Belia dan pekerja berusia 20-39 tahun didapati mudah jadi mangsa penipuan
Warga emas mungkin disangka golongan yang sering kali menjadi mangsa penipuan. Ternyata tidak.
SINGAPURA: Warga emas mungkin disangka golongan yang sering kali menjadi mangsa penipuan. Ternyata tidak.
Menurut hasil tinjauan terkini Pusat Sains Tingkah Laku Home Team (HTBSC), golongan belia dan pekerja berusia antara 20 hingga 39 tahun sebenarnya lebih mudah menjadi mangsa.
Tinjauan online itu disertai 4,043 rakyat dan Penduduk Tetap Singapura. Bagi tinjauan pertama seumpamanya yang meninjau insiden kes penipuan di Singapura ini, para responden dipilih agar dapat memberi gambaran lebih jelas mengenai tabiat, perwatakan dan tingkah laku mereka yang tidak menjadi mangsa penipuan supaya dapat membantu dalam usaha meningkatkan pencegahan terhadap jenayah tersebut.
MENGAPA ORANG MUDA MUDAH JADI MANGSA PENIPUAN?
Secara umumnya, 63 peratus responden mengakui mereka pernah berdepan dengan skim penipuan antara Ogos 2019 dengan Sep 2020. 7 peratus bahkan pernah menjadi mangsa. Ini sekaligus menunjukkan jenayah tersebut kian berleluasa di Singapura.
Namun, lebih membimbangkan lagi, 48 peratus mangsa ditinjau adalah mereka yang berusia antara 20 hingga 39 tahun - sedangkan mereka dalam peringkat usia ini hanya membentuk 33 peratus responden dalam tinjauan HTBSC.
Tambahan lagi, mereka didapati "sangat tahu-menahu" mengenai kempen-kempen anti-penipuan di Singapura.
HTBSC menjelaskan, golongan muda itu dipercayai berisiko menjadi mangsa penipuan kerana mereka tidak mempedulikan risiko yang dihadapi di alam maya.
Misalnya, mereka tetap klik iklan-iklan online yang mencurigakan, membuka emel dan pautan daripada pengirim yang tidak dikenali dan mendaftarkan diri bagi khidmat yang ditawarkan secara percuma. Semua ini dilakukan secara terburu-buru dan tanpa berfikir panjang.
Bagi mereka yang tidak menjadi mangsa penipuan, tinjauan itu mendapati golongan tersebut lebih berwaspada, berhati-hati, tidak mudah percaya dan mereka amalkan keselamatan siber yang baik.

Pusat Home Team itu menambah, jumlah masa yang diluangkan di wadah online juga ternyata bukan satu faktor utama membuat seseorang jadi mangsa penipuan.
Sebaliknya, jenis kegiatan yang mereka lakukan menjadi penentu, termasuk kurang bersikap berhati-hati ketika membeli-belah melalui platform online atau memuat turun kandungan tersedia di Internet.
MANGSA MUDAH DITIPU LEBIH DARI SEKALI
Satu lagi trend membimbangkan adalah, mangsa penipuan umumnya didapati mudah menjadi mangsa lebih daripada sekali.
Hampir separuh atau 45 peratus mangsa ditinjau HTBSC didapati ditipu lebih daripada sekali.
Mangsa penipuan lazimnya didapati kurang mempunyai sokongan sosial dan besar kemungkinan tidak meminta sebarang bantuan selepas ditipu.
Pada sisi lain, tinjauan itu menunjukkan responden yang 'terselamat' adalah mereka yang mempunyai seseorang yang rapat di sisi untuk meminta bantuan.
Maka itu, HTBSC merumuskan bahawa sokongan sosial memainkan peranan sangat penting dalam mencegah seseorang daripada menjadi mangsa penipuan.
LANGKAH-LANGKAH SELAMAT YANG BOLEH DIAMBIL
Dalam sidang media pada petang tadi (15 Feb), pasukan yang menjalankan kajian itu menekankan bahawa banyak langkah yang boleh diambil dalam mengekang penipuan di Singapura.
Selain meminta pandangan rakan atau keluarga sebelum memenuhi permintaan si penipu, orang ramai perlulah kekal berwaspada dan siasat terlebih dulu pihak yang menghampiri mereka.
Lebih daripada itu, mereka boleh amalkan 6'S' ini:
- SPOT: Kenal pasti taktik penipu yang membangkitkan rasa sangsi
- STOP & think: Berhenti dan berfikir sejenak jika pihak yang menghubungi mereka boleh dipercayai
- SLOW down: Jangan terburu-buru mengambil tindakan dan memberi butiran peribadi anda
- SPEAK: Periksa dengan orang lain sebelum melakukan apa-apa
- SAFEGUARD: Jaga dan jangan kongsi sebarang maklumat walaupun diminta si penipu
- SEEK help: Minta bantuan sekiranya anda melalui insiden penipuan
Kes penipuan nyata kian berleluasa di Singapura. Pada 2020, lebih 15,700 kes sedemikian dilaporkan, iaitu lonjakan 65 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jumlah itu membentuk sekitar 42 peratus kes jenayah di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.