Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BELASUNGKAWA: Sumbangan besar, pencapaian tinggi dan falsafah mendalam batik Sarkasi Said

Sumbangan tokoh batik terkenal Sarkasi Said kepada landskap seni negara cukup besar dan sukar dicari ganti. Bayangkan, lebih 60 tahun daripada hayatnya diabdikan kepada perjuangan menghidupkan dan memartabatkan seni lukisan batik. Bukan hanya di Singapura, tetapi juga di pentas antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sumbangan tokoh batik terkenal Sarkasi Said kepada landskap seni negara cukup besar dan sukar dicari ganti. Bayangkan, lebih 60 tahun daripada hayatnya diabdikan kepada perjuangan menghidupkan dan memartabatkan seni lukisan batik. Bukan hanya di Singapura, tetapi juga di pentas antarabangsa.

Yang pasti, Sarkasi Said salah seorang gergasi dalam dunia seni Singapura.

Lantaran itu, pemergiannya menutup usia, cukup dirasakan. Allahyarham Sarkasi meninggal dunia pada usia 81 tahun pada malam Jumaat (Khamis, 14 Okt), akibat kegagalan ginjal.

(Gambar: Hoong Wei Long/ Muzium NUS)

(Gambar: Hoong Wei Long/ Muzium NUS)

Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak, yang kesemuanya juga pelukis batik.

ANTARA PENCAPAIAN BESAR BAPA SENI BATIK S'PURA INI

Pencapaian Pak Sarkasi sepanjang bergelumang dalam dunia batik begitu luar biasa. Baru tahun lalu, beliau dijulang dengan pengiktirafan tertinggi dalam bidang seni di Singapura atas ketokohan dan sumbangan tidak ternilainya untuk memperkaya landskap budaya negara. Pingat Kebudayaan itu disampaikan kepadanya oleh Presiden Halimah Yacob di Istana.

(Gambar: LH Goh/MCI)

(Gambar: LH Goh/MCI)

Semasa menerima anugerah itu, Pak Sarkasi sudahpun uzur dan berkerusi roda. Namun, beliau tetap berani menyuarakan keinginan menghasilkan pula sebuah buku yang merakamkan sejarah dan evolusi lukisan batik Singapura.

"Buat saya seni budaya itu adalah sesuatu yang tidak ada perhentian. Walaupun saya nanti sudah tidak ada di dunia ini, ada penyambungnya (nanti)," katanya dalam wawancara bersama BERITAmediacorp ketika menerima pengiktirafan tersebut.

Sebelum itu, Pak Sarkasi sudahpun meraih pelbagai pengiktirafan lain di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Sebagai contoh, pada Mac 2003, sentuhan kreatifnya disenaraikan dalam Rekod Dunia Guiness sebagai lukisan batik terpanjang yang pernah dihasilkan. Pak Sarkasi ketika itu berusia 62 tahun tetapi beliau berjaya menghabiskan lukisan orkid pada kain rentang sepanjang 103.9 meter itu dalam tempoh lima hari.

"Saya melukis sambil berdiri sehingga kaki saya bengkak. Saya rasa itu satu cabaran paling payah yang perlu diatasi," kongsi Pak Sarkasi tentang kejayaan memecahkan rekod dunia itu.

Karya Pak Sarkasi juga pernah dinobat sebagai Penyertaan Luar Negara Terbaik di satu pameran di Amerika Syarikat pada 1981. Penyertaannya terpilih dalam kalangan begitu banyak artis tersohor dari merata dunia.

Antara anugerah lain yang dirangkul bekas anggota lembaga Majlis Seni Kebangsaan ini termasuk, Pingat APAD dari Angkatan Pelukis Aneka Daya pada 1974, Tempat Pertama (Abstrak) dalam Lukisan Terbaik UOB pada 1989 serta Anugerah Jauhari Perintis pada 2015.

Pelukis itu juga berjaya membawa karya-karyanya ke persada antarabangsa menerusi pameran di Brunei, Perancis, Indonesia, Jepun, Filipina dan Amerika Syarikat.

Lebih mengagumkan lagi, lukisan-lukisan batik Pak Sarkasi mengisi istana-istana di luar negara seperti Istana Sultan Brunei dan Istana Raja Harald di Norway.

TOKOH-TOKOH POLITIK, TERMASUK PM LEE PAKAI BATIK REKAANNYA

Di samping menghasilkan lukisan, Pak Sarkasi juga terkenal dengan koleksi pakaian bercorak batik yang beliau hasilkan.

Pada 1970-an, lulusan Sekolah Menengah Beatty itu malah diberi jolokan "Baron of Batik" setelah busana-busananya yang menerapkan seni batik mencuri perhatian ramai.

Busana seperti itu dijual di bawah jenama 'Tzee Creation' - sebuah syarikat yang Pak Sarkasi bangunkan bersama empat lagi rakan niaga lain. Walaupun perusahaan itu kemudian ditutup, kemeja, skarf dan produk-produk lain yang dihasilkan Pak Sarkasi tetap mendapat sambutan dari dalam dan luar negara.

Kejayaannya itu adakalanya mengundang kritikan bahawa kononnya Pak Sarkasi terkejar-kejarkan keuntungan komersil. Sungguhpun begitu, Pak Sarkasi berpandangan bahawa populariti karyanya tidak sahaja memperkenalkan batik kepada orang ramai, tetapi juga menjadi satu wadah untuk menyuntik inspirasi kepada artis-artis baru. Itu salah satu cara mempopularkan batik.

Yang pasti, keupayaan Pak Sarkasi sangat diyakini sehingga pernah mendapat penghargaan istimewa menyiapkan pakaian lebih 10 Anggota Parlimen Singapura - termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong - sempena Hari Kebangsaan pada 2018.

(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

"Saya fikir Pak Sarkasi adalah kebanggaan kita - satu-satunya pelukis terkenal dan mapan di seluruh dunia," kata Masagos Zulkifli semasa diminta mengulas sebagai salah satu AP yang menggayakan pakaian dihasilkan oleh Pak Sarkasi ketika itu.

Rekaannya sempena Ulang Tahun ke-53 menampilkan lukisan anggerik dan ia diserlahkan lagi dengan warna lambang Singapura. Ini sekali gus memberi gambaran yang "sangat Singapura"' dan teknik-tekniknya juga "mirip gaya orang Singapura", tambah Encik Masagos lagi.

(Gambar: LH Goh/MCI)

Kurang lima bulan kemudian, Pak Sarkasi sekali lagi dapat berasa berbesar hati kerana diberikan amanah oleh PM Lee untuk menyiapkan baju corak batik sempena pelancaran majlis memperingati dwiabad Singapura pula.

Dengan semua pencapaian yang diraih, tidak hairanlah seniman ini juga disegani tokoh-tokoh seni tempatan.

Antaranya termasuk seorang artis generasi ketiga Singapura, Abu Jalal Sarimon. Pak Sarkasi katanya, satu tokoh yang cukup hebat dan "tidak pernah lokek ilmu".

"Setiap apa yang beliau hasilkan, contohnya penubuhan warna yang baru atau cara-cara melukis coretan atau garis yang begitu halus - bagaimana ia dilakukan, beliau akan kongsi," kata Abu Jalal.

"Tidak banyak pelukis yang mahu berkongsi ilmu sebegitu kerana pada mereka itulah senjata mereka yang tidak mahu dikongsikan. Tapi lain dengan Sarkasi," tambah beliau.

Pakar tembikar yang cukup dikenali dalam persada seni Singapura, Iskandar Jalil, turut menyifatkan Pak Sarkasi sebagai seseorang yang tidak boleh ditukar ganti.

"Legasinya hilang. Kita perlu menjaga (legasi itu) dengan betul," ujar Iskandar Jalil semasa ditemui BERITAmediacorp pada hari Pak Sarkasi dikebumikan.

"Motif (lukisannya) saya ingat. Cara batiknya asli. Saya suka apa yang beliau hasilkan. Asli."

TITIK MULA SARKASI SAID TERLIBAT DALAM BATIK

Sememangnya Sarkasi Said tokoh seni batik yang tiada duanya. Titik permulaannya dalam seni batik bermula pada usia 16 tahun, iaitu semasa beliau memutuskan untuk meninggalkan bangku sekolah walaupun prestasi akademiknya cukup baik.

Keputusan itu diambil kerana beliau ingin menumpukan perhatian kepada minatnya terhadap seni. Pada waktu lapangnya, Pak Sarkasi berbasikal ke banyak tempat merata Singapura untuk melukis lalu menjaja lukisannya di tepi jalan.

Karya-karyanya ketika itu dikatakan sangat popular dalam kalangan ekspatriat yang tinggal di kawasan Bartley dan Gilstead.

Hakikatnya, minat beliau terhadap seni batik hanya berputik selepas membantu neneknya menjual kain batik. Beliau juga mendapat inspirasi daripada sebuah pameran artis asal Itali di sebuah galeri Singapura pada tahun 1960-an.

Melihat bagaimana artis tersebut menggunakan teknik tradisional dalam lukisan-lukisannya, Pak Sarkasi terdorong untuk mencari tahu tentang asal usulnya sebelum akhirnya fokus pada seni batik yang menurutnya, sangat signifikan dalam budaya Melayu.

Demi menimba ilmu, Pak Sarkasi sanggup merantau ke Indonesia untuk menghayati sendiri kehalusan seni batik dari tangan yang melukis di kilang-kilang batik.

Sejak itu, beliau terus berkarya dalam seni ini - selama lebih 60 tahun lamanya. Begitulah mendalamnya minat Pak Sarkasi terhadap seni batik.

"Dalam karya saya, saya selitkan kehidupan. Suatu kehidupan. Bagaimana seseorang itu hidup, bagaimana (misalnya) dapat kita nanti mempunyai masyarakat yang sama atau mempunyai keharmonian," kata Pak Sarkasi kepada BERITAmediacorp di satu pamerannya pada 2017.

Pelukis batik Sarkasi Said.

GUNA SENI UNTUK BAKTI KEPADA MASYARAKAT

Selain giat berkarya, Pak Sarkasi juga aktif berbakti kepada masyarakat. Beliau pernah melakukan kerja-kerja sukarelawan di sebuah pusat pemulihan dadah sebagai seorang guru seni.

Siapa sangka di bawah didikannya, seorang bekas pesalah mendapat ilham untuk turut menjadi seorang pelukis. Kelvin Lee, seorang penghuni di Pusat Pemulihan Khalsa Crescent, malah dapat mengadakan pameran seni batik pertamanya pada November 1993.

"Banyak yang mengajar batik hanya mengajar teknik batik. Tidak lebih dari itu. Jadi, batik ada filosofi tersendiri, ia harus sempurna bukan setakat teknik. Batik itu bukan kain atau baju."

Jelas sekali Pak Sarkasi berpegang teguh kepada falsafah ini sepanjang hayatnya. Misalnya, beliau menghidupkan semangat memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu - juga menerusi seni batik.

(Gambar: Sarkasi Said Tzee/Facebook)

Pada 2012, pelukis itu menghasilkan enam corak batik sempena Bulan Bahasa. Semua corak yang dilukis memaparkan enam nilai yang disifatkan sebagai selari dengan jiwa masyarakat Melayu, iaitu hormat-menghormati, kasih sayang, kemurniaan hati, kesediaan untuk meneroka, tanggungjawab dan tolong-menolong.

Bahasa dan lukisan sangat berkait rapat dengan satu sama lain, terang Pak Sarkasi, sambil menggunakan konsep isi dengan kuku.

"Setiap coretan dalam batik mempunyai erti. Erti ini tidak akan dapat dilestarikan kiranya tidak mempunyai bahasa dan bahasa-bahasa yang begitu indah dapat mengutarakan lagi hasil karya itu," jelasnya.

Beliau juga menganggap seni batik sama nilainya dengan emas kerana ia satu khazanah warisan Melayu.

"Sebagaimana bahasa, batik juga mempunyai unsur-unsur yang tertentu. Umpamanya batik mempunyai falsafah, nilai intelek. Dengan dapat menilai keanggunan batik, ianya dapat mendekatkan lagi minat dan pengetahuan untuk lebih dekat kepada batik, begitu juga bahasa."

Hasil karya Pak Sarkasi acap kali turut dilelong bagi acara-acara amal - termasuk bagi membantu menampung kos operasi sebuah masjid tempatan.

(Gambar: Hoong Wei Long/ Muzium NUS)

Kini, setelah berpulangnya 'bapa batik Singapura' ini, timbul persoalan - Adakah patahnya akan tumbuh? Adakah hilangnya Sarkasi Said akan berganti? Yang tentu, perginya beliau adalah pergi seorang perintis yang sukar dicari ganti.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan