Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia mahu lebih banyak usaha tangani isu kesihatan mental dan stigma pelajar ITE

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak bantuan diharapkan golongan belia bagi tangani isu-isu kesihatan mental dan pembangunan belia.

Keprihatinan ini antara yang disuarakan para peserta dalam sesi pertama dialog pasca Belanjawan oleh M³ anjuran Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA).

Dalam sesi yang dikhususkan buat para belia, sekitar 40 anak muda daripada pertubuhan akar umbi, Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IHL) dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dapat berbincang mengenai isu-isu berkaitan Belanjawan secara langsung dengan Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam.

RANGKAIAN SOKONGAN RAKAN SEBAYA

Berkenaan isu kesihatan mental, Cik Rahayu akur akan tekanan yang dihadapi para belia di tengah-tengah pandemik ini, terutamanya mereka yang mungkin beralih daripada alam persekolahan ke alam pekerjaan.

Dalam kesempatan itu, para belia yang hadir cuba mendapat pencerahan mengenai khidmat-khidmat yang sedia ada bagi mereka yang mengalami sebarang masalah mental serta usaha yang sedang dilakukan bagi mengurangkan stigma dari pihak majikan.

--

Cik Rahayu menjelaskan kepada mereka tentang beberapa usaha yang sedang dijalankan seperti inisiatif bagi memperluaskan rangkaian sokongan rakan sebaya di beberapa tempat termasuk sekolah dan tempat kerja.

Selain itu, isu berkaitan masa menunggu yang lama untuk mendapatkan rawatan kesihatan mental turut diketengahkan para peserta.

Melihat keprihatinan dan kesungguhan para peserta membincangkan hal itu, Cik Rahayu meluahkan rasa gembiranya bersama para wartawan di akhir acara.

"Saya sebenarnya rasa gembira kerana mereka bersikap terbuka dalam membincangkan hal ini dan banyak memberikan saranan dan juga memberikan perspektif mereka tentang mungkin apa yang mereka rasa informasi yang mereka kurang dapat," ujar Cik Rahayu.

Oleh itu beliau berharap usaha-usaha yang dikongsikan dalam sesi hari ini dapat disebarkan kepada rakan sebaya para peserta agar mereka lebih peka dan sedar bahawa mereka tidak bersendirian dalam berdepan dengan masalah mental.

KEJAYAAN LEBIH DARI SEKADAR PENCAPAIAN AKADEMIK

Seperti tema Belanjawan tahun ini iaitu "Melakar Hala Tuju Baru Kita Bersama", para peserta juga berharap tiada golongan yang dipinggirkan dalam usaha negara melangkah ke arah masa depan yang lebih baik sebagai sebuah negara.

Ini termasuk golongan berpendapat rendah dan para pelajar ITE yang masih berdepan dengan stigma masyarakat.

Ada yang berpendapat bahawa stigma pada pelajar ITE boleh menjejas pembangunan golongan belia itu dan menambah tekanan terhadap mereka.

Berhubung isu ini, Cik Rahayu akur bahawa ia bukan sesuatu yang baru dan menyeru agar masyarakat mengubah cara pemikiran.

Beliau menarik perhatian mengenai pentingnya masyarakat tidak memandang rendah terhadap golongan tersebut dan menekankan bahawa kejayaan itu lebih dari sekadar pencapaian akademik.

--

"Saya rasa kita perlu terus tekankan bagaimana sebenarnya ada pelbagai cara untuk mencapai kejayaan dan pelajar ITE itu tidak kurang hebatnya daripada pelajar-pelajar lain dan mereka memiliki kekuatan mereka sendiri. Pelajar ITE juga harus diberi keyakinan dan motivasi yang mereka boleh berjaya," kata Cik Rahayu.

Dalam sesi selama satu jam setengah itu, para peserta juga berkongsi keprihatinan mengenai peluang pekerjaan.

Ini termasuk persoalan tentang peluang pekerjaan di luar bidang keagamaan bagi penuntut madrasah.

Cik Rahayu menjelaskan bahawa Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) mempersiapkan dan juga membangunkan keupayaan para asatizah untuk menyumbang kepada sektor-sektor lain, seperti kerja kemasyarakatan.

Selain para belia, para pemimpin masyarakat juga dijemput untuk menghadiri sesi dialog seumpama ini.

Secara keseluruhan, sekitar 200 peserta dijangka menyertai perbincangan mengenai Belanjawan tahun ini dalam empat sesi berbeza.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan