Skip to main content

Singapura

Belanjawan Kecekalan persiap masa depan Singapura pasca COVID-19: Saktiandi

Pakar ekonomi Maybank Encik Saktiandi Supaat menyifatkan Belanjawan Kecekalan yang dibentangkan Selasa (26 Mei) sebagai suatu persiapan untuk mempersiapkan masa depan Singapura pasca COVID-19 yang akan menyaksikan lebih banyak gangguan lain.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pakar ekonomi Maybank Encik Saktiandi Supaat menyifatkan Belanjawan Kecekalan yang dibentangkan Selasa (26 Mei) sebagai suatu persiapan untuk mempersiapkan masa depan Singapura pasca COVID-19 yang akan menyaksikan lebih banyak gangguan lain.

Beliau menambah bahawa salah satu fokus penting belanjawan tersebut adalah mengurangkan pembuangan pekerjaan mentelah lagi pemerintah menganggarkan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) akan menguncup lebih teruk lagi tahun ini iaitu antara -4 peratus hingga -7 peratus.

Menurut Encik Saktiandi, yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, peruntukan belanjawan keempat bernilai S$33 bilion dapat mengurangkan kesan yang akan dialami negara, khususnya dalam aspek pekerjaan.

"Yang penting sekali saya rasa fokus sasarannya amat bermakna kerana ia mengurangkan pembuangan pekerjaan. Mengurangkan dan juga dapat menangguhkan pembuangan pekerjaan dan dari segi kesan lanjutannya dapat mengurangkan impaknya kepada para keluarga, pekerja dan anak-anak dalam keluarga.

"Apa yang harus kita sasarkan adalah keadaan di mana kehidupan orang terganggu dapat dikurangkan atau minimal sekali. Dengan cara yang paling langsung untuk melakukannya adalah melindungi pekerjaan di Singapura," ujar beliau yang memegang jawatan Ketua Penyelidikan Tukaran Asing di Maybank.

Menurut Encik Saktiandi lagi, masyarakat Melayu/Islam yang terjejas boleh memanfaatkan sokongan-sokongan seperti Pekerjaan SGUnited dan Pakej Kemahiran yang dilancarkan untuk mewujudkan hampir 100,000 pekerjaaan.

Namun begitu, Encik Saktiandi berharap masyarakat tidak mengambil mudah bantuan yang dihulurkan itu sebagai satu "jaminan selesa".

Para pekerja - baru mahupun lama - kata beliau perlu memanfaatkan inisiatif pemerintah serta sentiasa mencari peluang-peluang baru.

Secara keseluruhannya, Pemerintah membelanjakan sekitar S$93 bilion bagi Belanjawan Kecekalan yang diumumkan pada Selasa dan tiga Belanjawan sebelumnya bagi menangani kesan COVID-19.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita