Belia imbangi masa antara sekolah dan kerjaya bagi luangkan masa untuk bersihkan kawasan tepi pantai
Kesedaran tentang perubahan iklim dan kemudahan mendapatkan maklumat menerusi media sosial, mendorong para belia untuk sama-sama menyingsing lengan menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar.
SINGAPURA: Kesedaran tentang perubahan iklim dan kemudahan mendapatkan maklumat menerusi media sosial, mendorong para belia untuk sama-sama menyingsing lengan menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar.
Ini termasuk belia berusia 25 tahun, Yasser Amin.
Walaupun perlu bekerja secara sambilan dan menghadiri kelas serta mengulangkaji, penuntut Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) ini masih tekad untuk meluangkan kira-kira enam jam setiap minggu untuk mengutip sampah di pantai.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
Sedang belia lain mungkin lebih suka meluangkan masa pagi hari cuti mereka untuk berehat, belia berusia 25 tahun ini sudah keluar rumah seawal 8.00 pagi lagi untuk ke Taman East Coast untuk mengutip sampah di sana.
"Sebenarnya saya tak suka mengutip sampah, siapa yang sukakan? Kerjanya amat sukar dan amat memenatkan," kongsi Yasser.
"Namun saya melihatnya sebagai satu cara untuk saya menyumbang kepada usaha ini. Lagipun, saya dapat bertemu dengan ramai orang setiap kali dan mereka dapat belajar sesuatu yang baru tentang alam sekitar," tambahnya lagi.

(Gambar: Yasser Amin)
Yasser mula rasa terdorong setelah menonton sebuah dokumentari mengenai krisis plastik dan kesannya terhadap alam sekitar.
Lantaran itu, beliau segera mengambil tindakan dan menyertai sebuah kumpulan sukarelawan di bawah inisiatif East Coast Beach Plan pada Ogos tahun lalu.
KUMPULAN EAST COAST BEACH PLAN KINI ADA LEBIH 3,300 RELAWAN
Kumpulan East Coast Beach Plan ditubuhkan pada Julai tahun lalu sebagai kumpulan sembang di Telegram bagi mengatur jadual mengutip sampah di Taman East Coast.

(Gambar: Yasser Amin)
Kini, kumpulan itu disertai lebih 3,300 relawan dan kira-kira 60 peratus daripada mereka merupakan golongan belia seperti Yasser.
Sejauh ini, lebih 15,000 kilogram sampah sudahpun dikutip dalam masa 15 bulan ini.
Daripada jumlah tersebut, lebih sepertiga daripadanya merupakan hasil sampah yang dikutip menerusi sesi-sesi yang dijalankan oleh Yasser Amin.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
Lebih daripada plastik, kadangkala jenis sampah yang terlihat di sini membuatkan Yasser amat kecewa akan sikap individu yang tidak bertanggungjawab.
"Semasa membersihkan pantai, kami ada ternampak banyak benda yang agak mencurigakan seperti sofa, almari, dan peti sejuk. Televisyen zaman dulu yang besar, televisyen CRT pun kami pernah jumpa!" kongsi Yasser.
Selain itu, Yasser juga amat prihatin akan kebajikan para petugas pembersihan pantai yang terpaksa memikul kesan daripada krisis plastik ini.
DILANTIK SEBAGAI KETUA BERSAMA DAN KETUAI 150 RELAWAN
Yasser kini dilantik menjadi salah seorang ketua bersama di bawah inisiatif tersebut dan boleh menganjurkan sesinya sendiri.

(Gambar: Yasser Amin)
Setakat ini, Yasser mempunyai sekitar 150 relawan di bawah pimpinannya dan sudah menganjurkan lebih 80 sesi sedemikian.
Antara relawan belia ini ialah Rose Tan, yang sudah sekitar setahun terlibat dalam usaha ini.
"Ini semua terjadi setahun lalu selepas saya menonton beberapa filem mengenai alam sekitar. Saya berfikir bahawa Singapura juga boleh mendapat bantuan dalam melaksanakan pembersihan pantai," kongsi Rose, 32 tahun.
"Dari situ, saya ke ruang online dan terjumpa kumpulan Yasser yang melakukan pembersihan di pantai East Coast dan saya mula membantunya," tambahnya lagi.
Menurut Rose, usaha sebegini amat penting untuk Singapura kerana ia dapat membantu masyarakat mendekati alam sekitar.
"Kita semua akan faham bahawa kita hanya ada satu bumi dan lantas, perlu melaksanakan bahagian kita untuk melindungi tempat ini," ujar Rose.
Rose dan Yasser berharap kesedaran masyarakat tentang perubahan iklim boleh dipertingkatkan agar lebih ramai akan tampil untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.