Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Beli sekarang, bayar kemudian': Had S$2,000 satu permulaan baik namun tidak cukup, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kod tatalaku bagi industri 'beli sekarang, bayar kemudian' (BNPL) berkuatkuasa pada Selasa (1 Nov) dengan pakar menyifatkannya sebagai langkah pertama yang amat diperlukan untuk menangani risiko berbelanja secara berlebihan. Namun lebih banyak perlindungan diperlukan, tambah mereka.

Kemudahan BNPL membenarkan pengguna menangguhkan pembayaran ke atas barangan tanpa perlu membayar kadar faedah dan tanpa perlu memiliki kad kredit.

Garis panduan baru itu termasuk had S$2,000 yang dibenarkan ke atas pelanggan bagi pembayaran tertunggak dengan setiap perkhidmatan BNPL melainkan penilaian kelayakan kredit tambahan dijalankan.

Penyedia BNPL juga harus menggantung akses pelanggan kepada perkhidmatannya jika kewajipan pembayaran tidak dipenuhi.

BNPL juga akan memberi butiran jelas semua yuran dikenakan dan membataskan caj tanpa faedah kompaun.

Langkah perlindungan lain termasuk amalan pemasaran yang beretika dan membenarkan pengguna untuk secara sukarela mengecualikan diri daripada menggunakan perkhidmatan BNPL.

Individu berumur 18 tahun ke atas boleh mendaftarkan akaun dan mula berbelanja secara ansuran hampir serta-merta.

Akses mudah kepada pinjaman sedemikian tanpa penilaian pendapatan dan semakan kredit lain menimbulkan kebimbangan kemungkinan pengguna berhutang secara berlebihan.

Kod tatalaku yang dibangunkan Persatuan FinTech Singapura (SFA) dan lapan pemain industri dengan bimbingan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), itu berharap dapat menangani kebimbangan tersebut.

Pakar menyatakan kod baru itu meskipun tidak termaktub dalam undang-undang, bertindak sebagai satu kawal selia bagi industri, dan langkah ke arah yang baik.

"Ia menangani banyak masalah. Misalnya, pengguna yang tidak sedar apa mereka lakukan dan menganggap ia adalah wang percuma dan bukan wang pinjaman," kata Encik Anton Ruddenklau, rakan kongsi dan Ketua Perkhidmatan Kewangan di KPMG Singapore.

"Ini bukan wang percuma. Anda diberikan pinjaman untuk produk yang sudah anda beli."

LEBIH BANYAK PERLINDUNGAN DIPERLUKAN?

Namun, kod tatalaku itu harus diperhalusi untuk memberikan lebih banyak perlindungan, menurut beberapa pakar.

Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menyatakan ia berharap lebih banyak langkah perlindungan seperti had lebih rendah bagi perbelanjaan maksimum untuk individu berusia bawah 21 tahun.
Bagi mengurangkan risiko, industri harus mempertimbangkan untuk menetapkan had perbelanjaan yang berbeza untuk pelanggan.

Persatuan FinTech Singapura dalam menjawab pertanyaan Mediacorp menyatakan had S$2000 bertujuan untuk menghalang pelanggan BNPL daripada "membebankan kedudukan kewangan mereka" dan ditentukan berdasarkan data dan maklum balas industri.

SFA bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan tentang jumlah pengguna BNPL yang melepasi had tersebut dan gagal membuat pembayaran.

Mengenai sama ada SFA akan mempertimbangkan lebih banyak perlindungan, Presiden SFA, Shadab Taiyabi berkata kumpulan kerja itu sudah berunding dengan dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam membangunkan kod tatalaku tersebut.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan