Skip to main content

Singapura

Belia ajak teman-teman merayau ke kubur naiki van curi dikenakan latihan pemulihan

Sementara menjalani ikat jamin bagi kesalahan-kesalahan lain dan bersedia untuk mengaku bersalah di atas kesalahan-kesalahan tersebut, seorang belia lelaki mencuri sebuah bas dan van lalu mengajak kawan-kawannya merayau ke tanah perkuburan dengan menggunakan van berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Belia ajak teman-teman merayau ke kubur naiki van curi dikenakan latihan pemulihan

Gambar fail. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 28 May 2019 12:26PM Dikemas Kini : 28 May 2019 12:41PM

SINGAPURA: Sementara menjalani ikat jamin bagi kesalahan-kesalahan lain dan bersedia untuk mengaku bersalah di atas kesalahan-kesalahan tersebut, seorang belia lelaki mencuri sebuah bas dan van lalu mengajak kawan-kawannya merayau ke tanah perkuburan dengan menggunakan van berkenaan.

Bagi pelbagai jenis jenayah yang dilakukannya, Muhammad Iskandar Abdul Razak, 20 tahun, pada Isnin (27 Mei) dihukum menjalani latihan pemulihan selama setahun dan dilarang memandu setahun.

Iskandar mengaku bersalah ke atas sembilan tuduhan - termasuk mencederakan dengan sengaja, mencuri dan memandu tanpa lesen - dengan tujuh lagi tuduhan lain turut dipertimbangkan.

Pada 28 Mac, Iskandar menemui kawannya Muhammad Rizuwan Abdullah atau Wan yang berusia 22 tahun dan menyarankan mereka mencari sebuah bas untuk keluar merayau-rayau. Demikian menurut Timbalan Pendakwa Raya Tan Yanying.

Wan bersetuju dan kedua-dua lelaki itu pergi ke Blok 22, Sin Ming Road, di mana Iskandar menemui sebuah bas Mitsubishi putih milik JT Bus Services.

Iskandar berjaya memecah masuk bas tersebut.

Sekitar sejam kemudian, pemilik bas berkenaan menyedari bahawa kenderaannya hilang lalu beliau membuat laporan polis dengan mengatakan bahawa rakan sekerjanya ternampak bas itu di Ang Mo Kio.

PANDU BAS BAWA KAWAN-KAWAN KE KUBUR

Beberapa hari kemudian pada 9 April, Iskandar memecah masuk sebuah van pula.

Dia mengambil kawan-kawannya dan memandu mereka ke Tanah Perkuburan Pusara Aman di Jalan Bahar.

Iskandar mencuri sebuah dompet dari van berkenaan yang mengandungi S$90 wang tunai, CashCard bernilai S$20 serta beberapa permit kerja dan lesen memandu sebelum dia meletakkan kenderaan itu di sebuah tempat berhampiran.

Dia membawa kawan-kawannya keluar merayau-rayau menaiki van itu sekali lagi pada sekitar jam 11.00 malam hari yang sama. Iskandar memandu mereka ke tanah perkuburan sama sebelum mereka pergi ke Marina Bay dan Taman East Coast.

Para pegawai polis menemui van tersebut di Blok 260B Ang Mo Kio Street 21 pada 11 April setelah pemilik kenderaan itu memfailkan laporan polis. Iskandar ditahan empat hari kemudian.

Latihan pemulihan adalah hukuman lebih berat berbanding percubaan (probation) dan ia dikenakan ke atas para pesalah berusia bawah 21 tahun. Mereka yang menjalani hukuman itu ditahan dalam sebuah persekitaran berstruktur dengan penekanan kepada pemulihan. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita