Skip to main content

Singapura

Belia hasilkan huraian mesra alam di bawah program NEA

Pasu bunga yang diperbuat daripada sisa makanan dan hadangan bagi memastikan tandas bersih merupakan antara huraian inovatif yang dicadangkan para belia setelah menjalani program kemampanan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Anggaran Waktu Membaca:
Belia hasilkan huraian mesra alam di bawah program NEA

Pameran bagi huraian yang dicadangkan oleh sepasukan belia dari Politeknik Singapura. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 20 Jun 2025 07:13PM
SINGAPURA: Pasu bunga yang diperbuat daripada sisa makanan dan hadangan bagi memastikan tandas bersih merupakan antara huraian inovatif yang dicadangkan para belia setelah menjalani program kemampanan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Sepasukan belia dari Politeknik Singapura merupakan antara peserta yang sudah selesai menjalani program tersebut dan mereka kini ingin memastikan tandas bersih dan kering.

Justeru, mereka membina hadangan untuk mencegah percikan air kencing di tandas lelaki.

"Kebersihan awam adalah sesuatu yang sering diabaikan berbanding bidang kemampanan yang lain. Oleh itu, jika saya boleh memasang prototaip saya di tandas-tandas pusat penjaja, saya akan berasa sangat gembira melihat bahawa bukan sahaja ruang pusat penjaja, malah tandas-tandasnya juga dalam keadaan bersih," kata Ketua Pasukan Beyond the Flush, Chia Howie.

Idea pasukan tersebut dan para belia yang lain boleh dibangunkan dan dikembangkan lagi, dengan bantuan NEA dan pihak-pihak berkepentingan.

Sebanyak 16 projek yang dihasilkan sebagai sebahagian daripada program kemampanan NEA akan dipaparkan di Pusat Beli-Belah Funan hujung minggu ini.

Di bawah program tersebut, para pelajar pengajian tinggi bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan rakan-rakan korporat untuk menghasilkan huraian mesra alam.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Jumaat (20 Jun) berkata generasi muda mesti berinovasi demi membantu Singapura terus berkembang maju, terutama sekali di tengah-tengah keadaan tidak menentu sekarang.

Kata Cik Fu: "Negara-negara semakin menjauhi kerjasama dan ketidakstabilan ini mengancam kemajuan pembangunan kemampanan. Apabila kerjasama rentas sempadan dan rantaian bekalan menjadi goyah, kos dan kesediaan teknologi hijau turut terjejas, perhatian politik dan awam semakin berkurangan, dan momentum tindakan kita menjadi lemah."

Kumpulan pertama program kemampanan NEA menyaksikan seramai 26 peserta, dan jumlah penyertaan meningkat kepada 34 peserta bagi kohort terbaharunya.

Kumpulan seterusnya akan disertai oleh 37 peserta muda yang akan menghasilkan cara baharu bagi memastikan Singapura kekal mampan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita