Skip to main content

Singapura

BELASUNGKAWA: Pemergian Mahadi Shor dianggap satu kehilangan besar dalam dunia seni

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemergian pelawak veteran Mahadi Shor pada Jumaat (27 Mac) diratapi ramai terutama sekali rakan-rakan artis tanah air.

Mereka turut menyanjung sumbangannya dalam dunia hiburan serta menyifatkan pemergian Almarhum sebagai satu kehilangan yang amat besar.

Jenazah Almarhum selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 3.15 petang tadi selepas disolatkan di Masjid Pusara Aman.

Almarhum menghembuskan nafas terakhir di Rumah Rawatan NTUC Health di Tampines pada 4.45 pagi tadi (27 Mac) pada usia 75 tahun.
LOGHAT BOYAN JADI SATU KEUNIKAN

Pemergian pelawak yang lebih dikenali sebagai Obek Didi itu meninggalkan kesan mendalam buat sebilangan anak seni yang kagum dengan lawak jenakanya, yang tidak keterlaluan kalau dikategorikan sebagai kelas yang tersendiri.

Almarhum mula berkecimpung dalam dunia bangsawan sejak lebih 50 tahun lalu.

Mulanya dalam bidang seni, dengan watak-watak garang dan serius termasuk dalam persembahan-persembahan teater.

Rakan seniman, Yusoff Maruwi berkata: "Arwah adalah seorang yang sangat unik terutama sekali dalam bidang jenaka. Ini kerana raut wajahnya yang serius, bengis dan selalu membawa watak-watak jahat dalam drama-drama tetapi di arah komedi pula, ia satu keunikan. Bakat jenaka beliau begitu terserlah."
Related article image
Petikan gambar Mediacorp Suria, rancangan Unsangkarables
Keunikan itu, menurut Yusoff Maruwi bukan sahaja terletak pada gaya lakonannya, malah turut terserlah dalam cara pertuturannya.

"Satu lagi, beliau orang Boyan. Jadi loghat boyan itu kekadang mengusik. Sekadar dia menjadi jin misalnya tetapi pertuturannya terlenggok ke arah 'keboyanan'. Itu yang unik," kongsinya kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Almarhum pernah menganggotai kumpulan pelawak tempatan 'Rappers Tua' yang dianggotai 11 orang termasuk Arif Shamsudin, Husin Saaban, Sahfuddin Mahfudz dan Almarhum Alias Kadir.
Related article image
Petikan gambar / Facebook Rappers Tua
Yusoff Maruwi juga pernah membentuk kumpulan 'Star Karat' bersama Almarhum serta Almarhum Zainal Ihim pada tahun-tahun 90-an.

Beliau berkata: "Saya dengan beliau ketika satu masa dulu, kita amat akrab. Kami membentuk kumpulan Star Karat dan ketika itu masya-Allah.... itulah yang saya tidak boleh lupakan. Kita daripada kumpulan-kumpulan lain tetapi kita bertiga, menjadi satu kenangan yang tak dapat dilupakan."

SERBA BOLEH, RENTASI PELBAGAI GENRE

Almarhum kerap kali ditampilkan dalam pelbagai rancangan komedi termasuk Hiburan Minggu Ini, Fiesta Komedi dan Teater Komedi.

Selain itu, Almarhum Obek Didi pernah membintangi siri popular antarabangsa 'Hawaii Five-O' bersama pelakon A. Galak dan Allahyarham Osman Zailani.

Beliau juga berlakon dalam filem pendek 'Lost Sole' yang memenangi beberapa anugerah, sekali gus membuktikan bakat beliau yang merentasi pelbagai genre.

Seniman tempatan, Sahfudin Mahfudz, berkata: "Arwah seorang yang kita akan kenang sebagai seorang penghibur berbakat besar. Bukan sahaja beliau boleh berlakon serius dan boleh berkomedi tetapi dia boleh menyanyi juga. Bakat terserlah itu tidak mungkin akan ada pada semua orang."
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Bahkan, bukan keunikan jenaka Almarhum sahaja yang akan dikenang.

Personaliti dan caranya yang sering membawa senyuman kepada orang terdekat juga akan amat dirindui.

"Sering kali berjumpa mesti akan ketawa dan gembira berjumpa dengannya. Tidak ada rasa kerisauan, kebimbangan pada hati masing-masing. Apa sahaja masalah yang kita ada akan kita lupa apabila berjumpa dengan arwah Obek. Apabila bercakap dengan loghatnya, rasa sudah diubati dengan cara percakapannya," luah Encik Sahfudin.

Para pelawak veteran lain seperti Hussin Saaban, Ahmad Stokin serta para pelakon termasuk Azhar Nor Lesta dan Aminah Ahmad turut dilihat di majlis pengebumian Almarhum.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita