Skip to main content

Singapura

Belia pejuang keharmonian 'Roses of Peace' ada peranan besar galak perpaduan dalam dunia media sosial

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lagi 45 belia dari Institusi Pengajian Tinggi (IHL) dilantik sebagai pejuang keharmornian atau 'Harmony Champions' di Majlis Pelantikan Program Pejuang Keharmonian (HCP) 2026 anjuran Roses of Peace - Yayasan Temasek.

Antara mereka ialah penuntut Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Nur Qaisarah Safiee.

"Semenjak mungkin zaman sekolah menengah, saya minat dalam isu-isu hal ehwal seperti keharmonian kaum dan saya rasa bahawa saya tidak dapat banyak peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti seperti ini," kata Qaisarah.

"Jadi apabila saya menerima emel di dalam sekolah saya di SMU, saya rasa bahawa ya ia adalah salah satu peluang yang amat jarang," katanya lagi.

Pelajar jurusan politik, undang-undang dan juga ekonomi tersebut menyatakan bahawa pelantikan sebagai pejuang keharmonian Roses of Peace merupakan satu penghormatan serta tanggungjawab yang berat bagi beliau.
Related article image
Pelajar jurusan politik, undang-undang dan juga ekonomi SMU, Nur Qaisarah Safiee. (Gambar: Hidir Ezat)
"Pada masa kini, terdapat pelbagai isu yang amat dekat dan relevan dengan golongan belia kita. Oleh itu, saya berharap pelantikan ini dapat memberi saya peluang untuk terus memperkukuhkan keharmonian antara kaum di Singapura," kata beliau.

"Saya rasa ialah ia adalah salah satu isu yang penting kerana di Singapura terdapat pelbagai agama serta budaya dan untuk melindungi keharmonian di sini, kita harus memahami salah satu antara sama lain," katanya lagi.

Begitu juga bagi seorang lagi pejuang keharmonian yang dilantik, Ahmad Fauzi Mohd Ferdaus.

Baginya, usaha meningkatkan kesedaran merupakan antara faktor yang penting dalam menjaga keharmonian kaum di Singapura.

"Pelantikan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Program ini menghimpunkan penganut daripada pelbagai agama dalam satu ruang bagi memupuk persefahaman dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keharmonian antara agama," kata Fauzi.

"Ini penting kerana Singapura ingin meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap semua agama. Tanpa kesedaran dan rasa hormat antara satu sama lain, salah faham dan perpecahan boleh berlaku dalam masyarakat. Oleh itu, usaha seperti ini amat penting untuk memupuk sikap saling menghormati, di samping melindungi keharmonian dan kebebasan setiap agama," tambahnya lagi.
Related article image
Pelajar Sistem Teknologi Maklumat dan Rangkaian di ITE Kolej Barat, Ahmad Fauzi Mohd Ferdaus. (Gambar: Hidir Ezat)
Bagi pelajar Sistem Teknologi Maklumat dan Rangkaian di ITE Kolej Barat ini, pelantikan ini amat bermakna bagi dirinya.

"Salah satu sebab saya menyertai program ini ialah kerana saya ingin mengenali dan berkawan dengan lebih ramai rakan Muslim, memandangkan saya tidak mempunyai ramai kenalan Muslim sebelum ini. Oleh itu, saya menyertai Roses of Peace untuk membina lebih banyak persahabatan dalam kalangan masyarakat Muslim," kata Fauzi.

"Melalui persahabatan ini juga, saya berpeluang mengunjungi masjid bersama mereka, mempelajari al-Quran dan mendalami lagi pengetahuan tentang agama saya dengan bimbingan mereka," katanya lagi.

Kini memasuki edisi ketiganya, Program 'Harmony Champions' membekalkan belia terpilih dengan pengetahuan, motivasi dan kemahiran untuk menjadi penggerak aktif dalam memperkukuh perpaduan sosial, kaum dan agama.

Melalui kurikulum berstruktur yang merangkumi bengkel pembangunan keupayaan, lawatan ke rumah ibadat, sesi dialog dan projek pembelajaran berasaskan tindakan, para 'Harmony Champions' ini akan menerajui inisiatif keamanan dan keharmonian di kampus dan komuniti masing-masing.

MEDIA SOSIAL SEBAGAI PLATFORM MENGUKUHKAN KEHARMONIAN KAUM

45 belia itu menerima surat pelantikan mereka daripada tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi.
Related article image
Peranan para pejuang keharmonian kini menjadi lebih penting dan besar lagi. (Gambar: Hidir Ezat)
"Usaha ini kini turut melangkaui ke ruang digital iaitu tempat kebanyakan orang berkomunikasi setiap hari. Malangnya, media sosial juga boleh dengan cepat menghakis kepercayaan antara masyarakat, bukan sahaja melalui penyebaran maklumat palsu atau ideologi ekstremis, tetapi juga melalui tindakan yang kelihatan kecil seperti mentafsir sesuatu hantaran dengan niat buruk atau mensensasikan sesuatu isu demi mendapatkan perhatian dan interaksi," kata Dr Syed Harun.

"Namun begitu, seperti yang dapat disaksikan oleh golongan belia sendiri, platform yang sama juga mampu memupuk persefahaman yang tulen. Sebab itulah penting untuk kita membina kemahiran berinteraksi secara berhemah dan bertanggungjawab di media sosial," tambahnya lagi.

Menurut beliau lagi, para pejuang keharmonian Roses of Peace dalam kedudukan yang baik untuk menjadi contoh teladan kerana golongan rakan sebaya lebih cenderung mendengar dan mempertimbangkan pandangan daripada individu yang mereka percayai dan boleh kaitkan dengan diri mereka, berbanding kempen awam atau mesej yang disampaikan secara umum.

Sejak program ini dilancarkan pada tahun 2023, lebih 180 belia telah dilantik sebagai pejuang keharmonian.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita