Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BELASUNGKAWA: Pemergian Wahid Satay, hilangnya permata seni

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dunia seni Melayu kehilangan sebutir lagi permata dengan pemergian Allahyarham Abdul Wahid Bin Haji Ahmad atau lebih dikenali sebagai Wahid Satay pada Isnin (22 Mei).

Allahyarham dilahirkan di Indragiri, Indonesia, pada Januari 1930 dan kemudian berhijrah ke Singapura pada 1935.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Geylang dan gemar melukis.

Kerana bakatnya dalam lukisan yang menyerlah, Allahyarham ditawarkan kerja sebagai pelukis set studio di Cathay Keris Studios di East Coast Road, Singapura pada tahun 1956.

Allahyarham dikatakan seorang yang gemar bergurau senda dan sering membuat rakan-rakannya ketawa,

Pada 1957, beliau ditawarkan peranan pelawak oleh pengarah B.N. Rao untuk memainkan watak seorang penjual satay dalam filem Pontianak.

Filem Pontianak, yang menyaksikan gandingannya bersama Maria Menado dapat bertahan selama tiga bulan di Panggung Cathay.

Ia bahkan, memberikan saingan kepada filem Hollywood, Samson and Delilah.

Filem itu turut mencipta sejarah apabila memecahkan rekod panggung wayang Melayu, dengan pulangan lebih sejuta dolar, jumlah tertinggi pada waktu itu.

Nama Wahid Satay diberi pemilik Studio Cathay-Keris, Tan Sri Loke Wan Tho menyusuli peranan beliau dalam filem itu dan nama itu terus melonjak naik.

Di bawah syarikat Cathay Keris, Allahyarham banyak berlakon dalam filem genre komedi sehingga mendapat gelaran ' Jerry Lewis Malaya'

Sepanjang kerjayanya selama lima dekad, Allahyarham membintangi lebih 30 buah filem termasuk Pak Pandir Moden, Jula Juli Bintang Tiga, Masuk Angin Keluar Asap, Serangan Orang Minyak, Chuchu Datok Merah dan Badang.

Allahyarham juga menggalas watak utama dalam filem Pak Pandir Moden dan Che Mamat Parang Tumpul

Beliau juga pernah memainkan watak undangan bagi filem Pontianak Harum Sundal Malam pada 2004 dan Senario XX pada 2005.

Bakat Allahyarham dijulang di dalam dan luar negara.

Allahyarham memenangi Anugerah Oskar Black Gold bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Pesta Filem Asia, Manila pada 1963, Pelawak Terbaik dalam Pesta Filem Asia di Taiwan pada 1966 dan Anugerah Perdana Emas oleh MediaCorp dalam acara Pesta Perdana Mediacorp pada 2007.

Kali terakhir Allahyarham membuat penampilan adalah semasa persembahan di majlis minum petang sempena Festival Filem Malaysia ke-32 di Encore Melaka pada Disember 2022.

Selain berlakon, Allahyarham juga pernah mencipta lagu untuk M. Ishak dan Ahmad Jais selain mengarang lagu "Sumpah Setia" untuk rakaman Ahmad Jais & The Antartics di tahun 1967.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan