Skip to main content

Singapura

Belia Melayu/Islam akan dibantu raih peluang AI, MMO boleh main peranan tingkat kesedaran amalan digital selamat: Rahayu Mahzam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu usaha sedang dibincangkan untuk memastikan belia Melayu/Islam dapat meraih manfaat dan merebut peluang dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang kini semakin pesat.

Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) Rahayu Mahzam mendedahkan demikian dalam satu wawancara bersama wartawan Nazirah Jamzuri, menyusuli ucapannya semasa perbahasan Ucapan Presiden di Parlimen pada Khamis (25 Sep).

Mengulas tentang rancangan Pasukan Bertindak Belia Melayu/Islam yang beliau terajui bersama Anggota Parlimen GRC Nee Soon Dr Syed Harun Alhabsyi, Cik Rahayu berkongsi bahawa antara keprihatinan anak muda hari ini adalah bagaimana perkembangan AI dan pendigitalan yang semakin pesat boleh menjejas peluang pekerjaan mereka.

Pasukan Bertindak Belia Melayu/Islam diterajui Cik Rahayu dan Anggota Parlimen Dr Syed Harun. (Petikan skrin video Mediacorp.)

"Ramai yang sebenarnya telah menyebutkan keinginan mereka untuk mempertingkatkan diri, bagaimana mereka dapatkan informasi. Dan ini adalah sebenarnya peluang untuk kita cuba kumpulkan mereka yang ahli dalam hal ini.

"Mengumpulkan rakan-rakan kerjasama dalam masyarakat untuk cuba membentuk satu ruang di mana mereka boleh mendapatkan informasi ini."

"Misalnya, ada rangkaian profesional di MENDAKI. Mereka ada yang khusus pengetahuan tentang AI, teknologi dan digital. Mereka adalah satu golongan yang ingin sekali kita dekati dan cuba dapatkan idea," kata beliau.

USAHA PERKUKUH RUANG ONLINE UNTUK ANAK-ANAK

Cik Rahayu juga menekankan tentang usaha memperkukuh keselamatan ruang online, terutama bagi anak-anak.

Menurut Tinjauan Keselamatan Online 2024, lebih 70 peratus responden pernah terdedah kepada kandungan bahaya seperti pembulian siber.

Untuk lebih melindungi rakyat Singapura dari bahaya online, langkah undang-undang dan gerakan nasional telah diperkukuh.

"Kita sudah melaksanakan perubahan perundangan dalam Akta Penyiaran untuk memastikan bahan-bahan yang berbahaya tidak sampai kepada masyarakat kita," ujar Cik Rahayu.

"Kita juga ada 'Code of Practice' atau Kod Amalan untuk aplikasi dan ini telah diperkenalkan Mac lalu - di mana adanya langkah-langkah untuk memastikan 'aged assurance measures' atau langkah jaminan umur untuk memastikan anak-anak di bawah usia tertentu tidak terdedah kepada bahan-bahan yang tidak sesuai dengan usia mereka," tambah beliau.

Usaha-usaha itu bagaimanapun memerlukan sokongan seluruh masyarakat.

BADAN-BADANG MELAYU ISLAM BOLEH MAIN PERANAN PENTING TINGKAT KESEDARAN AMALAN DIGITAL SELAMAT

Di sini badan-badan Melayu/Islam (MMO) juga boleh memainkan peranan penting untuk meningkatkan kesedaran tentang amalan digital yang selamat.

"Mereka sebenarnya boleh memainkan peranan itu melalui kawasan mereka. Maknanya dalam satu badan itu mungkin mereka ada para penerima bantuan ataupun ahli-ahli yang mana mereka dapat cuba sama-sama fikirkan cara untuk menyampaikan informasi yang terkini tentang pembangunan digital ini.

"Misalnya, MENDAKI mereka telah mengadakan program 'Digi Smart' untuk mempertingkatkan pemahaman digital dalam masyarakat kita. Saya rasa usaha sebegini adalah sesuatu yang baik kerana ia mendukung sesuatu dalam masyarakat kita mengajak semua untuk menimba ilmu memperbaiki diri kita dalam pemahaman ini," katanya.

Usaha Rahmatan lil Alamin (RLAF) iaitu Transformasi Digital untuk Semua yang mengendalikan sesi-sesi bengkel dan maklumat berkenaan keselamatan online juga, tambah Cik Rahayu, antara usaha yang membina masyarakat.

USAHA LIBATKAN LEBIH RAMAI DAKAP TEKNOLOGI DIGITAL

Seorang warga tua di Singapura mempelajari cara bagaimana untuk menggunakan telefon bijak. (Gambar: Silver I.T. Fest/Facebook)
Untuk menggalak lebih ramai mendakap teknologi digital pula, Cik Rahayu berkongsi komitmen jangka panjang pemerintah
untuk menyokong warga emas dan keluarga berpendapatan rendah.

Lebih 20,000 isi rumah sudah meraih menfaat menerusi subsidi akses Internet dan peranti sejak 2023.

Pejabat Digital Singapura bersama duta digital pula sudah mendampingi lebih 400,000 warga emas sejak 2020 dalam perjalanan digital mereka.

"Kita faham yang masih ramai mungkin belum selesa. Jadi kita adakan prinsip ini digital dahulu tetapi bukan digital sahaja.

"Jadi, kita tetap adakan ruang bagi mereka untuk melakukan transaksi dengan pemerintah di pejabat-pejabat yang fizikal. Mereka boleh dapat bantuan untuk melakukan mungkin urusan mereka.

"Jadi ini adalah satu cara untuk kita memberikan jaminan, orang kata tenangkan mereka sedikit bahawa jangan risau masih boleh belajar dan masih ada lagi ruang-ruang untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Sumber : CNA/NJ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita