Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belia bangunkan perpustakaan online, mudahkan orang ramai kongsi buku yang sukar dicari

Kesukaran mencari buku-buku rujukan tertentu mencetus idea bagi sekumpulan belia untuk memulakan sebuah perpustakaan online.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kesukaran mencari buku-buku rujukan tertentu mencetus idea bagi sekumpulan belia untuk memulakan sebuah perpustakaan online.

Wadah online diberi nama Maktaba Books membolehkan orang ramai berkongsi dan meminjamkan buku-buku dalam koleksi mereka.

ULAT BUKU TIDAK CUKUP BACA BUKU, KINI TUBUHKAN WADAH DENGAN LEBIH 400 BUKU

Sebagai seorang ulat buku, Azrin Hamdan, 26 tahun, tidak jelak untuk mencari bahan bacaan baru dan ingin terus menambah koleksi bukunya.

Namun, bukan semua buku boleh dimilikinya.

Lantaran itu, timbul satu idea untuk Azrin dan rakannya untuk membangunkan sebuah platform online yang membolehkan para pemilik buku berkongsi dan meminjamkan buku-buku dalam koleksi mereka.

Perpustakaan online yang dipanggil Maktaba Books itu membolehkan sesiapa sahaja untuk menyenaraikan atau meminjam buku menerusi wadah itu.

Azrin berkata: "Saya ada koleksi agak kecil, 10 buku. Sudah tukar dan tukar dengan kawan-kawan, lama-lama saya sudah baca semua. Jadi saya nak baca lagi tetapi saya tidak mahu terbatas kepada buku yang kita mampu untuk beli. Jadi saya dan rakan saya cari di luar, ada orang macam kita yang ada sama masalah, ada buku tetapi nak baca lebih buku tetapi tidak ingin beli banyak buku."

BERMULA DENGAN 30 BUKU, KINI ADA 400 BUKU YANG BOLEH DIPINJAMKAN

Dengan adanya wadah Maktaba Books, buku-buku di rak-rak sesiapa sahaja boleh dinikmati dan dimanfaatkan ilmu yang terkandung di dalamnya oleh orang yang meminjamnya.

Malah dalam masa enam bulan sejak ditubuhkan, jumlah buku yang disenaraikan melonjak lebih 10 kali ganda dan kini menawarkan lebih 400 buku untuk dipinjamkan.

Maktaba Books juga kini mempunyai lebih 20 pengguna yang menyenaraikan buku-buku mereka.

Apabila ditanya siapakah di antara para pengguna Maktaba Books, ini jawapan Azrin: "Kebanyakan orang mereka suka kumpul buku. Ada satu orang ini, dia suka kumpul buku-buku yang sudah tidak diterbitkan. Ia menjadi buku 'rare', dan dia suka simpan. Dia ada koleksi dan suka meminjam buku-buku itu."

Buku-buku yang disenaraikan dalam perpustakaan online itu antaranya bertemakan Pengajian Melayu, Pengetahuan Islam serta perihal Asia Tenggara.

Ada di antaranya juga sukar dicari dan sekitar 20% daripadanya merupakan buku yang hanya boleh dibaca di bahagian Rujukan perpustakaan awam tempatan - bermakna, ia tidak boleh dipinjam dari sana.

Antara buku yang paling 'popular' setakat ini adalah buku yang ditulis cendekiawan Almarhum Syed Hussein Alatas bertajuk 'The Myth of The Lazy Native'.

Buku yang antaranya mengisahkan kritikan terhadap pandangan pihak penjajah terhadap orang Melayu, Filipina dan Jawa dari abad ke-16 hingga abad ke-20 itu, sudah dipinjam sebanyak lima kali sejak enam bulan lalu.

Selain mencari buku-buku itu di platform online, para penggemar buku juga boleh datang untuk melihat-lihat sebahagian koleksi buku Maktaba Books di Quiet SG yang terletak di 717 North Bridge Road. Ruang tersebut mempamerkan lebih 200 buku dalam senarai Maktaba Books.

ISI BORANG PINJAMAN, DEPOSIT S$5, PINJAM BUKU UNTUK SEBULAN

Untuk meminjam buku-buku di Maktaba Books, para pengguna boleh mendapatkan khidmat penghantaran buku ke rumah atau berjumpa terus dengan pemilik buku, selain meminjamnya di Quiet SG.

Tempoh pinjamannya bagi setiap buku ditetapkan selama sebulan.

Tiada bayaran dikenakan bagi setiap pinjaman tetapi para peminjam buku perlu mengeluarkan deposit sebanyak S$5 bagi menjamin keadaan buku itu.

Menerangkan perlunya untuk mendahulukan jumlah wang itu, Azrin berkata: "Kita juga perlu pastikan pemilik buku puas hati dengan keadaan buku sebab sebagai pemilik buku mereka betul-betul sayang buku mereka. Ada yang cakap mereka risau kalau buku yang dipinjamkan tidak datang balik dengan keadaan asalnya. Sekiranya keadaannya masih diterima, orang yang meminjam buku itu akan dipulangkan wang deposit."

Sejak dibangunkan pada Jun lalu, Maktaba Books sudah menyaksikan lebih 60 transaksi pinjaman buku.

Setakat ini, Azrin mengatakan bahawa setiap daripada transaksi tersebut menyaksikan kesemua wang deposit dipulangkan kepada yang meminjam buku.

Namun, memandangkan proses peminjaman hanya berjalan antara orang yang ingin meminjam buku dan si peminjamnya, dia akur bahawa ada juga cabaran untuk memastikan transaksi yang lancar.

"Ada ramai orang dan kita tidak boleh mengawal bagaimana mereka berinteraksi. Satu masalah yang kita alami adalah ada satu orang ingin meminjam buku dan ada peminjam pula yang tidak membalas, sehingga lima hari," jelas Azrin kepada BERITAmediacorp.

Lantaran itu juga, Azrin dan pasukannya dalam perancangan untuk menyelaras dan memperhalusi wadah tersebut agar tidak menimbulkan masalah untuk para pengguna.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan