BELASUNGKAWA: Sumbangan Pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Hj Alla'udin Mohamed disanjungi para pemimpin; masyarakat
Jenazah Pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Hj Alla'udin Mohamed selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 4 petang pada Khamis (14 Nov).
Allahyarham meninggal dunia pada usia 71 tahun sekitar 7.15 pagi tadi di Hospital Besar Changi (CGH) akibat pendarahan pada bahagian otak.
Sejak tengah hari, lebih 700 orang hadir di Masjid Khalid untuk memberi penghormatan terakhir sebagai menghargai segala bakti yang dicurahkan sepanjang hayatnya.
Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Selama lebih lima dekad, Allahyarham Haji Alla'udin Mohamed memberikan sumbangan yang amat berharga kepada masyarakat.
Sebagai pengerusi Masjid Khalid selama lebih 30 tahun, beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan masjid di Joo Chiat Road, yang kini berdiri megah.
Sumbangannya dalam memajukan ilmu dan memperkukuh institusi agama juga diiktiraf.
Pada April lalu, sebuah biasiswa yang dinamakan sempena nama beliau, Biasiswa Masjid Khalid Alla'udin, telah dilancarkan hasil kerjasama dengan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Nasi beriani dan bubur tersebut sering diagihkan untuk tujuan amal dan kutipan derma, termasuk menyokong kempen Cabaran Presiden.
Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang banyak berjasa, tetapi juga dianggap sebagai contoh teladan kepada pemimpin hari ini.
"Masyarakat lebih mengenali Allahyarham daripada saya. Waktu yang Allahyarham berikan untuk masyarakat lebih daripada keluarganya. Tidak mengira kaum bukan Islam ataupun Islam, fakir miskin, tukang beca, orang hendak minta kerja. Allahyarham boleh ajak pimpin tukang beca, Allahyarham boleh jaga tempat tidur semua," kata adik Allahyarham Haji Alla'udin, Encik Mohamed Taifoor Mohamed kepada wartawan Syawal Yusoff.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, lima anak, empat menantu, dan lapan cucu.
Solat jenazah diadakan selepas solat Zohor, dipimpin oleh anak sulung Allahyarham, Encik Shaikh Mohammed Bisrulhaffi Alla'udin, 43 tahun.
"Orang yang paling luar biasa yang pernah saya temui. Dia bapa terhebat yang saya ada. Ia adalah kehilangan terbesar bagi saya sekarang," kata beliau sambil menahan sebak.
RAMAI PEMIMPIN NEGARA HADIR BERI PENGHORMATAN
Ramai pemimpin negara dan masyarakat hadir memberi penghormatan.
Antaranya Imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, Datuk Bandar CDC Timur Laut, Fahmi Aliman.
Mantan Anggota Parlimen, Zainul Abidin Rasheed, juga berkongsi kesedihan atas pemergian sahabat lamanya itu.
"Saya mengenali Allahyarham daripada masa sekolah lagi, sekolah agama. Allahyarham sungguh luar biasa kerana bukan sahaja menjadi pemimpin masjid, malah pemimpin masyarakat dan juga diakui oleh negara. Allahyarham sungguh istimewa kerana jiwanya, semangatnya untuk berkorban untuk masyarakat dan bangsa dan agama," kata Encik Zainul.
Antara yang mengutuskan ucapan takziah di media sosial ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam catatannya di Facebook, Dr Faishal menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang baik hati, pemurah, dan berjiwa besar.
Dr Faishal berkata kerjasama pertama bersama Allahyarham adalah semasa penglibatan sulung MUIS dalam Cabaran Presiden, yang turut melibatkan mendiang Presiden Nathan.
Bersama-sama, mereka bekerja keras untuk menggerakkan komuniti agar turut serta dalam usaha Cabaran Presiden.
Selepas menjadi Anggota Parlimen, kerjasama dengan Allahyarham diteruskan di pelbagai platform, termasuk dalam usaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA).
"Allahyarham telah menjadi penyokong kuat Dadah Itu Haram, pemulihan dan integrasi semula bekas pesalah melalui Perkhidmatan Kaunseling Muslim dan usaha untuk menggalakkan keharmonian kaum dan agama. Terima kasih, Hj Alla’udin, atas sumbangan anda yang tidak mementingkan diri sendiri, dan atas dedikasi anda yang tidak jemu dalam berkhidmat kepada masyarakat," kata Dr Faishal.
Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Kadir Maideen turut berduka atas pemergian Allahyarham.
"Selama tiga dekad, Allahyarham berkhidmat sebagai Pengerusi Masjid Khalid, memperlihatkan dedikasi tanpa mengenal penat lelah demi kesejahteraan komuniti. Salah satu sumbangan terbesarnya adalah inisiatif Beriani Amal Cabaran Presiden, yang disokongnya dengan penuh semangat selama lebih 20 tahun, memberi manfaat kepada banyak keluarga yang memerlukan.
"Sebagai Pengerusi, Allahyarham Haji Alla’udin menerajui program pendidikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik dan memimpin kempen pengumpulan dana yang berjaya untuk menaik taraf Masjid Khalid. Wawasannya juga membawa kepada pemerolehan dan peningkatan dua hartanah wakaf bersebelahan masjid, memperkukuhkan asas komuniti kami untuk generasi masa depan." kata beliau dalam catatan di Facebook.
Encik Kadir berkata Allahyarham "adalah pembina jambatan yang menyatukan orang-orang dari pelbagai agama melalui kerjanya dengan Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC)."
USAHA-USAHA ALLAHYARHAM DITERUSKAN
Terdapat beberapa projek kemasyarakatan yang masih belum sempat Allahyarham laksanakan, termasuk satu projek pengumpulan dana untuk mangsa Gaza yang telah dijadualkan.
Walau bagaimanapun, Penasihat GRC Marine Parade, Edwin Tong, memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha untuk meneruskan projek tersebut bagi menghormati hasrat Allahyarham.
"Banyak perkara yang dia mahu lakukan sebenarnya bukan untuk dirinya sendiri. Dia mahu mencari jalan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan menaikkan taraf orang di sekeliling dirinya dan masjid ini. Kami akan mencari cara untuk meneruskan kerja baiknya dan memastikan bahawa falsafah yang selalu dia miliki tentang penyayang, kami melihatnya dalam kerja yang kami lakukan di sini, serta dalam masyarakat dan estet kami," kata Encik Tong, yang juga Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.