BELANJAWAN 2026: Masyarakat Melayu/Islam diseru manfaatkan peluang dakapi AI, sokongan tangani kos sara hidup
Ini menerusi pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 pada Khamis (12 Feb).
Anggota Parlimen Melayu/Islam yang ditemui BERITA Mediacorp yakin bahawa inisiatif tersebut dapat meredakan kebimbangan ramai dalam menghadapi cabaran masa depan yang kian sukar.
Antara inisiatif yang meraih perhatian AP Melayu/Islam tersebut termasuk penyediaan akses percuma selama 6 bulan bagi alat premium AI, khususnya untuk rakyat Singapura yang mengikuti kursus latihan AI terpilih.
Di bawah inisiatif itu, mereka boleh berlatih menggunakan model AI yang lebih canggih, yang lazimnya memerlukan langganan berbayar.
Ia diharapkan dapat membantu para pekerja mengubah pembelajaran di bilik darjah menjadi latihan amali, sedang AI terus membentuk semula tempat kerja.
AP GRC Pasir Ris-Changi, Sharael Taha, antara AP Melayu/Islam yang menyambut baik inisiatif tersebut, percaya ia membolehkan pekerja merancang masa depan kerjaya mereka dengan lebih baik, seiring kemajuan pesat AI.
"Pekerja-pekerja kita haruslah ambil langkah pertama untuk melihat apakah peluang-peluang yang ada untuk meningkatkan kemahiran dan juga peluang pekerjaan yang ada selepas mereka telah tingkatkan kemahiran," jelas Encik Sharael.
Dalam memanfaatkan penyediaan akses percuma itu, Encik Sharael berharap masyarakat Melayu/Islam dapat "memupuk keupayaan tinggi" berhubung AI memandangkan industri itu akan terus berkembang.
Dari sudut lebih luas, Perdana Menteri Lawrence Wong telah mengumumkan penubuhan sebuah Majlis Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan, yang akan menyelia pembangunan dan pelaksanaan "misi AI", dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkannya.
Misi itu, menurut PM Wong, akan "memacu transformasi yang diterajui AI dalam sektor utama ekonomi kita".
Dalam pada itu, para AP mengalu-alukan usaha untuk menyelaras dan memacu strategi AI negara ini, khususnya dalam membantu pekerja Singapura dalam sektor tertentu.
AP GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat bahkan, menarik perhatian bahawa Belanjawan 2026 adalah yang pertama untuk menerapkan dasar AI untuk masyarakat Singapura dan perniagaan.
"Itulah satu teras baharu untuk menolong para pekerja Singapura buat masa sekarang," tekan Encik Saktiandi.
PERANAN PERTUBUHAN MELAYU/ISLAM PENTING DALAM MENINGKAT KEMAHIRAN PEKERJA
Peranan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) turut ditekankan para AP Melayu/Islam, di samping usaha pemerintah dan kesatuan sekerja untuk mempertingkatkan kemahiran para pekerja termasuk dalam bidang AI.
"Kita akan mendapat bantuan dari segi bagaimana mereka boleh meningkatkan diri mereka, dari segi kemahiran mereka tentang AI dan lebih banyak landasan untuk kesatuan seumpamanya, kesatuan pekerja-pekerja serta MMO untuk bekerjasama untuk meningkatkan lagi kemahiran pekerja-pekerja kita."
Mereka yakin langkah-langkah yang diketengahkan dalam Belanjawan 2026, jika dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pekerja, dapat membantu pekerja menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran masa depan.
Ini termasuk penggabungan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan SkillsFuture Singapura (SSG) sebagai sebuah lembaga berkanun baharu.
Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi percaya ia akan menggalak "pembelajaran sepanjang hayat" bagi setiap lapisan masyarakat untuk mempertingkat kemahiran agar dapat kekal relevan dalam tenaga kerja.
SOKONGAN KEPADA KELUARGA DITERIMA POSITIF AP MELAYU/ISLAM
Inisiatif membantu keluarga Singapura dari segi kos sara hidup serta prospek kerjaya belia turut mendapat perhatian para AP.
Menurut mereka langkah-langkah itu memberi kelegaan kepada rakyat dalam mengharungi cabaran masa depan.
Encik Saktiandi menekankan bahawa sokongan dan bantuan seperti baucar CDC dan rebat U-Save akan membantu rakyat Singapura menangani kos kehidupan yang semakin meningkat.
Pada masa yang sama, inisiatif SkillsFuture — khususnya dalam pembelajaran AI — membuka peluang kepada individu untuk meningkatkan kemahiran dan memperkukuh prospek masa depan mereka.
"Sokongan baucar CDC masih ada, tetapi rebat U-save dapat sedikit sebanyak dapat menolong isi rumah untuk menangani kos. Pemerintah akan masih menolong untuk mereka menangani kos sara hidup. PM ada katakan akan menolong dari segi penjagaan kanak-kanak, subsidi prasekolah untuk keluarga memerlukan," jelas Encik Saktiandi.
Bantuan kepada syarikat-syarikat juga boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia bagi meningkatkan daya saing dan prospek kerjaya dalam ekosistem perniagaan yang semakin berkembang.
Antara sokongan bagi perniagaan tempatan termasuk rebat cukai pendapatan korporat sebanyak 40%, geran rebat tunai serta geran bagi membantu syarikat mengembangkan perniagaan ke luar negara.
"Sokongan yang diumumkan untuk syarikat-syarikat untuk mengukuhkan lagi usahawan tempatan adalah satu inisiatif penting supaya belia kita lebih berpeluang untuk mencari pekerjaan yang mereka idamkan," kata AP GRC East Coast Hazlina Abdul Halim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.