Skip to main content

Singapura

BELANJAWAN 2026: SG tubuh Majlis Kecerdasan Buatan Kebangsaan; PM Wong sebagai pengerusi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Feb 2026 06:47PM Dikemas Kini : 05 Mar 2026 01:11PM


SINGAPURA: Sebuah Majlis Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong bagi menyelaras dan memacu strategi AI Singapura.

Majlis itu akan menyelia pembangunan dan pelaksanaan "misi kecerdasan buatan (AI)", kata Encik Wong pada Khamis (12 Feb) semasa menyampaikan Kenyataan Belanjawan 2026.

"Misi-misi itu akan memacu transformasi yang diterajui AI dalam sektor utama ekonomi kita, dan meluaskan batas kemungkinan bagi Singapura dan seluruh dunia," kata Encik Wong yang juga menteri kewangan.

Misi-misi tersebut tertumpu pada empat sektor iaitu pengilangan maju, keterhubungan, kewangan dan jagaan kesihatan.

"Sebagai contoh, dalam pengilangan maju, kami menyasarkan untuk mempercepatkan inovasi dan membina kilang dengan taraf terbaik yang mampu bersaing di peringkat global," katanya.

"Dalam keterhubungan dan logistik, AI dapat bantu mengautomasikan operasi lapangan terbang dan pelabuhan, menggerakkan barangan dengan lebih cekap dan mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab global utama."

PM Wong berkata Misi Kecerdasan Buatan (AI) itu bukan sekadar “aspirasi abstrak” tetapi disertakan dengan objektif yang jelas dan hasil yang ketara.

Namun, untuk mencapai objektif tersebut "perlukan kita mengubah cara bekerja”, kata beliau.

"Dalam Pemerintah, kami akan menyelaraskan dengan lebih baik usaha Kajian dan Pengembangan (R&D), kawal selia serta dorongan pelaburan supaya agensi-agensi akan bertindak seiring dan ke arah yang sama."

Usaha itu perlukan pendekatan kebangsaan yang selaras, katanya.

Penubuhan Majlis Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan akan "menyediakan hala tuju strategik dan memacu agenda AI Singapura".

Majlis itu terdiri oleh:

  • Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong
  • Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan Ong Ye Kung
  • Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo
  • Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab Bagi Tenaga dan Sains & Teknologi Dr Tan See Leng
  • Menteri Pembangunan Negara merangkap Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura Chee Hong Tat
  • Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan Kewangan Jeffrey Siow

KEBIMBANGAN TERHADAP AI TIDAK BOLEH DIJADIKAN JAWAPANNYA

Walaupun potensi AI untuk meningkatkan daya penghasilan, membuka laluan kepada penemuan baharu dan mengubah kehidupan adalah sangat besar, janji itu turut disertai dengan kebimbangan mendalam seperti kehilangan pekerjaan, salah maklumat dan penggunaan teknologi berkuasa secara beretika.

Kebimbangan itu adalah nyata dan perlu ditangani secara terus terang, kata Encik Wong.

"Namun ketakutan tidak boleh dijadikan sebagai respons Singapura," katanya.

"Jika kita membiarkan ketidaktentuan ini melumpuhkan kita, kita akan ketinggalan dalam dunia yang bergerak pantas ke hadapan."

Beliau berkata pembangunan dan penggunaan AI di Singapura akan ditentukan dengan peraturan jelas ditetapkan bagi memastikan ia digunakan secara bertanggungjawab dan selamat.

"Dan kami akan memastikan bahawa manfaatnya dikongsi secara meluas dalam masyarakat," kata Encik Wong.

Beliau menambah AI dapat bantu Singapura mengatasi kekangan struktur seperti sumber semula jadi yang terjad, sebuah penduduk yang semakin menua dan pasaran buruh yang ketat.

Namun, kelebihan Singapura bukan pada pembinaan model maju yang terbesar, tetapi menggunakan AI secara berkesan, bertangggungjawab dan pantas.

"Singapura boleh menjadi sebuah hab yang diyakini di mana syarikat-syarikat dan para penyelidik bergabung untuk membangunkan, menguji dan melaksanakan huraian AI yang berkesan, dan melakukannya dengan lebih pantas dan lebih jelas berbanding negara-negara lebih besar," katanya.

Encik Wong menarik perhatian syarikat-syarikat seperti Google dan Microsoft menubuhkan pusat kecemerlangan AI di Singapura, sekali gus mewujudkan semakin banyak pekerjaan bagi rakyat SIngapura.

Namun untuk merealisasikan potensi AI sepenuhnya, Singapura perlu bergerak melangkaui projek-projek perintis secara individu dan eksperimen terpencil.

"Kita harus mengatur usaha di peringkat nasional dan bergerak pantas dengan penuh berskala," katanya.

TAMAN AI BAHARU

Untuk menarik lebih banyak syarikat menyertai transformasi AI, sebuah program Peneraju Kecerdasan Buatan (AI) akan dilancarkan bagi menyokong syarikat-syarikat yang berhasrat menggunakan AI untuk mengubah perniagaan mereka secara menyeluruh.

Sokongan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap syarikat dan merangkumi transformasi perusahaan serta latihan tenaga kerja.

“Apabila syarikat-syarikat ini berjaya, mereka akan menetapkan penanda aras bagi industri masing-masing dan memberi inspirasi kepada syarikat lain untuk turut serta,” kata Encik Wong.

Sokongan untuk semua perusahaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (SME), akan diperkukuh.

Skim Inovasi Perusahaan akan diperluas untuk merangkumi perbelanjaan AI sebagai aktiviti yang layak bagi Tahun Taksiran 2027 dan 2028, dihadkan kepada S$50,000 setahun.

Skim tersebut kini menyediakan potongan cukai sebanyak 400 peratus ke atas perbelanjaan yang layak bagi aktiviti-aktiviti seperti kajian dan pengembangan, inovasi serta pembangunan keupayaan.

Geran Meningkatkan Daya Penghasilan, yang membantu syarikat mengguna pakai penyelesaian digital, juga akan diperluas untuk merangkumi pelbagai penyelesaian digital dan yang didayakan AI.

Sebuah taman AI baharu juga akan ditubuhkan di one-north.

Ia akan dibangunkan berasaskan inisiatif perintis yang disebut sebagai Lorong AI, sebuah ruang kerja bersama khusus bagi komuniti AI di Cross Street.

“Ini akan menjadi kelompok baharu untuk memangkin idea, menjalin kerjasama dan menterjemahkan inisiatif AI kepada penghuraian praktikal bagi perniagaan dan perkhidmatan awam,” kata Encik Wong.

Sumber : CNA/AZ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita