Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BELASUNGKAWA: Pemergian Riz Sunawan kehilangan besar bakat dunia penyiaran Melayu SG

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Dunia penyiaran Melayu tanah air kehilangan sebutir permata yang cukup berharga.

Allahyarham Asri Sunawan atau lebih dikenali sebagai Riz Sunawan, meninggal dunia pada usia 45 tahun pada pagi Rabu (8 Feb), selepas berjuang melawan penyakit Motor Neuron (MND) sejak 2018.

Seorang individu yang sangat baik hati dan membuktikan tiada yang mustahil dalam segala apa yang diperjuangkannya.
ANTARA PENCAPAIAN MANTAN PENYAMPAI BERITA MEDIACORP INI

Individu berbakat ini sememangnya tidak memerlukan sebarang pengenalan.

Beliau mewarnai kaca televisyen Melayu selaku penyampai berita dan penyampai program Hal Ehwal Semasa, Detik bagi dua musim dari 2008 sehingga 2009.

Bakatnya dalam penyiaran tidak dapat dipertikaikan sama sekali.

Beliau malah, pernah menerima pengiktirafan berprestij sebagai Penyampai Berita Terbaik (Melayu) di Anugerah Kecemerlangan Berita oleh MediaCorp News, Channel NewsAsia pada 2009.

Pada 2007, beliau diberi peluang untuk tampil sebagai komentar radio bagi Perbarisan Hari Kebangsaan.

Selain penampilannya di kaca televisyen atau radio tempatan, beliau turut membuat beberapa penampilan sebagai juruacara di sebilangan acara kebangsaan dan kemasyarakatan, terutamanya dengan kehadiran para menteri selaku tetamu kehormat.

SEMANGAT TABUR BAKTI KEPADA KELESTARIAN BAHASA & BUDAYA MELAYU MENGALIR DALAM SANUBARINYA

Allahyarham pernah dilantik sebagai Duta Bahasa bagi Bulan Bahasa 2010.

Selepas itu, beliau terus aktif bergiat memartabatkan bahasa ibunda.

Dalam keadaannya, Allahyarham masih giat menyumbang bakti kepada usaha melestarikan bahasa dan budaya Melayu dengan menggalas tugas sebagai salah satu anggota Jawatankuasa Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa.

Allahyarham bahkan bersemangat memanfaatkan peranti 'Tobii' - yang menggunakan teknologi pergerakan mata untuk menaip - bagi membolehkannya berhubungan dalam menyumbang idea-idea bagi penganjuran kegiatan-kegiatan sepanjang Bulan Bahasa.
RAKAN TERKESAN PEMERGIAN ALLAHYARHAM

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Haji Md Yusof Ismail yang sudah mengenali Allahyarham selama 20 tahun berkata: "Saya mengenali Allahyarham selama 20 tahun. Sebelum beliau jatuh sakit, Allahyarham banyak terlibat selaku sukarela dengan Persatuan Ain dan beliau menyumbang kepakaran sebagai pengacara dan keprihatinan beliau kepada para pesakit barah.

"Perasaan saya bercampur aduk kerana penderitaan Allahyarham sangat panjang. Kami kehilangan mantan pengacara dan penyampai yang sangat dikenali sebagai pengacara dengan 'suara jantan'," Encik Md Yusof.

Rakan-rakan sekerja Allahyarham Riz Sunawan di bilik BERITA turut terkesan dengan pemergiannya.

"Allahyarham Riz bukan sekadar rakan sekerja. Hubungan kami semua di Bilik BERITA ialah seperti sebuah keluarga dan pemergian beliau amat dirasai.

"Allahyarham seorang yang mudah mesra, tidak lokek dengan senyuman dan saya kagum dengan pendiriannya yang terus positif meskipun berjuang melawan penyakit saraf MND," kata Editor Penyelia Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Surita Salim.

Editor BERITAmediacorp, Masrifah Unang menyifatkan Allahyarham sebagai "seorang sahabat yang sedia membantu tetapi tetap terbuka menerima teguran semasa bekerja".

Rakan penyampai BERITA, Nursha Ismail pula berkata pemergian Allahyarham adalah "kehilangan yang tiada gantinya".

"Riz, bukan sekadar teman seperjuangan yang banyak membimbing tetapi juga sahabat karib yang tidak putus-putus memberikan sokongan."

TEKAD HARUNGI CABARAN MND

Sejak 2018, Allahyarham Riz Sunawan, didiagnos dengan penyakit Motor Neuron (MND) iaitu sejenis penyakit saraf yang menyebabkan pergerakannya semakin terbatas.
MND menyebabkan sel saraf di otak dan sumsum tulang belakang yang dipanggil 'motor neuron' tidak lagi berfungsi atau dinamakan 'neurodegeneration'.

Seseorang yang menghidapi penyakit ini juga akan mengalami kesukaran bergerak, bercakap dan akhirnya bernafas.

Penyakit ini tiada penawarnya di dunia buat masa ini dan sekitar 90 peratus pesakit yang menghidapi ALS mengalaminya tanpa sejarah keluarga.

Meskipun perlu mengharungi cabaran setelah didiagnos dengan MND, ia tidak melenturkan tekad dan kesungguhannya untuk menyumbang kepada masyarakat.

Beliau giat dalam usaha meningkatkan kesedaran ramai tentang penyakit yang didiagnosnya - yang juga dikenali sebagai 'amyotrophic lateral sclerosis' (ALS).

Memanfaatkan pengaruhnya, beliau menerajui kempen di media sosialnya dengan menggunakan tanda pangkah #RizFightsMND.

Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, sebuah video ringkas selama 3 minit 24 saat diterbitkan untuk menerangkan tentang penyakit MND serta cabaran yang dihadapi pesakitnya.

Beberapa artis-artis tempatan seperti Najip Ali, Huda Ali, Hafiz Nasir, Syarif, Marina Yusoff, Syed Azmir dan Fadhlur Rahman, malah memberi sokongan terhadap usaha murni itu, yang dipelopori Allahyarham.
Jiwa keihsanan Allahyarham amat menyerlah.

Sekalipun beliau sendiri sedang menghadapi rintangan akibat penyakit tersebut, beliau masih menanam hasrat dan giat melaksanakan usaha seboleh mungkin untuk mengumpul dana serta menghulurkan sokongan kepada pesakit-pesakit ALS sepertinya.

Sebagai contoh, beliau merupakan salah seorang anggota pengasas dan duta Pertubuhan MND Singapura, yang ditubuhkan oleh para pesakit dan sukarelawan pada April 2021.

Pertubuhan tersebut bermatlamat untuk memberi sokongan terhadap setiap pesakit MND serta penjaganya untuk menjalani kehidupan dengan bermaruah, kasih sayang dan harapan.

Bahkan, beliau baru-baru ini melancarkan sebuah buku dwi-bahasa yang pertama seumpamanya diterbitkan di Singapura tentang penyakit tersebut.

Dengan sokongan dermawan daripada beberapa pihak, sekitar 2,500 naskhah buku itu dapat diterbitkan.

Buku tersebut juga menerima sentuhan ilham daripada penulis dan penerbit buku, Cik Hidayah Amin dan pelukis buku, Encik Khairudin Saharom.
Yang pasti, insan berjiwa seni bernama Asri Sunawan ini akan sentiasa dikenang.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan