Belia mengaku ceroboh pawagam untuk tonton wayang, cakar pekerja GV
Sepanjang tempoh beberapa bulan, seorang belia 20 tahun yang menganggur menceroboh masuk beberapa pawagam Golden Village (GV) sebanyak lima kali untuk menonton wayang tanpa membeli tiket.

(Gambar hiasan: lli Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Sepanjang tempoh beberapa bulan, seorang belia 20 tahun yang menganggur menceroboh masuk beberapa pawagam Golden Village (GV) sebanyak lima kali untuk menonton wayang tanpa membeli tiket.
Dalam satu kejadian itu, Joseph Wong Wei Jun mencakar seorang kakitangan GV di bahagian muka dan tangannya setelah pekerja itu mendapat tahu perbuatannya.
Pada Isnin (15 Mac), Wong mengaku bersalah atas dua tuduhan pencerobohan jenayah dan tuduhan ketiga kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Lagi lima tuduhan berkaitan menceroboh, menyebabkan kecederaan dan enggan memberi sampel darah diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Wong bergelut dengan Encik Simon Chai, pekerja GV,pada 16 Okt tahun lalu di cawangan GV di pusat beli-belah Junction 8 di Bishan.
Pada sekitar pukul 8.15 malam hari itu, Encik Chai melihat Wong keluar dari pawagam dan teringat bahawa dia pernah memasuki dewan pawagam tanpa membeli tiket.
Wong tidak dapat menunjukkan tiketnya apabila dihampiri, dengan berkata bahawa dia meninggalkannya di dalam pawagam. Apabila Encik Chai berkata akan membawa Wong berjumpa dengan pengurusnya, belia itu melarikan diri.
Pekerja GV itu mengejarnya dan cuba menahan Wong, yang kemudian mencakar muka dan tangan Encik Chai sebelum pegawai keselamatan masuk campur.
Wong kemudian mengaku memasuki premis itu pada waktu petang dan menonton dua hingga empat filem di dewan berbeza. Dia keluar dari setiap dewan untuk beralih ke dewan berlainan bagi mengelak dikesan.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan filem apa yang ditontonnya.
Apabila dia dibawa ke Divisyen Polis Central, Wong enggan membenarkan sampel darahnya diambil.
Pada Januari dan Februari tahun ini, dia memilih untuk menceroboh masuk cawangan GV di pusat beli-belah Jurong Point sebanyak empat kali.
Dia ditahan reman sejak 27 Feb.
Wong akan kembali dihadapkan di mahkamah pada 5 April.
Atas tuduhan pencerobohan jenayah, dia boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$1,500, atau kedua-duanya.
Bagi sengaja menyebabkan kecederaan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.