Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beli produk pelindung suria berdiskaun online? Anda mungkin dapat yang palsu

Anggaran Waktu Membaca:
Beli produk pelindung suria berdiskaun online? Anda mungkin dapat yang palsu

Gambar kanan menunjukkan sampel Biore UV Aqua Rich Essence daripada produk tiruan (kiri) dan sampel daripada produk yang dibeli daripada peruncit rasmi (kanan). (Gambar: Kao Singapore, Yen Feng)

Diterbitkan : 24 Oct 2022 07:44PM Dikemas Kini : 24 Oct 2022 09:12PM
SINGAPURA: Tertarik dengan diskaun yang ditawarkan di platform perdagangan elektronik, Encik Yen Feng memutuskan untuk membeli produk perlindung suria kegemarannya secara online bagi memastikan bekalan yang mencukupi.

Namun, selepas menerima tempahannya daripada Biore UV Aqua Rich Essence, dia mendapati tekstur dan warna produk pelindung suria itu berlainan daripada produk sama yang dibelinya sebelum ini daripada peruncit rasmi.

Encik Feng, seorang guru yoga, berkongsi dapatannya di akaun Facebooknya: "Susuli pencarian di Google dan beberapa video (yang ditonton), saya keluar untuk membeli krim pelindung suria yang lain dari Guardian pada harga S$18.90, untuk membandingkan kedua-duanya."

Beliau yakin bahawa produk pelindung suria, yang digunakan selama enam bulan itu, adalah palsu.

Mediacorp meninjau produk yang disenaraikan di platform perdagangan elektronik, Shopee, di mana Encik Feng membeli produk pelindung suria itu. Kebanyakan pelanggan rata-rata memberi ulasan positif mengenai produk tersebut. Malah, hanya beberapa pelanggan saja yang mengirimkan aduan mengenai bagaimana produk pelindung suria itu berlainan dengan produk yang dijual di kedai-kedai peruncit

Setakat Jumaat (21 Okt), produk tersebut tidak lagi terdapat di Shopee.

Dalam satu kenyataan kepada CNA, Shopee menyatakan: "Selaras dengan protokol standard kami, kami mengeluarkan produk ini daripada platform kami sebaik sahaja ia dimaklumkan kepada pihak kami, dan kami sedang menjalankan semakan dengan penjual."

Penjual itu, yang dikenal pasti sebagai penjual 'pilihan' di platform tersebut, bagaimanapun masih menjual produk jagaan kulit yang lain di platform Shopee itu.

Encik Feng bukan satu-satunya, yang pernah melalui pengalaman seperti itu. Para pelanggan yang memilih platform perdagangan elektronik dengan harapan untuk mendapatkan produk-produk jagaan kulit pada harga yang berpatutan, juga mengalami nasib yang serupa.

Seorang lagi pengguna Shopee, Mary Ang juga berkongsi aduannya di Facebook bulan lalu mengenai produk tiruan Kiehl’s yang dibelinya online. Dia memberitahu Mediacorp bahawa dia sudahpun membuat pesanan tiga produk Kiehl’s daripada seorang penjual tempatan di platform Shopee.

Pada mulanya, Cik Ang berkata dia curiga kerana harganya kira-kira 30 peratus lebih murah daripada kedai rasmi Kiehl's, tetapi memutuskan untuk mempercayai platform dan penjual itu, yang mempunyai rating tinggi.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kiehl’s menasihatkan para pelanggan supaya membeli secara langsung daripada kedai-kedai rasmi dan ia "tidak dapat memberi jaminan ketulenan dan keberkesanan" produk yang dibeli dari laman online yang lain atau peruncit yang tidak sah.

PARA PENJUAL PERLU PATUHI PERATURAN: SHOPEE, HSA

CNA bertanya kepada Shopee dan Lazada mengenai bilangan aduan yang diterima dan langkah yang diambil untuk mengelak produk-produk tiruan daripada dijual. Lazada tidak memberi sebarang komen, manakala Shopee menyatakan bahawa penjualan barangan sedemikian "dilarang dengan keras".

Dalam satu kenyataan, Shopee menyatakan bahawa ia memerlukan para penjual mematuhi peraturan tempatan dan dasar-dasar yang ditetapkan bagi barangan dilarang.

Shopee menegaskan: "Kami mengambil langkah-langkah awal untuk menghalang produk sedemikian daripada disenaraikan di platform, dan kami bekerjasama dengan pemerintah tempatan dan pihak berkuasa kesihatan untuk mengeluarkan produk yang dikenal pasti."

"Kami juga ingin mengalak para pengguna supaya menghubungi Shopee sekiranya mereka berdepan dengan produk serupa di platform kami," tambah Shopee.

Sementara itu, platform tersebut juga menawarkan 'Shopee Mall' dan program penjual 'pilihan'.

Label 'Shopee Mall' dikhaskan untuk pemilik jenama dan pengedar sah, di mana produk dijamin tulen.Penjual perlu mengemukakan dokumen yang berkaitan, seperti surat kebenaran daripada jenama.

Program penjual 'pilihan' pula adalah untuk penjual yang dianggap sudah menyediakan "pengalaman membeli-belah yang dipertingkatkan", menurut laman Shopee. Ini berdasarkan rating, mutu khidmat pelanggan serta rekod prestasi dalam pesanan penghantaran dengan cepat dan cekap.

Lazada juga mempunyai program-program seumpama itu di platform tersebut.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Penguasa Sains Kesihatan (HSA), mendedahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau maklum balas mengenai perkara itu sejak dua tahun lalu.

Agensi tersebut bagaimanapun menyatakan bahawa ia akan bekerjasama dengan para pemilik produk tersebut dalam menjalankan siasatan ke atas sebarang aduan dan mengambil tindakan sekiranya timbul kebimbangan keselamatan.

Seorang jurucakap agensi itu menambah: "Sekiranya perlu, HSA boleh mengarahkan penjual atau pembekal untuk mengeluarkan produk kosmetik itu daripada pasaran dan orang ramai juga akan dimaklumkan mengenai produk berbahaya itu."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan