Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BELASUNGKAWA: Pelakon veteran Raffi Khan meninggal dunia

Anggaran Waktu Membaca:
BELASUNGKAWA: Pelakon veteran Raffi Khan meninggal dunia
Diterbitkan : 24 Oct 2024 12:15AM Dikemas Kini : 24 Oct 2024 07:49PM

SINGAPURA: Pelakon veteran Raffi Khan, 61 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Masyarakat Sengkang pada pukul 9.06 malam, Rabu (23 Okt).

Berita pemergiannya itu disahkan anak saudara Allahyarham, Cik Nur Zalina Ismail kepada BERITAmediacorp.

"Allahyarham yang menghidapi barah kolorektal telah dimasukkan ke hospital lebih tiga minggu lalu," kata Cik Nur Zalina, 41 tahun.

Anak bongsu Allahyarham, Encik Mohammad Shaqeer Khan S/O Mohammad Raffi berkata bahawa jenazah telah dibawa pulang dari hospital sekitar tengah malam tadi.

"Arwah bapa saya disahkan menghidap barah rektum tahap 4 sejak Disember 2021. Beliau mula mengalami simptom sembelit yang berterusan sebelum didiagnos dengan penyakit tersebut.

“Ia bermula dengan masalah sembelit, di mana beliau kerap pergi tandas tetapi tidak mampu membuang air besar dengan betul. Daripada situ, kami pergi jumpa doktor dan buat semua ujian. Akhirnya doktor sahkan arwah bapa saya menghidap barah rektum tahap 4,” kongsi Encik Mohammad Shaqeer.

Tambahnya, Allahyarham telah menjalani rawatan kemoterapi, dengan rawatan terakhir pada Oktober 2023. 

"Keadaan fizikalnya yang semakin lemah memaksanya untuk berhenti menerima rawatan. Kesakitan yang dialami terlalu berat, dan rawatan yang dijalani tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.

“Selepas rawatan terakhir, arwah menyerah sebab terlalu sakit dan penat. Juga tidak banyak kemajuan daripada rawatan itu,” kongsi beliau lagi.

Keadaan kesihatan Allahyarham merosot dengan cepat dalam beberapa bulan lalu, terutama selepas Hari Raya Haji. 

"Barahnya merebak dengan cepat, termasuk ke bahagian bahu sehingga menyebabkan tulang bahunya patah. Selepas itu, kesan sampingannya mula jadi lebih teruk,” kongsi beliau lagi.

Ini pesanan terakhir arwah kepadanya: "Jaga keluarga dengan baik."

"Kami sangat berdukacita atas pemergian pelakon veteran Raffi Khan. Allahyarham Raffi cukup disegani dan dikenali dengan lakonannya dalam beberapa drama popular kami seperti Gelora, Zakat Zakaria dan Poskad Dari Alhambra.

"Ini merupakan satu kehilangan besar dan kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Raffi", menurut jurucakap Mediacorp dalam kenyataan medianya.

Allahyarham Raffi meninggalkan seorang balu, tiga orang anak serta tujuh orang cucu.

Allahyarham Raffi atau nama penuhnya Mohammad Raffi S/O Tanjaullah memulakan kerjayanya dengan bermain gitar bersama sebuah kumpulan muzik yang sering membuat persembahan di majlis perkahwinan pada awal 1980-an.

Namun, minatnya terhadap lakonan semakin mendalam, dan pada tahun 1984, beliau menyertai kumpulan teater Sriwana untuk mengejar impiannya sebagai pelakon.

Allahyarham kemudian mendapat peluang berlakon dalam Gelora, drama bersiri terbitan Communications 2000 yang ditayangkan selama tiga musim.

Beliau memegang watak seorang usahawan, Encik Murad dan bapa kepada watak Dr Hilal yang dilakonkan Khairudin Saharom.

Drama lain yang pernah dibintanginya termasuk drama Zakat Zakaria dan Poskad Dari Alhambra.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah anaknya di Blok 102A, Canberra Street dan dikebumikan sekitar 11.30 pagi Khamis.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan