Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia kini lebih peka untuk minta bantuan bagi tangani isu kesihatan mental: Kelab HEAL

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebanyak 42 peratus daripada 680 klien baru yang datang mendapatkan bantuan berkenaan isu kesihatan mental di Kelab HEAL tahun lalu, merupakan golongan belia 16 hingga 35 tahun.

Menurut pertubuhan itu, perangkaan itu menunjukkan tentang kesedaran yang bertambah dalam kalangan belia untuk bersuara dan tampil meminta sokongan.

"Kebanyakan daripada mereka bersikap terbuka untuk meluahkan apa yang mereka rasa dan apa yang mereka berfikir," kata kaunselor di Kelab HEAL, Encik Abdul Hakim Adzhari.

Sepanjang berkhidmat di Kelab HEAL, Encik Abdul Hakim sendiri sudah membantu lebih 80 klien, di mana sekitar 20 daripadanya merupakan golongan belia. 

Namun begitu, ada juga yang masih berasa keberatan dan merasakan mereka dipaksa untuk hadiri sesi-sesi kaunseling.

(Abdul Hakim Adzhari, Kaunselor, Kelab HEAL)

"Antara sebabnya mungkin mereka telah berjumpa dengan pelbagai kaunselor sebelum ini. Jadi untuk mereka menghadiri sesi kaunseling sekali lagi untuk meluahkan cerita-cerita yang pernah mereka kongsikan sebelum ini, kadang-kadang mereka rasa penat nak kongsikan sekali lagi," ujar Encik Abdul Hakim.

Beliau dan para kaunselor lain juga berjumpa dan membantu klien yang dirujuk daripada hospital atau agensi-agensi masyarakat.

Sekiranya mereka enggan dibantu dan tidak boleh dihubungi selepas tiga bulan, kes-kes mereka terpaksa ditutup agar sumber-sumber yang ada boleh ditumpukan kepada kes-kes yang lain.

Buat masa ini, Kelab HEAL menangani sekitar 1,000 kes di empat pusat kejiranannya - di Bukit Batok East, Pasir Ris East, Marsiling dan Buangkok.

TERTEKAN SEHINGGA BERHENTI SEKOLAH

Melihat perwatakannya yang peramah dan tidak lokek mengukir senyuman, siapa sangka Nur Syara Fana Mohd Khir pernah mengalami detik hitam dalam hidupnya.

"Masa saya di sekolah menengah, saya ada masalah keluarga sebab saya fikir itu perkara kecil saja. Masa umur saya 19 tahun, saya masuk ke Kolej ITE dan keadaan menjadi semakin rabak sebab ada kawan ajak bergaduh secara fizikal," kata Syara, 22 tahun.

Akibat tertekan dengan masalah di rumah dan di sekolah, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah. 

"Saya tak nak berjumpa sesiapa dalam hidup saya. Itu pasal saya duduk rumah dalam tiga hingga empat bulan," tambahnya.

Syara akhirnya disahkan menghidapi isu-isu kesihatan mental iaitu kemurungan dan kebimbangan (anxiety). 

Menurut Encik Abdul Hakim, dua isu itu adalah antara masalah yang kerap dihadapi golongan belia disebabkan tekanan di sekolah, tempat kerja ataupun masalah hubungan. 

(Nur Syara Fana Mohd Khir, Klien, Kelab HEAL)

Prihatin akan keadaan Syara, ibunya mengambil langkah proaktif untuk dapatkan bantuan.

Di situlah, Syara mula menghadiri sesi-sesi kaunseling dan program pemulihan 'Our Healing Voice' di Kelab HEAL.

"Masa itu saya rasa takut nak datang sini (Kelab HEAL) sebab saya tak percaya sesiapa pun. Adalah dalam fikiran saya tertanya-tanya kenapa harus datang sini? Kenapa nak kena beritahu mereka masalah saya?" kongsi Syara tentang pengalamannya ke sesi kaunseling.

Namun begitu, dia cekalkan hati demi kebaikan dirinya sendiri.

"Saya tidak ada orang, tidak sesiapa pun nak luahkan atau kongsikan. Jadi kenapa tidak beritahu sahajalah terus terang dengan mereka (kaunselor). Sekurang-kurangnya ada seseorang untuk diajak berbual," tambah Syara.

Selain menghadiri sesi-sesi kaunseling, Syara juga rajin untuk mengamalkan beberapa tip yang diajarkan kaunselornya untuk diamalkannya di luar.

Antara tip yang dikongsikan Encik Abdul Hakim adalah: "Pertamanya selalu kita galakkan para klien untuk selalu aktifkan diri mungkin dengan bersenam ataupun mungkin dengan beriadah"

"Yang kedua mungkin perbanyakkan pergaulan bersama ahli keluarga. Kebanyakan kalau kita lihat belia-belia zaman sekarang ini kebanyakan lebih selesa bersama kawan-kawan ataupun bersendirian. Jadi keakraban bersama keluarga itu tidak ada,"

Secara tidak langsung, ia juga memaksa diri para klien seperti Syara untuk keluar dari zon selesa di samping mengeratkan lagi tali persaudaraan.

"Contohnya saya tak suka berbual dengan orang tetapi mereka (kaunselor) suruh saya berbual dengan keluarga terutama dengan adik beradik saya. Dari situ, saya kerap berbual dengan mereka, luahkan apa saya suka dan ikatan kami semakin kuat," ujar Syara sambil tersenyum lebar.

Pada usianya 22 tahun sekarang, keadaan Syara bertambah baik.

Jika dahulu dia lebih gemar bersendirian, kini dia lebih senang untuk bergaul. 

Ini juga memberanikan Syara untuk menggalas tanggungjawab sebagai Penolong Eksekutif Program dalam Program Kesejahteraan Demensia di Kelab HEAL sejak 9 bulan yang lalu.

"Saya nak memberi nasihat kepada sesiapa yang menghadapi ini semua. Jangan rasa takut dan carilah yang sesiapa yang kamu rasa selesa untuk berbual. Tak semestinya keluarga, kamu boleh berbual dengan kawan atau keluarga atau saudara mara yang kamu selesa," nasihat Syara.

IBU PEMBAKAR SEMANGAT UNTUK BERUBAH

Seorang lagi belia Natasha Syannaz Yusof, 25 tahun juga menghadapi isu kesihatan mental yang disebabkan masalah keluarga dan buli di sekolah.

Masalah buli di sekolah semakin teruk sehingga ia bukan sahaja menjejas emosi, bahkan pelajarannya juga.

"Saya mempunyai masalah kemarahan. Lepas itu ada masalah buli, masalah hubungan dengan kawan. Lepas itu saya banyak nangis di kelas," kata Natasha.

Akibat tidak tahu dan tidak boleh mengawal emosinya, Natasha melepaskan rasa marahnya kepada ahli keluarga.

"Misalnya apabila saya ada masalah kemarahan dengan kawan-kawan di sekolah, saya lepaskannya pada ahli keluarga. Saya tidak tahu bagaimana untuk tidak melepaskannya dengan keluarga," ujar Natasha, yang pernah mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD).

Kes Natasha mendapat perhatian gurunya dan dia dirujuk kepada kaunselor sekolah, sebelum akhirnya dibawa ke Kelab HEAL.

(Natasha Syannaz Yusof, Klien, Kelab HEAL)

Seperti Syara, Natasha juga menjalani kaunseling dan program pemulihan bersama Kelab HEAL dan dapat melihat kesan-kesan positif terhadap dirinya.

Beliau juga bersyukur kerana mendapat sokongan kuat daripada ibu tercinta.

"Apabila saya menghadapi gangguan halusinasi atau masalah mengawal kemarahan saya, dia akan menenangkan saya dan sentiasa melihat keadaan saya. Dia juga membuat kajian tentang ubat-ubatan dan bagaimana untuk membantu saya.

"Terima kasih kerana membantu saya selama ini dan tiada kasih sayang seperti sayang seorang ibu," kata Natasha.

Natasha baru sahaja menamatkan kurus dalam jurusan Pembantu Pergigian dan akan menjalani latihan amali, tidak lama lagi. 

SOKONGAN KELUARGA, TEMAN-TEMAN PENTING UNTUK PEMULIHAN

Kedua-dua Syara dan Natasha antara ratusan belia yang dibantu Kelab HEAL.

Selain menjalani kehidupan yang lebih sihat seperti senaman, Encik Abdul Hakim turut menekankan peri penting sokongan keluarga dan teman-teman.

"Jika mereka datang ke kaunseling, ia hanya satu jam sahaja tapi kebanyakkan masa yang mereka ada itu bersama keluarga, dengan kawan-kawan. Jadi saya syorkan mereka (belia) ke depan dan berkongsi pendapat mereka, buah fikiran, meluahkan perasaan mereka kepada orang-orang yang terdekat bersama mereka agar bantuan-bantuan itu datang dengan cepat," kata Encik Abdul Hakim.

Sebagai seorang pendengar keluhan dan luahan rasa para klien, Encik Abdul Hakim yang juga menyelenggara program Pasukan Intervensi Masyarakat (COMIT) di Kelab HEAL juga berkata perlunya untuk memberi sokongan dan mendengar secara menyeluruh, penuh empati dan tidak bersikap menghakimi.

"Kita mendengar keluhan mereka, mendengar apa masalah-masalah mereka. Kadang-kadang belia-belia ini tidak mahukan respon. Mereka hanya ingin didengari. 

"Bila kita mendengar, bukan untuk menjawab tapi kita mendengar untuk mengetahui apa yang mereka melalui. Pada masa yang sama juga cuba untuk memahami keadaan mereka," nasihat Encik Abdul Hakim.

Menurut dapatan awal dalam tinjauan yang dilakukan dalam Kajian Epidemiologi dan Daya Tahan Belia Singapura oleh NUS dan IMH, kira-kira setiap satu daripada tiga belia di sini mengalami simptom-simptom kesihatan mental. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa