Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia ditahan ISD Amirull Ali dilepaskan di bawah Arahan Sekatan

Anggaran Waktu Membaca:
 Belia ditahan ISD Amirull Ali dilepaskan di bawah Arahan Sekatan

Ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Seorang belia Singapura, Amirull Ali, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac 2021 dilepaskan di bawah Arahan Sekatan (RO) pada Mac 2023.

Ini selepas dia menunjukkan kemajuan baik sepanjang tempoh pemulihan.

Demikian menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam kenyataan medianya hari ini (3 Mei).

Amirull menunjukkan respons baik kepada proses pemulihannya, dengan sokongan meluas Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) serta keluarganya, yang datang melawat setiap minggu semasa dia ditahan.

"Memandangkan kemajuan baik yang ditunjukkan semasa pemulihan, Amirull dilepaskan di bawah Arahan Sekatan pada Mac 2023. Dia merancang untuk melanjutkan pengajian di sebuah institusi posmenengah. ISD akan meneruskan kerjasama dengan RRG dan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi untuk memudahkan dia kembali ke pangkuan masyarakat," menurut ISD dalam kenyaatan media tersebut.

Individu yang dilepaskan di bawa RO, mesti mematuhi beberapa syarat dan sekatan.

Misalnya, individu berkenaan tidak dibenarkan mengubah alamat tempat tinggal atau tempat kerja atau keluar negara, tanpa kelulusan daripada Pengarah ISD.

Individu itu juga tidak boleh mengakses internet atau media sosial, mengeluarkan apa-apa kenyataan, berucap dalam pertemuan awam atau mencetak, mengedarkan, menyumbang kepada mana-mana penerbitan, menyandang jawatan atau menjadi anggota mana-mana pertubuhan, persatuan atau kumpulan, tanpa kelulusan Pengarah ISD.

SEJARAH KES

Pada Mac 2021, Amirull Ali yang ketika itu berusia 20 tahun, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mahu membunuh orang-orang Yahudi menggunakan pisau, di sebuah rumah ibadah Yahudi di Waterloo Street.

Dia juga membuat perancangan teliti untuk pergi ke Gaza di Palestin bagi menyertai sayap tentera kumpulan Hamas, iaitu Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB) bagi memerangi Israel.
ISD bekerjasama dengan RRG untuk memberi kaunseling kepada Amrirull. Seorang kaunselor RRG bertemu dengan Amirull setiap bulan untuk memperbetul pengetahuan agamanya dan mengalak Amirull mendakapi pemahaman prinsip Islam yang menyokong kehidupan bermasyarakat.

Hasilnya, Amirull meninggalkan pemahaman radikal dalam jihad bersenjata dan keganasan. Dia kini melihat jihad sebagai menjaga dan menyayangi ibu bapanya, mempertingkat dirinya dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Dia juga memahami pentingnya untuk hidup harmoni dengan masyarakat daripada kaum dan agama lain di Singapura serta mengesahkan terlebih dahulu tentang maklumat keagamaan yang tidak pasti dengan guru-guru agama dan ulama bertauliah.

Selain kaunseling, Amirull juga kerap didampingi pegawai kes ISD dan seorang ahli psikologi. Menerusi interaksi mereka, dia kini memahami bahawa meskipun seseorang bersimpati dengan keadaan dan nasib orang-orang yang terperangkap dalam konflik seperti yang berlaku antara Israel dengan Palestin, kita tidak seharusnya mengambil pendekatan keganasan sebagai jalan penyelesaian.
Sesi-sesi kaunseling psikologi tersebut juga membantu Amirull memperkukuh cara pemikirannya serta menajamkan kemahiran mengawal emosi. Ini mengurangkan kemungkinan dia terjejas oleh pengaruh-pengaruh radikal.

"Keadaan Amirull yang tidak berupaya menilai secara kritis maklumat yang diterimanya berhubung konflik Israel-Palestin, dan kecenderungannya untuk bertindak dengan emosi terhadap nasib Muslim yang ditindas, menyumbang kepada pemikiran radikal pada mulanya," menurut ISD lagi.

Semasa dalam tahanan dan melalui proses pemulihan, Amirull juga diberikan akses kepada bahan-bahan pendidikan dan pengayaan diri seperti video dan rencana.

Amirull akan menghabiskan kertas kerja yang diberikan dan berbincang apa yang dipelajarinya dengan ahli psikologi.

Menerusi usaha-usaha tersebut, Amirull membentuk sebuah identiti positif yang lebih jelas dan menimba kemahiran praktikal seperti menetapkan matlamat. Selain itu, seorang sukarelawan RRG juga menyediakan Amirull dengan pembelajaran bahasa Inggeris untuk mempersiapkannya bagi perancangan melanjutkan pengajian.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan