SERTAI PROGRAM PEJUANG HARMONI
Majlis yang sama juga meraikan 70 belia dari Institusi Pengajian Tinggi (IHL) yang sudah selesai sertai Program Pejuang Harmoni, Yayasan Temasek-Roses of Peace (ROP).
Sepanjang 10 bulan, para belia itu mengambil bahagian dalam enam sesi latihan dan melaksanakan beberapa projek untuk menggalak keamanan yang berkesan dalam kampus IHL mereka.
"Untuk sesi-sesi latihan secara keseluruhannya, perjalanan saya sebagai Pejuang Harmoni sudah memberi saya banyak pengalaman yang tidak ternilai yang saya pasti akan membawa pulang buat tahun-tahun mendatang. Segmen latihan terutama sekali memainkan peranan yang besar dalam memantapkan lagi pengalaman dan perjalanan saya," kongsi Pejuang Harmoni dari Politeknik Republik, Sa Shruthi.
"Saya diperkenalkan kepada pelbagai perkara baru dan berjumpa dengan ramai orang berbeza dan mengadakan pelbagai perbualan yang saya tidak pernah ada. Saya rasa Pejuang Harmoni merupakan satu kumpulan belia dengan minda dan hati yang terbuka dan mendapat peluang untuk mengadakan perbualan dengan semua unit ini, yang merupakan individu cemerlang, ia merupakan satu pengalaman yang sangat indah," tambah beliau.
Seorang lagi Pejuang Harmoni, Loo Dan Lin dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat pula berkata, "Saya rasa kesimpulan yang saya raih daripada pengalaman ini dan program ini ialah untuk ada kepercayaan bahawa individu dengan pemikiran yang sama akan berhimpun bersama bagi usaha yang bermakna dan pada akhirnya, anda akan berjaya."
Sekitar 11 IHL termasuk universiti, politeknik dan ITE tempatan mengambil bahagian dalam Program Pejuang Harmoni tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.