Skip to main content

Singapura

BELASUNGKAWA: Lebih dari sekadar suara, mengenang Rashid Sulaiman - tokoh dunia penyiaran Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
BELASUNGKAWA: Lebih dari sekadar suara, mengenang Rashid Sulaiman - tokoh dunia penyiaran Melayu
Elfie Rafiee (kiri) telah banyak belajar bukan sahaja tentang pekerjaannya tetapi juga tentang kehidupan dari Rashid Sulaiman (kanan). (Gambar: Elfiee Rafiee)
Diterbitkan : 20 Feb 2026 11:42PM Dikemas Kini : 21 Feb 2026 04:58PM
SINGAPURA: Pemergian wartawan Rashid Sulaiman ibarat permata yang tiada dua — kilau baktinya menerangi dunia penyiaran dan menyentuh hati ramai, daripada rakan seperjuangan hingga para pendengar radio.

Pemergiannya bukan sekadar kehilangan seorang veteran dalam bidang kewartawanan tetapi seorang insan berjiwa besar yang meninggalkan jejak kebaikan yang mendalam.

Allahyarham Rashid Sulaiman meninggal dunia pada Selasa (17 Feb) akibat pendarahan dalaman yang berpunca daripada ulser yang telah pecah di dalam perutnya.

DI SEBALIK WAJAH SERIUS PENYAMPAI BERITA, RASHID SULAIMAN SUKA BERGURAU

Sebagai seorang wartawan dan personaliti radio yang aktif dari era 1970-an, Allahyarham Rashid Sulaiman banyak menghabiskan masa di kerja dan di lapangan.

Allahyarham Rashid Sulaiman dulu pernah menjadi wartawan sukan dan pernah membuat liputan di luar negara bagi acara-acara sukan antarabangsa seperti Piala Malaysia dan Sukan SEA.

Menurut anaknya, Encik Mohammed Noor Rashid, bapanya giat meluangkan masa untuk memasak serta kegiatan sukarelawan selepas dia bersara pada sekitar tahun 2008.
 
Related article image
(Gambar: Mohammed Noor Rashid)
"Bila beliau bersara, dia banyak meluangkan masa dengan memasak dan membuat kuih-muih. Dia juga seorang yang suka membuat amal ibadah. Akhir-akhir ini, beliau menolong dalam sebuah projek bertajuk 'Not the Mere Spectator the Makings of Multicultural' di Sekolah Menegah North Vista," kongsi Encik Rashid kepada wartawan Hidir Ezat.

Mengenang kembali tentang keperibadian bapanya, Encik Noor berkata Allahyarham merupakan seorang yang sangat dermawan.
Related article image
(Gambar: Mohammed Noor Rashid)
"Bapa saya seorang yang peramah dan suka bergurau bersama keluarga dan sahabat. Beliau seorang yang dermawan dan membuat kawan dengan sesiapa sahaja," kata Encik Noor.

"Pernah sekali, kami sedang bersarapan di KFC di Hougang Mall, seorang lelaki Cina tua menghampiri kami untuk meminta wang, bukan sahaja dia memberinya wang, malah dia juga belanja orang yang tidak dikenali itu makan," katanya lagi.
Related article image
(Gambar: Mohammed Noor Rashid)
JADI CONTOH BAGI BAGI GENERASI PELAPIS WARTAWAN, PERSONALITI RADIO

Kali terakhir suara Allahyarham Rashid Sulaiman kedengaran di gelombang radio adalah pada Ramadan 2025.

Allahyarham bersetuju untuk memenuhi undangan menjadi rakan penyiar dalam program "Santai Sabtu" bersama DJ Warna, Elfie Rafiee.

Elfie mengenang pengalaman di dalam konti bersama idolanya itu.

"Beliau merupakan seorang tokoh media yang dihormati oleh rakan-rakan seperjuangan serta para pendengar, baik yang lama mahupun generasi baharu," kata Elfie.

"Komitmen dan sumbangan beliau dalam bidang radio dan penyampaian berita amat bernilai kepada industri media tempatan Melayu di Singapura. Nilai-nilai profesionalisme serta keperibadian yang ditampilkan wajar dijadikan teladan dan akan terus saya hayati serta amalkan pada masa hadapan," tambahnya lagi.
Related article image
(Gambar: Elfie Rafiee)
Dengan pengalaman yang sangat luas, Elfie akur bahawa beliau telah mempelajari banyak dari Allahyarham Rashid Sulaiman, bukan sahaja dari segi pekerjaan tetapi juga secara peribadi.

"Rashid Sulaiman merupakan seorang contoh teladan yang menzahirkan nilai keihsanan dan keikhlasan dalam setiap perbuatannya. Daripada beliau, saya mempelajari erti “be genuine” serta kepentingan berhati-hati dalam setiap tutur kata dari segi professional mahupun secara peribadi. Apa yang dipaparkan dan didengari daripada beliau di corong radio mencerminkan keperibadian Rashid Sulaiman yang sebenar — tulen, jujur dan tidak pernah berpura-pura," kata Elfie.

Selain dikenali sebagai wartawan dan penyiar radio yang cekap dan berwibawa, Elfie berkongsi sisi Allahyarham yang mungkin tidak diketahui ramai.
Related article image
(Gambar: Elfie Rafiee)
"Allahyarham Rashid Sulaiman merupakan seorang yang penyayang dan pemurah, khususnya terhadap kanak-kanak serta golongan kurang upaya. Di samping itu, beliau turut memiliki kemahiran dalam bidang pembuatan kek dan pastri serta pandai memasak pelbagai jenis hidangan," kata Elfie.

"Beliau juga seorang pendengar yang baik, bukan sekadar mendengar tetapi benar-benar memahami setiap perkara yang dikongsikan. Malah, beliau mampu memberikan nasihat dengan penuh hikmah dan berhati-hati agar tidak menyinggung atau mengguris perasaan sesiapa," katanya lagi.

Allahyarham Rashid Sulaiman juga pernah menjadi pengulas bagi siaran Perbarisan Hari Kebangsaan dan acara-acara sukan.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita