Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia dipelawa jalankan projek kemasyarakatan sepanjang tahun tangani isu perbandaran

Anggaran Waktu Membaca:
Belia dipelawa jalankan projek kemasyarakatan sepanjang tahun tangani isu perbandaran

(Gambar: Kementerian Pembangunan Negara)

SINGAPURA: Golongan muda berusia antara 15 hingga 35 tahun dipelawa untuk menyerahkan idea mereka bagi menghuraikan isu-isu perbandaran.

Ini termasuk koridor yang berselerak, bunyi bising di kawasan kejiranan dan pemilikan haiwan peliharaan secara tidak bertanggungjawab.

Demikian menurut Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) pada Jumaat (26 Mei).

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua agensi itu menyatakan bahawa belia akan mendapat sokongan mentor dan diberikan sehingga S$10,000 bagi setiap projek untuk menguji cuba idea mereka.

Ia boleh merangkumi "kempen pendidikan awam, pendampingan masyarakat dan campur tangan pengertian tingkah laku".

Cabaran tersebut yang dilancarkan pada 2018, dianjurkan oleh MSO dan NYC, dengan tujuan menggalak usaha awal oleh belia sendiri untuk membangunkan "persekitaran hidup yang menyenangkan bagi menggalak norma sosial positif".

Sejak ia dilancarkan, sebanyak S$275,000 dihulurkan kepada 30 pasukan projek bagi idea mereka yang meningkatkan masyarakat.

FORMAT CABARAN

Di bawah format cabaran yang baru, para peserta berpeluang menyertai tiga bengkel "pemikiran reka bentuk" untuk memahami keperluan masyarakat dan membangunkan huraian bagi menangani keprihatinan perbandaran di lapangan.

Berikutan bengkel tersebut, setiap pasukan akan mengemukakan projek mereka kepada panel juri dari MSO, NYC, Lembaga Taman Negara (NParks), serta para pakar dari beberapa industri terpilih untuk mendapatkan sokongan pembiayaan bagi melaksanakan projek mereka, tambah kenyataan itu.

Cabaran tahun ini akan menangani empat isu utama dalam masyarakat:

Bunyi bising di kawasan kejiranan: Para peserta ditugaskan untuk memikirkan cara bagi menggalak penduduk supaya bertimbang rasa antara satu sama lain dan mengurangkan bunyi bising.

Pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab: Buat cabaran ini, para peserta mesti menimbangkan bagaimana untuk meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan pemilik haiwan peliharaan sedia ada dan pada masa hadapan, supaya mereka lebih bertimbang rasa kepada orang lain semasa membawa haiwan peliharaan mereka ke ruang awam bersama.

Koridor tidak berselerak: Setiap pasukan akan ditugaskan dengan cabaran untuk memikirkan bagaimana mereka dapat menghalang penduduk dari meletakkan barang mereka seperti pokok atau rak pengering pakaian di kawasan awam dan koridor, serta menggalak para penduduk memastikan kawasan tersebut tidak berselerak.

Meningkatkan kesedaran terhadap alat laporan perbandaran: Saluran OneService (OS) seperti OS Chatbot dan OneService@LifeSG menawarkan platform sehenti bagi penduduk untuk melaporkan dan menjejaki maklum balas mereka berhubung isu-isu perbandaran. Peserta harus memikirkan cara untuk meningkatkan kesedaran tentang aplikasi itu dalam kalangan penduduk dan menggalak mereka untuk menggunakan saluran tersebut.

Pendaftaran bagi cabaran itu ditutup pada 2 Julai 2023. Peserta yang berminat digalakkan membentuk pasukan bersama belia bersependapat, namun pendaftaran secara individu juga dibenarkan, jelas agensi-agensi itu.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan