Skip to main content

Singapura

Belia Melayu/Islam digalak rebut peluang, main peranan lebih aktif bentuk masa depan: Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
Belia Melayu/Islam digalak rebut peluang, main peranan lebih aktif bentuk masa depan: Faishal

Dr Faishal menyertai sebuah sesi dialog bersama hampir 50 pemimpin pelajar daripada institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara di Seminar Kepimpinan Pelajar Pengajian Tinggi Islam anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). (Gambar: Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)

SINGAPURA: Belia Melayu/Islam Singapura digalak untuk merebut peluang, mengejar aspirasi dan memainkan peranan aktif dalam membentuk masa depan yang mereka impikan untuk diri mereka, keluarga dan juga untuk negara.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim berharap dapat bekerja rapat dengan golongan itu untuk menyediakan sokongan supaya mereka dapat mencapai kemajuan.

Beliau berkongsi demikian dalam satu catatan Facebook pada Isnin (21 Jul).

Ini selepas Dr Faishal menyertai sebuah sesi dialog bersama hampir 50 pemimpin pelajar daripada institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara di Seminar Kepimpinan Pelajar Pengajian Tinggi Islam anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

"Kami berbincang tentang visi belia Islam untuk Singapura dan masyarakat Islam. Saya amat menghargai perkongsian ikhlas tentang pandangan, kebimbangan dan aspirasi mereka," ujar Dr Faishal.

Di sesi dialog tersebut, beliau turut berkongsi tiga keutamaan yang dekat di hatinya.

"Pertama, kita harus menghayati nilai kesyukuran. Sebuah masyarakat yang berteraskan kesyukuran bukan sahaja mengukuhkan iman, malah lebih berupaya menunjukkan rasa prihatin dan belas ihsan terhadap orang lain. Kedua, kita perlu membina satu ekosistem yang membolehkan umat Islam hidup dengan penuh makna, berteraskan jati diri keagamaan, disokong institusi keluarga yang kukuh dan boleh menyumbang dengan aktif kepada masyarakat umum," kata Dr Faishal.

"Akhir sekali, kita mesti menggembleng tenaga masyarakat dan membentuk visi bersama. Para belia kita prihatin terhadap isu pekerjaan dan pembangunan belia. Kita perlu bekerja rapat dan menyediakan sokongan supaya mereka capai kemajuan," tambahnya.

Dr Faishal juga berharap golongan belia Melayu/Islam dapat menyertai Pasukan Bertindak Belia Melayu/Islam secara aktif.

Menurutnya, pasukan bertindak itu akan menyumbang kepada kemajuan dan membangkitkan semangat belia kita di peringkat tempatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita