Belia lelaki 18 tahun remaja ketiga didakwa edar pod vape berisi etomidate
Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun didakwa di mahkamah pada Isnin (6 Apr) kerana dipercayai mengedar pod vape berisi etomidate, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
Gambar hiasan pod vape berisi etomidate. (Gambar: HSA)
- Goh Shao Zhi Cornelius, seorang remaja 18 tahun, didakwa di Singapura kerana mengedar pod vape mengandungi etomidate selepas mengiklankan produk di Telegram.
- Serbuan oleh HSA pada 4 April membawa kepada rampasan alat vape, 108 pod vape dan rokok tidak dibayar cukai, dengan ujian makmal mengesahkan kandungan etomidate.
- Kes Goh ditangguh ke 4 Mei, dan beliau merupakan remaja ketiga didakwa atas kesalahan serupa, menyusuli dua kes tahun lalu.
- Undang-undang baru akan memperketat hukuman bermula 1 Mei dan 1 September 2025, termasuk penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi pengimport serta pembekal pod vape berisi etomidate.
Goh Shao Zhi Cornelius dituduh menjual pod tersebut kepada para pembeli setelah mengiklankan produk tersebut melalui platform kiriman mesej Telegram.
Menyusuli maklumat yang diterima, pegawai HSA menyerbu tempat kediaman Goh pada Sabtu (4 Apr).
Mereka merampas satu alat vape, 108 pod vape dan satu bungkusan rokok tidak dibayar cukai.
"Ujian makmal mengesahkan pod yang dirampas mengandungi etomidate," menurut HSA, sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.
Goh adalah remaja ketiga yang didakwa kerana dipercayai mengedar pod vape yang mengandungi etomidate, menyusuli dua kes pada tahun lalu melibatkan dua remaja berusia 18 tahun dan 17 tahun.
Kesnya ditangguh ke 4 Mei.
HSA menyatakan ia memandang serius kesalahan melibatkan vape dan etomidate.
Di bawah rangka kerja hukuman yang dipertingkat, yang berkuat kuasa pada 1 September 2025, mereka yang sabit kesalahan mengimport, menjual dan mengedar vape yang dicampur etomidate berdepan hukuman yang lebih berat.
Ini termasuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan maksimum sebanyak 15 kali bagi pengimport.
Mulai 1 Mei, Akta Kawalan Tembakau dan Pengewap 1993 akan berkuat kuasa.
Etomidate dan analognya akan diklasifikasikan sebagai Bahan Psikoaktif Tertentu, dengan hukuman yang sejajar dengan yang di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Ini bermakna pengimport boleh dihukum penjara tiga hingga 20 tahun dan dikenakan lima hingga 15 kali sebatan, manakala pembekal berdepan hukuman penjara dua hingga 10 tahun dan dua hingga lima kali sebatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.