Skip to main content

Singapura

Belia Melayu/Islam kongsi huraian inovatif dalam inisiatif 'MESRA 60 for 60'; dapat dikembangkan untuk manfaat masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 30 Aug 2025 07:08PM Dikemas Kini : 30 Aug 2025 09:24PM

SINGAPURA: Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) akan terus membimbing belia dan membantu mengembangkan idea-idea mereka untuk menjadikannya realiti dan sebahagian daripada huraian kepada isu-isu semasa.

Demikian dikongsi semasa acara penutup 'MESRA 60 for 60' yang memadankan 60 belia Melayu/Islam dari pelbagai sekolah menengah dengan karyawan berpengalaman, memberi mereka peluang melakarkan sendiri huraian inovatif untuk menangani pelbagai isu masyarakat.

Ini sambil mencerminkan tunggak-tunggak SG60 iaitu Penjagaan, Perhubungan dan Sumbangan. 

Ini dilakukan di bawah bimbingan Majlis MESRA, para pemimpin akar umbi dan mentor profesional menerusi inisiatif sepanjang empat bulan itu. 

LAKARKAN IDEA UNTUK GALAK KESUKARELAWANAN DALAM KALANGAN BELIA

Related article image
Peserta 'MESRA 60 for 60', Alia Qaisarah Mohammad Khir. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Antara peserta yang meraih manfaat termasuk Alia Qaisarah Mohammad Khir, 14 tahun dari Sekolah Tinggi Chung Cheng (Yishun). 

Baginya dan rakan sepasukannya, matlamat utama mereka ialah untuk meningkatkan lagi kadar sukarelawan dalam kalangan belia.  

"Kami telah memikirkan bahawa selalunya belia tidak mahu menjadi sukarelawan apabila mereka harus membuatnya bersendirian. Jadi, kami telah mengambil peluang ini untuk menggunakan media sosial untuk menunjukkan kepada mereka bahawa mereka tidak perlu membuatnya bersendirian dan mereka boleh membuatnya dengan kami," kongsi Alia Qaisarah kepada wartawan Nazirah Jamzuri. 

"Pada zaman sekarang, kami sebagai belia sangat kerap menggunakan media sosial. Kami juga meluangkan banyak masa dengan telefon bimbit. Jadi, kami mengambil peluang ini untuk menggunakan media sosial agar lebih ramai belia cenderung untuk menjadi sukarelawan," tambahnya.

TEROKA WADAH SEPERTI TIKTOK, INSTAGRAM UNTUK TARIK MINAT BELIA JADI SUKARELAWAN

Related article image
Alia Qaisarah bersama pasukannya di reruai MAEC CC Mountbatten. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Pasukan itu antara lain meneroka penggunaan wadah-wadah 'trendy' yang dekat dengan hati belia termasuk menggunakan Instagram dan TikTok untuk mempromosikan kegiatan kesukarelawanan. 

Selain itu, mereka juga mengambil bahagian dalam projek kemasyarakatan yang diterajui para belia sendiri dan meneroka pendekatan inovatif untuk kerja-kerja kemasyarakatan di kawasan Mountbatten. 

Alia Qaisarah berkata: "Saya telah mempelajari tentang cara berkomunikasi dengan orang yang saya tidak pernah jumpa, daripada mentor saya dan saya dapat menggunakan kemahiran ini untuk bekerja dalam masyarakat kita."

"Inisiatif ini sangat bermanfaat untuk kita semua sebagai belia dan ia telah memberi saya peluang untuk memperbaiki keyakinan diri saya kerana pada setiap sesi, kita perlu membuat pembentangan dan saya selalu akan mengambil peluang itu untuk memperbaiki keyakinan diri saya," tambahnya. 

60 PESERTA MELAYU/ISLAM DIBIMBING OLEH MENTOR 

Related article image
60 peserta yang dibahagikan kepada 10 kumpulan itu dipadankan dengan 10 MAEC. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

60 peserta yang dibahagikan kepada 10 kumpulan itu dipadankan dengan 10 MAEC untuk mengatasi pelbagai isu masyarakat - daripada kesihatan mental, warga emas, kepada kemampanan dan keharmonian kaum dan agama. 

Salah seorang mentor bagi inisiatif itu ialah Cik Juriah Naam yang juga merupakan Naib Pengerusi MAEC Mountbatten. 

Related article image
Cik Juriah Naam, mentor dan Naib Pengerusi MAEC Mountbatten. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Beliau melahirkan rasa gembira melihat semangat para peserta dalam inisiatif itu. 

"Kita gembira sebab di Mountbatten, kita tidak ada ramai sukarelawan yang belia yang muda. Jadi menerusi program ini, mereka dapat menyertai inisiatif ini mengikut minat mereka. Untuk bahagian Mountbatten pula, (topiknya) ialah inovasi, jadi mereka yang berminat dengan ini akan menyertai kita. Jadi kita kita berbangga dengan pencapaian mereka selama empat bulan ini, Alhamdulillah," kongsi Cik Juriah. 

Cik Juriah berharap dapat terus berhubung dengan para peserta itu dan teruja untuk terus bekerjasama dengan mereka sekiranya ada kegiatan-kegiatan menarik yang dianjurkan pada masa hadapan. 

MAEC AKAN TERUS BIMBING BELIA BANTU KEMBANGKAN IDEA 

Acara penutup itu menampilkan projek masyarakat para pelajar serta mengiktiraf usaha kedua-dua mentor dan menti. 

Related article image
Pengerusi Penganjur 'MESRA 60 for 60', Encik Fariezan Abas. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Pengerusi Penganjur MESRA 60 for 60, Encik Fariezan Abas berkata: "Mentor-mentor MAEC kami telah berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun ke atas sebagai pemimpin akar umbi. Kami berharap dapat memanfaatkan pengalaman, pengetahuan dan semangat mereka untuk meneruskan dan mencetuskan semangat khidmat masyarakat dalam kalangan belia."

"Semasa sesi-sesi latihan, kami juga menjemput mentor-mentor profesional dari pelbagai bidang seperti anggota bomba, penjawat awam, pekerja sosial dan juga mahasiswa untuk memberi sokongan dan nasihat kepada peserta 'MESRA 60 for 60'," tambahnya. 

Encik Fariezan turut berkongsi kepada BERITA Mediacorp bahawa MAEC itu juga akan terus membimbing belia mengembangkan idea-idea mereka untuk dijadikan realiti.

"Memandangkan mereka telah membangunkan konsep dan prototaip, MAEC yang mengambil bahagian akan terus membimbing para belia dalam masa mereka sendiri serta membantu mereka mengembangkan idea menjadi realiti. Setelah selesai, projek-projek ini berpotensi untuk membawa manfaat kepada penduduk di kawasan-kawasan MAEC masing-masing," ujar Encik Fariezan, yang juga pelatih program itu. 

PEMANGKIN UNTUK BELIA SUMBANG KEPADA MASYARAKAT

Related article image
Penasihat Belia MESRA, Dr Syed Harun Alhabsyi. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Turut hadir untuk menyerikan lagi acara itu ialah Penasihat Belia MESRA, Dr Syed Harun Alhabsyi.

Inisiatif itu katanya, dapat dijadikan pemangkin untuk program-program selanjutnya yang ingin dilakarkan oleh MESRA dan Belia MESRA, untuk melibatkan belia dari latar belakang yang berbeza menyumbang kepada masyarakat. 

"Kita dapati bahawa golongan belia sudah dapat meraih manfaat dengan hubungan bersama mentor mereka dan dapat mengukir dari segi pemahaman mereka tentang isu-isu kemasyarakatan. Selang beberapa bulan, kita juga melihat bahawa mereka sudahpun meningkat dari segi keyakinan mereka dan dari segi daya mereka untuk memahami isu-isu kemasyarakatan," kongsi Dr Syed Harun kepada wartawan Nazirah Jamzuri. 

"Ini antara sifat yang ingin kita pupuk dalam belia kita demi memberi mereka pemahaman tentang kompleksiti ataupun lapisan bagi hal ehwal kemasyarakatan kita dan kita juga ingin mereka menyumbang terus kepada masyarakat secara amnya," tambahnya. 

LESTARIKAN BUDAYA DAN SENI MELAYU, SUKAN

Related article image
Dr Syed Harun bersama para belia dan Pengerusi PA MESRA, Cik AJ Suhani Sujari (paling kiri). (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Dr Syed Harun juga turut berkongsi bidang-bidang yang akan menjadi tumpuannya selaku Penasihat Belia MESRA.

Beliau menjelaskan, "Antara bidang yang kita akan memberi tumpuan ialah untuk melestarikan lagi budaya Melayu kita - meningkatkan kepelbagaian dari segi aktiviti, dan melibatkan penggunaan bahasa Melayu. Kita juga akan beri tumpuan kepada sukan dan seni Melayu demi melestarikan lagi budaya Melayu kita di masyarakat dan melibatkan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh MAEC."

"Sememangnya dalam masyarakat kita, kita mendapati bahawa masyarakat Melayu kita terdapat banyak kepelbagaian dan ramai daripada mereka mempunyai minat-minat tertentu. Selaku penasihat Belia MESRA, kita ingin mendekati mereka terutama belia-belia kita untuk mendampingi mereka bekerjasama bersama kita dalam melibatkan dan melestarikan lagi budaya kita."

Sekitar 200 hadirin menyertai acara penutup hari ini (30 Ogos) termasuk pemimpin pelajar, ibu bapa, guru serta pemimpin akar umbi.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita