BELASUNGKAWA: Pemergian Yusoff Maruwi tinggalkan seribu kenangan, kebaikannya terus dikenang
Jenazah Almarhum Mohamed Yusoff Maruwi dimandikan dan disolatkan di Dewan Persiapan Pengebumian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di Pusara Aman sebelum selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar jam 11.20 pagi (1 Jun). (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim
Pemergian Almarhum diratapi keluarga dan rakan-rakan artis setempat, yang menyifatkan beliau sebagai seorang insan yang tidak pernah lokek ilmu dalam bidang pekerjaan dan sering meminjamkan senyumannya.
Jenazah Almarhum dimandikan dan disolatkan di Dewan Persiapan Pengebumian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di Pusara Aman sebelum selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar jam 11.20 pagi (1 Jun).
Sekitar 100 orang, termasuk ahli keluarga, sahabat handai serta rakan-rakan seni tanah air, hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum sebelum jasadnya disemadikan.
Pada usia 72 tahun, Almarhum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) sekitar jam 2.20 pagi tadi (1 Jun) akibat serangan angin ahmar.
Almarhum sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di TTSH sejak minggu lalu.
LAPORAN BERKAITAN:
Ketika ditemui BERITA Mediacorp selepas pengebumian, pengarah pelakon dan pelawak tempatan, Khairudin Samsudin, mengakui masih terkejut dengan berita pemergian Almarhum.
Beliau baharu sahaja bertemu dengan Almarhum bersama isterinya di Singapore EXPO sekitar dua minggu lalu.
"(Beliau) nampak sihat dan tidak ada tanda-tanda sakit ke apa. Jadi agak terkejut apabila mendengar berita yang beliau kena strok dua atau tiga hari yang lalu," katanya.
Beliau sendiri pernah bekerjasama dengan Almarhum dalam drama 'Remuk' yang disiarkan di Saluran SURIA tahun ini, serta sebuah projek komersial yang beliau arahkan.
"Beliau merupakan seorang pelakon yang profesional. Walaupun beliau lebih berpengalaman daripada saya, beliau sentiasa mendengar arahan yang diberikan dan cukup profesional," kata Encik Khairudin.
Bagi Encik Khairudin, pemergian Almarhum yang dianggap sebagai salah seorang perintis pelawak dalam dunia hiburan, menambah kepada deretan kehilangan yang semakin dirasai dalam kalangan anak seni tempatan.
Almarhum meninggal dunia hanya sekitar dua bulan selepas industri seni kehilangan seorang lagi pelawak tersohor, Almarhum Mahadi Shor.
Bahkan, Almarhum juga yang memberikan kata-kata penghormatan terakhir semasa temu ramah bersama BERITA Mediacorp pada waktu itu.
"Satu kehilangan yang besar bagi kami di dalam industri seni ini sebab tak ramai pelapis bagi pelawak-pelawak seperti mereka," kata Encik Khairudin, sambil mengenang arwah pelawak-pelawak lain seperti Almarhum Alias Kadir, Almarhum Ishak Ahmat, dan Almarhum Zainal Ihim yang telah pulang ke negara abadi.
NIAT ANJUR DOA SELAMAT TIDAK KESAMPAIAN
Almarhum disifatkan oleh rakan seangkatan, Husin Saaban sebagai seorang seniman yang cukup berdisiplin dan menjadi antara individu yang disegani dalam kalangan rakan-rakan pelawak.
Mengimbau kembali detik-detik persahabatan mereka, Encik Husin berkata hubungan mereka terjalin sejak bertahun-tahun lamanya.
Ia bermula daripada pentas pertandingan sehingga akhirnya bergandingan dalam pelbagai persembahan komedi.
"Saya hormat kerana saya anggap dia lebih senior pada saya lebih awal," kata Encik Husin.
Mereka pernah digandingkan bersama dalam kumpulan pelawak tempatan 'Rappers Tua' yang dianggotai 11 orang termasuk Arif Shamsudin, Sahfuddin Mahfudz dan Almarhum Alias Kadir.
Mereka juga terlibat dalam kelibat aksi ketawa Geng Pecah Perut.
"Jadi di situ, kita mula rapat sangat. Bila rapat tu mesti ada kenangan manis, kenangan pahit yang payah kita nak lupakan," ujar beliau.
Encik Husin sebenarnya telah bercadang untuk menziarahi sahabatnya itu hari ini (1 Jun) selepas mendapat khabar Almarhum diserang angin ahmar minggu lalu.
Lebih menyentuh hati, Encik Husin baharu sahaja menghubungi adik Almarhum Zainal Ihim semalam (31 Mei) dengan niat mengadakan satu majlis doa beramai-ramai bagi mendoakan kesembuhan Almarhum.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila khabar pemergian Almarhum terlebih dahulu menyapa, meninggalkan rasa pilu yang sukar diungkapkan.
Beliau turut berkongsi pernah tergerak hati menganjurkan majlis doa bagi pelawak-pelawak tempatan yang telah meninggal dunia selepas bermimpi tentang Almarhum Alias Kadir pada Ramadan lalu.
Menurutnya, dalam majlis tersebut, Almarhum Yusoff merupakan antara individu terawal yang diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan.
LEBIH DARIPADA RAKAN AKRAB; IBARAT SAUDARA KEMBAR
Bagi pelawak Ahmad Stokin, Almarhum lebih sekadar seorang sahabat seperjuangan, malah sudah seperti menjadi saudara kembar sendiri.
Persahabatan mereka menjangkau lebih lima dekad, bermula sejak awal tahun 1970-an ketika kedua-duanya masih bujang dan aktif dalam dunia seni pentas.
Keakraban Encik Ahmad dan Almarhum begitu terserlah sehingga ramai yang sering tersalah anggap mereka sebagai individu yang sama.
"Yang uniknya persahabatan kami ini, ramai yang keliru. Orang panggil beliau Ahmad Stokin, orang panggil saya Usop.
"Setiap kali orang panggil 'Eh Sop!', saya yang menoleh. Lepas itu mereka minta maaf dan kata, 'samalah kau orang'," kata Encik Ahmad sambil mengimbau kenangan bersama sahabat lamanya itu.
Almarhum banyak terlibat dalam dua pertubuhan seni iaitu Kelab Drama Panggung Negara dan Perkumpulan Seni (PS).
Kelab Drama Panggung Negara menjadi medan awal yang membuka jalan kepada penglibatan Almarhum dalam dunia teater, drama, seni Melayu dan penerbitan.
Di situlah bermulanya perjalanan seni yang kemudiannya mewarnai sebahagian besar kehidupannya.
Perkumpulan Seni (PS) pula menjadi tempat beliau terus berkarya, berbakti dan mencurahkan pengalaman kepada generasi-generasi seterusnya.
Antara kenangan yang paling sukar Encik Ahmad lupakan ialah bagaimana mereka masih bergandingan menghiburkan penonton sehingga ke hari-hari terakhir Almarhum.
Malah, kali terakhir mereka bekerjasama adalah di acara Hari Ibu di Istana pada 10 Mei lalu.
"Beliau nampak sihat. Kita bergurau, kita buat penonton ketawa dan terhibur. Selepas majlis itu, kami dah merancang untuk memperbanyakkan lagi acara dan bekerjasama lagi. Tiba-tiba dapat berita begini," kata Encik Ahmad.
Beliau sempat menziarahi Almarhum di TTSH pada Jumaat (29 Mei).
Para pelawak veteran lain seperti Sahfudin Mahfudz, serta para pelakon termasuk Fadhlur Rahman turut dilihat hadir di majlis pengebumian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.